badan-beruniform
badan-beruniform

Aktiviti kokurikulum bantu bentuk kemahiran insaniah pelajar

nurizan
01 Jul 2022 11:10am
A
A
A

Kemahiran insaniah (soft skills) dikaitkan dengan sifat personaliti individu, bijak berkomunikasi, pandai mendapatkan kenalan, berdaya tahan dan berinovatif.

Hakikatnya, kemahiran ini boleh dipupuk sedari usia kanak-kanak dan remaja lagi. Penglibatan murid sekolah di dalam aktiviti kokurikulum dapat membantu membina kemahiran ini. Peribadi mereka akan pesat berkembang, begitu juga potensi diri dapat dilonjakkan ke tahap maksimum.

Di antara aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah ialah badan beruniform seperti pengakap, kadet polis, Persatuan Bulan Sabit Merah, Puteri Islam dan sebagainya. Melalui aktiviti ini pelajar dapat mengembangkan minat dan kemahiran dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran.

Meskipun terdapat segelintir ibu bapa tidak mengalakkan penglibatan anak-anak di luar bilik darjah kerana menganggap aktiviti itu sebagai membuang masa dan hanya mahu anak fokus kepada pelajaran sahaja.

Namun, kejayaan seorang murid tidak dilihat berdasarkan bilangan A yang diperoleh semata-mata, sebaliknya dinilai secara menyeluruh meliputi sikap, pemikiran serta nilai insaniah yang ada dalam diri.

Malah, ramai pelajar yang mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi gagal untuk berkomunikasi dengan baik atau membentuk kerjasama kumpulan. Justeru, seorang pelajar perlu menguasai kemahiran teknikal dan insaniah sebagai acuan membentuk dirinya menjadi manusia.

Kemahiran teknikal yang merujuk kepada pembelajaran yang diajar secara formal di dalam bilik darjah manakala kemahiran insaniah pula bersifat keperibadian iaitu berperanan membentuk personaliti yang berkembang dari masa ke masa melalui pertumbuhan dan kematangan peribadi.

Kombinasi kedua-duanya mampu memantapkan pembentukan diri seorang pelajar. Justeru, ia berperanan dalam menggalakkan perkembangan bakat, sifat kreativiti selain melonjak potensi murid ke tahap yang maksimum.

Pentingnya kokurikulum dalam membentuk kemahiran insaniah, ini yang perlu diketahui:

1.Penyertaan pelajar dalam bidang kokurikulum adalah kesempatan untuk membantu murid membuat persediaan sebelum menempuhi alam kerjaya yang penuh dengan cabaran.

2. Ia membantu memupuk hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat serta menyemai semangat berkhidmat, bekerjasama, dan saling membantu antara satu sama lain.

3. Selain ia berupaya memberi keseronokan kepada murid, kegiatan kokurikulum adalah kaedah mendidik anak-anak untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah serta membina kesihatan fizikal dan mental.

4. Kemahiran insaniah yang kuat biasanya menjadikan seseorang murid serba boleh, beradab, baik dan beretika.

5. Kegiatan kokurikulum juga memberi peluang kepada pelajar untuk membina personaliti diri yang menarik.

Justeru, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya melahirkan pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif serta mampu membentuk kemahiran insaniah.

Dalam pada itu, ibu bapa perlu memberi semangat dan menggalakkan anak-anak menyertai aktiviti sekolah itu.

Artikel berkaitan

Soalan lazim berkaitan dengan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum KPM

UPNM tawar laluan APEL kepada warga badan beruniform - MQA

Penglibatan pelajar dalam unit beruniform lahir pemimpin berwibawa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok