Cute little girl popping bubble wrap on a white background
Cute little girl popping bubble wrap on a white background

Lentur tangan anak-anak dengan aktiviti prapenulisan sebelum bersekolah

Rasyidah Zulkifi
14 Feb 2022 04:31pm
A
A
A

Di rumah, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mengajarkan anak-anak berlatih menulis sebelum mereka bersekolah.

Ramai ibu bapa menyangka latihan yang dilakukan mestilah berpandukan buku semata-mata sebaliknya, mereka hanya perlu melatih anak masing-masing membuat persediaan otot jari terlebih dahulu.

Baca juga:

Murid prasekolah teruja Iron Man datang sekolah. Kejutan yang menjadi!

‘Murid prasekolah pun faham’ – Hanya bimbing di grup WhatsApp, cikgu ini hasilkan video COVID 19

Persediaan otot pula boleh dibuat dengan membiasakan anak-anak dengan kemahiran tangan dalam kehidupan seharian.

Sinar Bestari ingin berkongsi dengan ibu bapa beberapa jenis aktiviti prapenulisan anak-anak sebagai persediaan memasuki alam persekolahan.

1. Latih tangan dengan penyepit baju untuk mengepit pakaian

Menyepit pakaian salah satu bentuk prapenulisan.

Ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada anak-anak untuk melakukan aktiviti ini. Jadi, buangkan stigma takut pakaian baru dicuci terjatuh dan kotor.

Tip mudah, ibu bapa boleh mulakan aktiviti pra-penulisan ini dengan meminta anak-anak menyangkut pakaian yang ringan seperti anak tudung, sapu tangan dan stoking pada penyangkut baju jenis payung.

Seterusnya, apabila pakaian sudah kering ibu bapa boleh meminta anak-anak untuk menanggalkan pakaian tersebut daripada penyangkut baju.

2. Bina kemahiran tangan dengan mengikat tali pada kasut

Mengikat tali kasut boleh membentuk tangan anak-anak supaya cekap.

Pada peringkat permulaan, aktiviti ini kelihatan sukar tetapi apabila dilatih setiap hari, mereka mampu melakukannya.

Jadi, ibu bapa perlu tunjukkan tutorial cara-cara mengikat tali kasut yang betul kepada anak, langkah demi langkah.

Berikan mereka masa untuk berlatih dan jangan sesekali mendesak. Pun begitu, ibu bapa juga perlu kawal raut wajah jangan sampai menampakkan riak marah atau tidak sabar.

Ini kerana, raut muka dapat mempengaruhi anak-anak sama ada untuk terus bermotivasi atau berputus asa.

3. Memerah air daripada span atau mencuci kereta

Ini merupakan salah satu aktiviti prapenulisan yang menguatkan tangan anak-anak untuk menggenggam.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mengajar anak untuk memerah kain.

Pastikan kain yang ingin diperah mempunyai jumlah air yang sedikit sebelum diberikan kepada anak-anak.

4. Menguli tepung dengan tangan

Aktiviti pra-penulisan ini bukan sahaja melentur otot tangan anak-anak, malah, boleh membentuk kemahiran memasak.

Ibu bapa boleh memberikan arahan kepada anak-anak mengenai sukatan doh tepung. Biarkan anak-anak membuatnya bersendirian tanpa bantuan.

Kemudian, setelah bahan-bahan dibancuh, ibu bapa boleh meminta anak-anak untuk menguli adunan tepung tersebut.

Lama-kelamaan, tangan anak anda akan menjadi semakin cekap hari demi hari.

5. Memicit ‘bubble wrap’

Memicit bubble wrap juga prapenulisan yang baik buat anak-anak sebelum bersekolah.

Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan bahkan ia dapat meningkatkan daya tumpuan anak-anak anda.

Jadi, jangan buang pembalut yang diperoleh ketika anda membeli barang.

Biarkan mereka ‘asyik’ memicit ‘bubble wrap’ yang mengeluarkan bunyi pop sehingga puas.

6. Membuat corak lukisan menggunakan jari

Aktiviti prapenulisan ini sering dikaitkan dengan melukis inai bercorak pada tangan.

Ibu bapa boleh menjadikan tangan masing-masing sebagai ‘kertas’ anak mereka membuat corak inai.

Dari situ, anda boleh menilai kebolehan otot tangan anak-anak sebelum memberikannya pensel dan alat tulis.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Tuntasnya, Sinar Bestari berharap ibu bapa tidak menyerahkan tugas prapenulisan sebulat-bulatnya kepada guru sekolah kerana mereka juga telah diamanahkan dengan pelbagai tanggungjawab lain.

Sumber: Teacher Syeri

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok