pexels-dom-le-roy-3991976
pexels-dom-le-roy-3991976

4 fakta menarik Piala Dunia 2022

Azleenda SahaludinAzleenda Sahaludin
22 Nov 2022 03:11pm

Sukan bola sepak merupakan sukan yang sering menjadi bualan di pelbagai peringkat masyarakat.

Bermula dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa, tanpa mengira perbezaan kaum, budaya, umur serta jantina, bola sepak satu sukan yang dilihat mampu menyatukan semua.

Bola sepak juga secara umumnya telah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah lebih-lebih lagi dengan kewujudan Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) yang menggalakkan penglibatan pelajar dalam mana-mana sukan yang digemari.

Walapun masih tidak boleh menyangkal kepentingan akademik kepada pelajar sekolah, namun sukan juga perlu diketengahkan terutamanya bagi membantu mencungkil bakat-bakat muda dari peringkat akar umbi.

Seperti umum diketahui, bola sepak mula menjadi topik perbualan hangat sejak beberapa bulan lalu kerana tahun ini Piala Dunia FIFA 2022 akan berlangsung.

Penantian ramai telah berakhir pada 20 November lalu apabila Piala Dunia FIFA 2022 telah membuka tirai secara rasminya di Stadium Al Bayt.

Qatar merupakan negara Arab pertama dan menjadi negara Asia kedua selepas Korea Selatan dan Jepun yang telah terpilih menjadi negara penganjur bagi perlawanan tersebut.

Untuk itu, sempena demam Piala Dunia, Sinar Bestari kongsikan empat fakta menarik kepada pembaca mengenai Piala Dunia 2022 yang berlangsung pada 20 November hingga 18 Disember ini.

Jom baca!

1) Pengadil wanita pertama pada Piala Dunia

Untuk edisi kali ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memilih tiga pengadil perempuan iaitu Stephanie Frappart dari Perancis, Salima Mukansanga dari Rwanda dan Yoshimi Yamashita dari Jepun. Mereka ini telah dipilih dalam kalangan 36 pengadil yang akan bertugas sepanjang perlawanan berlangsung. Pemilihan tiga pengadil perempuan ini dilihat satu sejarah baharu dalam perlawanan bertaraf dunia.

2) Virtual Assistant Referee (VAR)

Penggunaan teknologi baharu ini dilihat dapat membantu menjadikan perlawanan lebih adil dan saksama. Teknologi Virtual Assistant Referee (VAR) yang digunakan bertujuan untuk membantu pengadil bagi mendapatkan keputusan dalam empat perkara, antaranya pengesahan jaringan gol, pemberian sepakan penalti, layangan kad merah serta pengecaman pemain yang melakukan kesalahan dalam perlawanan. Dalam pada itu, sebanyak 12 kamera telah dipasang pada stadium-stadium rasmi perlawanan yang bertujuan untuk membekalkan data pergerakan pemain ke sistem VAR ini.

3) Penggunaan sensor

Selain itu, satu lagi teknologi baharu yang diperkenalkan dalam perlawanan ini adalah dengan menggunakan teknologi ofsaid secara autamatik buat kali pertama. Teknologi ini menggunakan sensor yang dipasang pada bola rasmi untuk mengesan keputusan ofsaid dengan cepat dan lebih adil. Sensor tersebut akan diletakkan pada bahagian tengah bola dan akan menghantar data dalam bentuk video sebanyak 500 kali setiap masa perlawanan.

4) Penggunaan pendingin hawa

Dalam usaha memberi keselesaan kepada penyokong Piala Dunia di stadium, pihak penganjur telah memasang sistem pendingin hawa sepenuhnya di setiap stadium yang terlibat. Sistem ini terletak di bahagian depan dan belakang padang yang melibatkan penggunaan tenaga solar. Lebih menarik, sistem ini juga dibangunkan sendiri oleh Universiti Qatar. Selain bertindak memastikan udara sejuk bagi keselesaan pemain dan penyokong, sistem ini turut dilengkapi dengan penapisan udara bersih untuk penonton yang hadir menyaksikan perlawanan.

Artikel berkaitan

“Saya mahu mereka jadi pemain bola sepak profesional” – Ustaz Farid

Kecemerlangan aksi Akhyar Rashid, hasil pembangunan bola sepak SMK Mergong

ICFL anjur kejohanan bola sepak B16 peringkat kebangsaan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp