C4FA4BF3-8028-428E-AEA3-F53CE83295BB
C4FA4BF3-8028-428E-AEA3-F53CE83295BB

5 permainan hilangkan mengantuk pelajar ketika di dalam kelas, guru-guru boleh cuba praktikkan

Rasyidah Zulkifi
15 Feb 2022 12:00pm
A
A
A

Sekiranya guru-guru mendapati anak murid sudah tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, ini bermakna mereka sudah letih belajar.

Jadi untuk mengatasi keadaan ini, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) boleh diselang-selikan dengan permainan ringkas.

Baca juga:

Pendidik boleh galakkan ‘game’ ni. Cara main sudoku untuk murid sekolah

Main ‘game’ pun boleh belajar, jom kenali portal permainan pembelajaran untuk anak-anak

Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian daripada Cikgu Raihan yang melibatkan permainan santai ketika sesi PdP.

Mari kita ikuti jenis permainan berikut bersama-sama.

****

Assalamualaikum semua...

Saya memang suka elemen permainan diterapkan dalam PdP untuk mengelakkan murid-murid daripada tertekan mempelajari subjek saya, tetapi pada masa sama mereka masih menghormati saya sebagai guru. Tambahan pula, saya mengajar murid sekolah rendah, jadi semestinya mereka ini suka bermain.

Adakala mereka gamifikasi menggunakan komputer dan secara dalam talian. Kadang-kadang ada permainan yang saya tak rancang pun, tapi tiba-tiba boleh muncul dalam benak fikiran dan terus saya jalankan di dalam kelas. Lazimnya permainan tersebut mudah sahaja, tidak memerlukan peralatan khas dan sebagainya. Jadi, boleh main terus walaupun tanpa persediaan.

1. Kotak beracun

Kotak beracun sebenarnya sesuai untuk semua subjek dan merupakan aktiviti berbentuk kuiz. Permainan ini memerlukan kotak, muzik dan turut melibatkan pergerakan murid menghantar kotak kepada kawan-kawan yang lain.

Cara untuk bermain adalah dengan menyediakan satu kotak atau bekas bertutup yang di dalamnya berisi kertas kecil yang mengandungi soalan. Kertas tersebut perlu dilipat dengan kemas bagi mengelakkan soalan bocor. Kemudian, guru perlu menyediakan muzik dari radio atau laptop.

Seterusnya, guru memainkan muzik sementara murid menghantar kotak beracun kepada rakan-rakan dan apabila guru menghentikan muzik, maka, murid terakhir yang memegang kotak itu perlu mengambil satu soalan dalam kotak dan jawab.

2. Bisik-bisik

Permainan bisik-bisik sesuai untuk subjek yang melibatkan maklumat dan fakta.

Cara untuk bermain adalah, guru menulis teks pendek berkaitan subjek pada kertas. Tulisan perlulah jelas supaya murid boleh membaca dan mengingat dengan baik. Kalau ada 10 fakta atau ayat, maka, 10 pusingan mereka akan bermain.

Guru-guru perlu membahagikan murid ke dalam tiga atau empat kumpulan besar. Kemudian, guru melantik seorang ketua untuk setiap kumpulan dan mereka perlu datang ke hadapan bagi membaca nota yang tertera di atas kertas. Setelah itu, ketua kumpulan akan kembali ke kumpulan masing-masing dan mula berbisik tentang apa yang mereka baca sebentar tadi. Akhir sekali, l orang terakhir akan memberitahu maklumat yang dia terima.

3. Dam ular

Permainan ini sesuai untuk subjek Matematik dan boleh juga dijadikan sebagai aktiviti mengulangkaji pelajaran.

Cara bermain dam ular adalah, menyediakan dam ular besar. Kemudian, guru perlu menyediakan soalan dalam sehelai kertas A4 mengikut bilangan kotak dam untuk setiap kumpulan. Sediakan sekali jawapan untuk memudahkan mereka menyemak jawapan. Ini dikira sebagai akses pembelajaran kendiri yang lebih kepada lisan.

Mula-mula, murid bermain dam dan dalam setiap kotak, ada soalan yang perlu dijawab. Jika murid gagal menjawab, dia akan kekal di tempat asalnya dan murid yang berjaya menjawab boleh maju ke kotak dam seterusnya. Akhir sekali, pemenang akan dipilih berdasarkan siapa yang paling cepat habis main.

4. Maraton cerita

Aktiviti cerita secara maraton ini boleh dijalankan secara bertulis mahupun lisan dan sesuai untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan lain-lain.

Tiada persediaan khas untuk bermain permainan ini cuma memerlukan pen, papan putih dan ‘timer’ jika perlu.

Guru perlu menyatakan tajuk, kemudian pilih seorang murid untuk memulakan ayat dan murid tersebut akan tulis ayat di papan putih.

Contohnya, murid A. Pada cuti sekolah yang lalu, saya pergi ke Cameron Highland bersama keluarga. Kemudian, murid B akan menyambung ayat diikuti dengan murid C sehingga cerita tamat.

5. Baca berita

Aktiviti membaca berita boleh mengukuhkan lagi kefahaman tentang teks yang dibaca. Selain itu, aktiviti ini juga membantu murid untuk membaca dan membunyikan perkataan dengan baik.

Langkah pertama, sediakan teks yang sesuai melalui sisipan akhbar yang guru dan murid langgan dan minta mereka pilih satu berita pendek yang mereka suka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Kemudian, panggil seorang murid untuk membaca berita di hadapan kelas menggunakan nada yang bersesuaian. Kaedah ini boleh buat ‘flipped classroom’, minta murid tonton berita di rumah, jadi mereka tahu bagaimana cara yang betul untuk membaca berita semasa aktiviti dijalankan di kelas nanti.

Kesimpulannya, banyak lagi permainan yang boleh dimainkan bersama murid sambil pada sesi PdP. Guru-guru perlu menceriakan murid supaya objektif di kelas tercapai dan murid-murid dapat belajar sesuatu dengan aktiviti yang dijalankan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok