KPM-DUIT-SINARBESTARI-2023
KPM-DUIT-SINARBESTARI-2023

Wang BAP dilarikan akan diganti, diagih sebelum sekolah dibuka

Mariatul Qatiah Zakaria
20 Jan 2023 12:32pm
A
A
A

Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah lebih RM100,000 yang hilang dilarikan penjenayah pada Isnin akan diganti dan diagihkan sebelum sesi persekolahan baharu bermula.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang memberi jaminan berkenaan mengakui ralat dengan kes kehilangan wang tersebut.

“Kita sedang menunggu kelulusan dan jawapan dari Kementerian Kewangan (MOF) mengenai gantian BAP itu.

“Duit yang hilang itu akan diganti semula, jangan risau. Itu hak anak-anak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya, semalam.

Fadhlina menambah, guru besar terbabit dalam kehilangan wang bantuan itu juga akan disiasat berdasarkan tatatertib penjawat awam.

Beliau berkata, KPM menyerahkan kes terbabit kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk tindakan lanjut.

“JPN Selangor sudah bertemu dengan guru besar berkenaan dan mereka akan umumkan hasil siasatan itu kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai video tular kes gaduh membabitkan sekumpulan pelajar, Fadhlina berkata, beliau sudah mengarahkan JPN Sabah untuk mengendalikan kes terbabit.

Jelasnya, JPN Sabah akan menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan sewajarnya.

“KPM mahu memperkasakan jabatan pendidikan negeri untuk mengurus tadbir dan memimpin setiap isu.

“Kita tidak mahu isu bersifat domestik disensasikan di peringkat nasional dan tiada keperluan untuk itu,” katanya.

Artikel berkaitan

KPM janji tambah baik proses pemberian wang bantuan ke sekolah

KPM umum Sesi Persekolahan 2023/2024 baharu bermula 19 dan 20 Mac depan

Senarai Garis Panduan Pengurusan Panitia Mata Pelajaran di Sekolah KPM

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok