'Uwais & adiknya menangis diberitahu ibu bapa meninggal dunia' - Warga maya gagal tahan air mata kenang nasib mereka
Masihkah anda ingat dengan satu kemalangan yang membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara baru-baru ini?
Dalam tragedi itu, sebuah keluarga yang menaiki Toyota Estima telah meninggal dunia iaitu Khairul Ikhwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2; Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Bagaimanapun, dua penumpang lagi, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan (Uwais), 7, dan adiknya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, terselamat dalam peristiwa menyayat hati tersebut.
Mereka yang telah dibenarkan keluar dari hospital pada Sabtu tidak dapat menahan sedih tatkala menerima berita mengenai kematian kedua-dua ibu bapa dan adik bongsunya dalam nahas tersebut.
"Kedua-duanya menangis selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh ahli keluarga mereka, dengan bantuan pakar psikiatri Hospital Melaka,” demikian kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem menerusi portal tempatan.
Menurut beliau, Uwais dan Nur Sofea Humaira akan menerima rawatan susulan oleh pakar ortopedik dan psikiatri di Hospital Serdang.
"Dua beradik akan diiringi ahli keluarga untuk pulang ke kediaman mereka di Bangi dengan menaiki ambulans lewat petang ini," katanya.