Usaha MyUni dan MCCF ringan bebanan pelajar sambung pendidikan
Mempunyai tujuan yang sama membantu meringkankan bebanan kewangan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Iklanika Sdn Bhd (MyUni) dan Malaysian Community Care Foundation (MCCF) bersetuju memeterai memorandum persefahaman (MoU) membabitkan Dana Pendidikan MyUni-MCCF.
Perkongsian ini didedikasikan untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengarah Urusan MyUni, Ahmad Shukri Abdul Ghani dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa, menerusi bantuan pendidikan ini, MyUni dan MCCF mengambil langkah penting ke arah mempromosikan peluang pendidikan untuk semua pelajar, membolehkan mereka mencapai matlamat akademik mereka dan membina masa depan yang terjamin.
"Pendidikan adalah kunci utama untuk perubahan dan melalui dana ini, kami berhasrat memperkasakan pelajar daripada komuniti yang kurang mendapat peluang pendidikan.
"Perkongsian kami dengan MCCF adalah satu bukti komitmen bersama kami untuk menjadikan pendidikan boleh diakses oleh semua," katanya selepas pemeteraian MoU tersebut dilaksanakan pada Khamis.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, usaha itu juga diwujudkan dengan misi untuk memastikan kekangan kewangan tidak menghalang pelajar yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah, kumpulan asnaf, dan kumpulan B40 untuk meneruskan pendidikan mereka.
"Dana Pendidikan MYUNI-MCCF bukan sekadar bantuan kewangan, ia mewakili harapan dan peluang untuk pelajar yang mungkin tidak dapat meneruskan pelajaran.
"Kami berdedikasi untuk memastikan setiap pelajar yang layak dapat mengakses sumber yang mereka perlukan untuk berjaya," kongsi beliau lagi.
Untuk rekod, MyUni (Malaysian Universities & Colleges Online Application System) adalah sistem kemasukan pelajar secara atas talian khusus untuk institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Syarikat Iklanika Sdn Bhd telah membangunkan sistem ini semenjak tahun 2020 dengan penglibatan lebih 60 IPTS, sebanyak 500,000 capaian awam, 100,000 pengunjung laman web MyUni dan 3,000 pelajar yang telah mendaftar dengan sistem itu.
Dengan adanya memorandum persefahaman ini dapat memberi lebih pendedahan awam kepada MyUni dan meningkatkan lagi bilangan pelajar yang mendaftar serta mendapat manfaat dari sistemnya.
Iklanika Sdn Bhd (MyUni) juga komited mempromosikan pendidikan tinggi dan menyediakan peluang kepada pelajar untuk cemerlang dalam akademik.
Melalui pelbagai inisiatif, MyUni berhasrat merapatkan jurang antara peluang pendidikan dan masalah kewangan pelajar.
Malaysian Community Care Foundation (MCCF) pula sebuah organisasi yang menjalankan program sosio-ekonomi ddalam pelbagai komuniti untuk membangun kemakmuran hidup, memperkukuh perpaduan dan memelihara keamanan.
MCCF memberi tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebajikan sosial untuk mewujudkan impak positif yang berkekalan.
Untuk maklumat lanjut tentang Dana Pendidikan MyUni-MCCF dan cara memohon, sila layari laman web www.MyUni.com.my atau hubungi 03-6178 6095 (MCCF) / 03-6177 1561 (MyUni).