
UUM tubuhkan dua jawatankuasa, pastikan kejadian sama tidak berulang lagi
Universiti Utara Malaysia (UUM) menubuhkan dua jawatankuasa bagi memastikan kemalangan tragis melibatkan mahasiswanya baru-baru ini, tidak berulang lagi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan jawatankuasa itu bagi memastikan kejadian seumpama tidak berulang.
"Mereka (pengurusan UUM) juga akan memastikan supaya prosedur-prosedur yang lengkap itu dipatuhi dengan sebaik-baiknya," katanya sewaktu menghadiri Majlis Rumah Terbuka KPT di Putrajaya, pada Isnin.
Pada 19 April lalu, seorang pelajar UUM maut selepas dilanggar sebuah bas kampus dalam kejadian tragis yang berlaku di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, UUM Sintok, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Selain itu, Zambry turut mengarahkan kementerian berkenaan akan melaksanakan siasatan menyeluruh tentang insiden tersebut.
"Saya memandang serius bagi setiap kejadian kemalangan yang melibatkan pelajar-pelajar kita.
"Dalam hal ini bukan hanya melibatkan di UUM, tetapi ia melibatkan semua universiti. Kita tidak boleh memandang ringan akan perkara-perkara yang melibatkan pelajar. Saya telah pun mengarahkan supaya siasatan menyeluruh di buat," katanya.
Zambry turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar berkenaan.
"Saya bagi pihak KPT terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar kita yang terlibat, amat menyedihkan bila saya mendapat laporan itu," katanya.