Untitled design
Untitled design

Bas ilmu SMKAMi dapat pujian ramai

Roshlawaty Md Raieh
07 Dec 2021 06:00pm
A
A
A

KELAINAN Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri (SMKAMi), Sarawak dalam menjadikan bas uzur kepada sebuah perpustakaan dipuji ramai.

Ini kerana, belum ada mana-mana sekolah yang berbuat demikian dan SMKAMi merupakan sekolah pertama di negeri itu yang menginovasikan bas kepada perpustakaan.

YDP PIBG SMKAMi, Marini Juraibi berkata, pada asalnya kenderaan telah dilupuskan oleh pihak sekolah kerana tidak berfungsi lagi.

“Tetapi sebuah syarikat telah membelinya pada tahun 2020 dan menghadiahkan kembali kepada SMKAMi untuk dijadikan perpustakaan,” ujarnya.

Usaha SMKAMi ini mendapat sokongan dan sumbangan kumpulan PIBKS yang terdiri dari ibu bapa, komuniti dan pihak swasta, justeru sesi ubahsuai bas mula dilakukan tahun lepas.

“Warga sekolah dan barisan PIBG sanggup berkorban masa dan tenaga dalam menjadikan bas yang dilupuskan ini sebagai bas ilmu.

“Secara gotong royong dan tanpa pernah mengenal penat lelah, mereka hadir dan menghias kenderaan ini dengan begitu cantik sekali," katanya.

Jelas beliau, pelbagai jenis bahan bacaan seperti buku, novel dan majalah telah dimuatkan.

Turut disediakan penghawa dingin, lampu dan kemudahan wifi. Paling menarik, ia juga boleh dijadikan lokasi bagi mengadakan kelas bimbingan secara berkelompok kepada pelajar," katanya dan menambah bas ilmu tersebut telah mula digunakan pelajar ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini.

Bagi memastikan perkhidmatan bas ilmu dalam keadaan baik, dua guru iaitu Cikgu Erman Ngah Mauzi dan Cikgu Azilah Nazri dilantik untuk menyelaras bas berkenaan.

Dalam pada itu, kedudukan bas ilmu tersebut berhampiran dengan asrama pelajar dan di sekitar kawasan laman bas disediakan gazebo dan kandang arnab sebagai salah satu lokasi riadah pelajar.

Artikel berkaitan 

Lakukan 6 perkara ini untuk anak kuasai bahasa Inggeris. Sangat berkesan!

Netizen terharu lihat kesungguhan pelajar OKU penglihatan tekun belajar guna tongkat di TikTok

KPM umum Sesi Persekolahan 2023/2024 baharu bermula 19 dan 20 Mac depan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok