HomeBuletinUPSI wujudkan tabung bantuan, prihatin masalah kewangan kakitangan terkesan Covid-19

UPSI wujudkan tabung bantuan, prihatin masalah kewangan kakitangan terkesan Covid-19

Tanjung Malim – Krisis pandemik Covid-19 yang berlaku untuk tempoh lama mendorong Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan prihatin khas kepada kakitangan universiti itu yang terkesan.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata langkah itu dilaksanakan universiti sebagai tanda keprihatinan UPSI terhadap kesulitan yang dihadapi oleh kakitangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan diharapkan dapat meringankan beban mereka.

Menurut beliau, tahun lalu UPSI mewujudkan Tabung UPSI Prihatin dan sumbangan yang diterima termasuk daripada pihak luar sangat membantu untuk universiti memberi bantuan.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

“Oleh kerana pelaksanaan kawalan pergerakan ini membabitkan masa yang panjang, pengurusan universiti memutuskan untuk memberi bakul makanan kering dan sumbangan wang tunai kepada kakitangan yang terkesan.

“Universiti juga menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada kakitangan dengan had maksimum RM500,” katanya.

Selain memberi pinjaman, pengurusan universiti turut bersetuju memberi moratorium selama enam bulan atas semua pinjaman UPSI yang diberikan kepada kakitangan seperti pinjaman komputer dan pinjaman kenderaaan kepada kakitangan yang berkeperluan.

Gambar hiasan daripada freepik.

UPSI turut menyediakan Food Bank di beberapa lokasi terpilih untuk memberi kemudahan kepada kakitangan mengambilnya.

Dr Md Amin berkata, Bantuan Prihatin Khas itu digerakkan oleh Jabatan Pendaftar, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BSM), Jabatan Bendahari, Unit Kebajikan Staf (UKS) serta Pusat Wakaf, Endownmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS).

“Dana bantuan pula diperoleh daripada Tabung UPSI Prihatin, Tabung Amanah Zakat UPSI dan Tabung Amanah Sedekah UPSI,” kata beliau.