“Saya mahu mereka jadi pemain bola sepak profesional” - Ustaz Farid
“Saya mahu mereka jadi pemain bola sepak profesional” - Ustaz Farid

“Saya mahu mereka jadi pemain bola sepak profesional” - Ustaz Farid

Roshlawaty Md Raieh
14 Oct 2022 05:00pm
A
A
A

Sekolah Kebangsaan (SK) Muadzam Jaya, Pahang cukup bertuah kerana mempunyai barisan guru yang berkaliber, berkarisma dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Apabila memiliki guru-guru sebegini, sudah pastilah yang beruntung adalah murid-muridnya kerana dapat menimba ilmu yang banyak daripada cikgu berkenaan.

Guru subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Ustaz Muhammad Farid Wajdie Mohamed Faridul Atrash, merupakan salah seorang guru sekolah itu yang sangat berpengalaman luas dalam sukan bola sepak.

Sejak dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak SK Muadzam Jaya beberapa tahun lalu, pelbagai pencapaian dan anugerah telah diraih oleh pasukan berkenaan.

Antara pencapaian tersebut adalah beberapa murid SK Muadzam Jaya berjaya mewakili daerah Rompin dan negeri Pahang dalam sukan bola sepak.

Malah, ada juga muridnya iaitu Aqil Syafiq Aziz dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Rompin (MSSDR) Bawah 12 tahun, 2022.

Pencapaian murid Tahun Lima tersebut secara tidak langsung telah membanggakan seluruh warga sekolah terutamanya Ustaz Farid.

Melihatkan kejayaan murid-murid ini, Sinar Bestari cuba mencungkil sedikit rahsia daripada Ustaz Farid berkaitan kejayaan anak-anak didiknya itu.

Kata Ustaz Farid, tiada sebarang rahsia yang diamalkan selain memberi komitmen tinggi ketika melatih murid-murid dan sanggup berkorban masa serta tenaga dalam memastikan hasrat tercapai.

“Saya mahu lihat anak-anak murid berjaya dalam sukan bola sepak. Kerana itu, saya sanggup berkorban terutamanya masa dan tenaga demi kecemerlangan murid-murid dalam sukan tersebut,” ujarnya yang memiliki Sijil Kejurulatihan Lesen C- Asian Football Confederation (AFC).

Dalam usaha mencari lebih ramai bakat baharu dalam sukan bola sepak, Ustaz Farid telah menganjurkan program SKMJ Soccer Boys yang bermatlamat melahirkan bakat-bakat gemilang dalam sukan ini.

“Program SKMJ Soccer Boys khusus untuk melahirkan seberapa ramai murid yang berbakat besar bagi mewakili daerah mahupun negeri.

“Mohon doa dan kata-kata semangat daripada semua agar program ini berjaya mencapai objektifnya,” jelas beliau.

Kami di Sinar Bestari mendoakan agar usaha Ustaz Farid untuk melahirkan lebih ramai pemain yang berbakat dalam bola sepak akan tercapai, insya-ALLAH.

Artikel berkaitan 

Baru 30-an, sumbangan Cikgu Tarmizi dalam bola sepak SK Bukit Mutiara membanggakan!

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan

Kecemerlangan aksi Akhyar Rashid, hasil pembangunan bola sepak SMK Mergong


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok