Untitled design (1)
Untitled design (1)

"Cikgu, sedapnya kalau dapat makan ini, dah lama saya teringin"

Roshlawaty Md Raieh
18 Feb 2022 01:50pm
A
A
A

Cikgu, mak ayah saya tak ada duit, sebab tu saya tak bawa hari ini”

“Semalam saya dan adik-adik makan nasi dengan kicap sahaja, tak pa cikgu, kami dah biasa dah”

“Sedapnya kalau dapat makan KFC kan cikgu. Dah lama saya teringin, tapi mak ayah cakap, tak ada duit nak beli”

“Baju dengan kain sekolah memang dah lama tak bertukar cikgu. Ibu cakap, pakailah dulu selagi boleh, kalau ada duit ibu belikan nanti”

“Duit tak cukup nak beli makanan di kantin jadi saya hanya minum air kosong sahaja”

Inilah sebahagian luahan anak-anak murid kita ketika mereka berada di sekolah.

Kala orang lain menikmati hidangan serba lengkap di sekolah dan juga di rumah, tapi tidak bagi murid-murid yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

Allahu, penulis menitiskan air mata bila mengenangkan kesusahan yang dialami oleh murid-murid ini.

Berpeluang menemubual Cikgu Pe Chey dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Unjur, Klang, Selangor baru-baru ini membuatkan penulis sebak.

Rupa-rupanya masih ramai murid-murid kita tidak dapat menikmati makanan yang mereka inginkan, hanya kerana ketiadaan wang.

“Gee, cikgu pernah bagi coklat dekat murid-murid. Tapi bila mereka tak makan, cikgu pelik.

“Bila cikgu tanya, mereka jawab sayang nak makan sebab coklat ini mahal,” kata Cikgu Pe Chey atau nama penuhnya Cikgu Nor Faisal Ishak.

Cikgu Pe Chey

Kata Cikgu Pe Chey, riak wajah murid-muridnya ketika menikmati coklat Fererro Roche itu benar-benar menggembirakan hati.

“Mereka gigit dan kemudian kunyah. Muka masing-masing senyum bahagia. Mungkin ini kali pertama mereka makan.

“Cikgu sebak tengok. Mereka benar-benar bahagia dapat makan coklat. Sebab itulah cikgu sentiasakan teruskan projek amal untuk anak-anak murid. Cikgu tak kaya Gee, tapi cikgu usahakan cari dana untuk penuhi keinginan mereka. Alhamdullilah, ramai yang menghulurkan sumbangan, terima kasih buat semua,” katanya.

Sebagai menghargai segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh Cikgu Pe Chey terhadap anak-anak didiknya, Sinar Bestari kongsikan sebahagian kisah untuk tatapan umum.

Semoga ia dapat dijadikan rujukan untuk guru-guru lain yang berhajat berbuat perkara yang sama demi murid-murid yang disayangi.

Mari ikuti perkongsian cikgu hebat ini.

*****

Jumaat, 28 Januari 2022

Alhamdulillah, tertunai sudah hasrat semua penyumbang pada hari Jumaat yang barokah ini.

Tadi, masa waktu rehat, aku sampaikan set hidangan McDonalds kepada lebih 100 orang murid Tahun Tiga dan semua pekerja bukan guru.

Rata-rata anak murid seronok dan teruja kerana menantikan hidangan ayam goreng, burger, kentang goreng dan minuman milo. Ini semua hasil sumbangan kalian, pembaca yang budiman.

Terima kasih kepada rakan guru yang proaktif membantu menyerahkan set makanan tadi.

Aku puas hati kerana ini bukan program yang dirancang sangat sampai perlukan mesyuarat 18 kali tapi tak jadi-jadi. Ini program tak dirancang tapi terlaksana dengan cukup jayanya. Paling penting, sumbangan kalian, sampai ke sasaran.

Alhamdulillah.

Murid seronok, guru pun tumpang gembira.

Tadi, ada seorang ustazah mesej aku.

“Cikgu, tadi, Ariana (bukan nama sebenar) bagitahu, bila besar nanti, saya pun nak buat macam Cikgu Faisal buat. Bagi orang lain makan makanan yang tak semua orang mampu.

"Cikgu, Adief (nama betul) pun kata, seronok saya tengok Cikgu Faisal bagi kami makan McDonalds. Nanti saya pun nak buat macam ni.

Allahhuakbar. Sebak aku baca mesej ustazah.

Mungkin dia dalam kelas bersoal jawab dengan murid tentang konsep bersedekah hari Jumaat.

Objektif aku buat program ini tercapai. Daripada hanya bagi makan coklat, aku cuba pula bagi makan McDonalds. Ingatkan tak dapat, rupanya terlebih dapat. Alhamdulillah ya Allah.

Aku nak, biar anak murid faham akan keperluan membantu orang lain. Bagi makan atau apa juga kebajikan terutama di hari Jumaat yang mulia ini.

Halangan tetap ada, cercaan tetap berbunyi namun aku tetap teruskan langkah ini.

Doakan aku ya kawan-kawan.

Aku bacakan doa tadi agar tuhan berikan rezeki berlipat kali ganda, berikan kesihatan yang baik, sembuhkanlah mereka yang dalam kesakitan dan sejahteralah semua penyumbang.

Anak murid semua ikut aku baca doa dan aminkan.

Alhamdulillah. Aku bahagia. Murid gembira semua.

Sabtu, 29 Januari 2022

Kalau tanya aku, semalam, aku dapat belajar banyak benda dalam hidup. Aku belajar erti bersyukur, aku belajar menghulur, aku belajar apa itu kasih sayang.

Bila berikan budak-budak dekat sekolah makan McDonalds, aku belajar bahawa dengan mencari dana, tempahkan makanan, serahkan sumbangan dan dengar kata-kata budak masa makan…

"Bila besar nanti, saya pun nak bagi orang makan..."

Pada aku, objektif berjaya. Budak-budak aku nampak dan faham apa yang aku lakukan.

Siap ada yang sanggup tak makan, nak bawa balik, nak makan dengan adik dan kakak, pada aku, budak-budak aku dah tunjukkan aku satu benda.

Bila kita boleh berkongsi, kita semaikan kasih sayang yang tak boleh dibayar dengan wang ringgit.

Alhamdulillah. Terima kasih semua anak murid.

Aku belajar daripada apa yang mereka tunjukkan.

Ahad, 30 Januari 2022

Dalam aku dan kalian gembira menyaksikan post belanja budak-budak makan McDonalds, sebenarnya di luar sana, masih ramai yang belum pernah merasa apa yang pada kita, mungkin sudah biasa rasa.

Contohnya, mesej yang aku dapat ini.

Ada seorang ibu, anak enam, yang belum pernah dapat berikan anak-anaknya makan McDonalds. Budak, pastinya akan teringin nak rasa sesuatu yang dia inginkan.

Bila beliau mesej begini, terusik hati bila bacanya.

Apalah sangat andai kita ada lebihan sedikit, berkongsi dengan ibu ini, sekadar menggembirakan anak-anaknya. Takkanlah dia nak meminta-minta. Bila begitu, nanti pastinya akan ada hinaan.

Bukan apa, bila kita dapat menggembirakan orang lain, terutamanya anak kecil, kita dah buat satu kebajikan yang sangat mulia. Anak-anak pastinya bercerita.

Macam yang aku alami.

" Mak, itulah cikgu yang belanja McDonalds."

Seorang ibu, murid sekolah aku, komen di post tempohari. Seronok aku rasa bila si ibu komen.

Jadinya, kita berkongsilah rezeki. Insya-ALLAH, akan berlipat kali ganda tuhan turunkan lepas itu.

Kalau RM200 dapat menggembirakan anak-anak ini, apalah sangatkan dengan berapa banyak dah kita dapat selama ini?

Isnin, 31 Januari 2022

Tengah sedap tekan minyak tadi kat highway, area Tanjung Malim, mesengger aku berdenting. Aku biarkan. Aku agak sah, ada permohonan bantuan.

Elok singgah RnR Tanjung Malim, aku pun bukalah mesengger. ALLAH, kisah gembira aku terima.

Akak yang aku cuba cari dalam mesenger tempohari hari tapi tak jumpa, dah dapat habuan. Malam tadi pula, ada seorang hamba ALLAH mesej aku,

"Cikgu, akak yang cikgu tulis kisah tu dah merasa ke McDonalds?"

"Belum. Puas saya cari balik mesej tak jumpa. Beribu mesej dalam ni. Nama pun saya tak ingat. Jenuh bila ada yang tanya..."

Memang aku tak ingat nama akak ni pun.

"Kalau belum, saya nak belanja. Bisnes saya baru "lega" sikit ni. Adalah sikit saya nak sumbangkan."

Aku terus cari. Gila weh, nama tak ingat, mesej ada beribu, aku dah nak mengalah. Sampailah,

"Kak, rezeki akak. Ada hamba Allah nak belanja anak-anak akak makan McDonalds."

"Ya ALLAH betul ke cikgu. Alhamdulillah."

Aku serahkan kepada hamba ALLAH tersebut untuk berhubung terus dengan akak ni.

Tau - tau tadi, dia hantar gambar kat bawah ni.

"Cikgu, terima kasih banyak. Anak-anak tengah makan McDonalds ni. Ada orang belanja. Saya tak tau nak kata apa kat dia dengan cikgu."

Aku reply.

"Rezeki anak-anak tu kak. Bismillah."

Ringkas tapi padat.

Terima kasih kepada hamba ALLAH tersebut kerana merealisasikan impian enam anak yang kepingin.

Bukan makanan kayangan, hanyalah sekotak atau sepinggan makanan McDonalds yang selalu keluar iklan yang boleh menyebabkan mak ayah mengeluh.

Mengeluh sebab anak-anak mintak.

Aku pernah lalui detik pilu ini seraya berkata,

"Tunggu gaji ya. Nanti ayah belanja."

Lepas tu aku buat lupa, anak entah. Ingat kot tapi tak berani nak bagitahu. Kejamnya aku sebagai ayah. Keinginan anak, aku pendamkan selalu.

Padahal bila dapat gaji, lepas bayar semua komitmen, duit hanya tinggal 200. Nak tunggu gaji bulan depan, aku diamkan saja pasal McDonalds ni.

Menjawablah kenapa aku belanja anak murid aku McDonalds. Dulu, aku sesak, anak sendiri pun tak dapat.

Sedih.

Selasa, 1 Februari 2022

Baru kejap tadi, akak anak tujuh mesej aku,

"Cikgu, maaf. Tak sempat bawa anak pergi McDonalds siang tadi. Saya ada kerja kena siapkan. Malam ni baru sempat nak pergi. Anak-anak excited. Dah lama sangat mereka tak merasa."

Ingat tak malam tadi, ada aku kongsikan pasal ibu anak tujuh pula yang teringin nak bawa anaknya ke McDonalds?

Tak sampai lima minit aku post, dah ada hamba ALLAH bagi sumbangan. Inilah kisahnya.

Aku senyum bila baca mesej akak ni.

"Anak bagitahu tadi cikgu, dah lamakan mak, kita tak pergi makan kat sini. Seronok malam ni dapat juga makan kat sini."

"Bagitahu kat cikgu dan penyumbang, terima kasih banyak sebab belanja kami."

Allahhuakbar. Aku, bila baca ayat gini, pedih rasa hati. Airmata aku tahan kuat-kuat. Kadang, terlepas juga airmata. Tak sempat aku nak takungkan.

Bila mana suasana ekonomi sekarang yang memang tak menentu. Barang naik harga, pendapatan tak seiring kenaikan. Maka, bertambahlah lagi golongan yang tersepit terhimpit.

Aku kongsikan kasih sayang antara kalian yang membaca post ini dengan mereka-mereka yang ada di luar sana. Kita sama saja, apa yang ada hanyalah sebuah kehidupan yang takkan lama di dunia ini.

Suami akak ni kerja pomen kereta tapi tak ada bengkel. Akak ni pula cuba cari duit dengan cara berniaga online namun mereka juga ada anak yang sakit dan perlukan rawatan yang perlukan belanja besar.

Rezeki mereka malam ni, dapatlah makan McDonalds.

Kita, yang mungkin masih mampu makan, pakai dan bercuti, mungkin agak lega namun percayalah apa yang ada di sekeliling kita kini memang kritikal.

Ini secebis kisah benar yang wujud hari ini.

Isnin, 7 Februari 2022

Sampai sekolah tadi, rakan setugas ada hulur sampul surat besar. Ada collection untuk anak muridnya. Kisahnya boleh tahan memilukan.

Aku yang baru nak makan, terus tak jadi.

Aku terus tanyakan pada kawan tu.

"Kutipan untuk siapa ni?"

"Untuk anak murid saya."

Sepasang adik beradik (Tahun Satu dan Tiga), ibu bapanya entah ke mana, sejak kecil, keduanya, yang menjaganya hanya datuk dan nenek yang tak berapa sihat.

Ada komplikasi banyak penyakit. Nak ditakdirkan, meninggal nenek mereka tiga minggu lepas.Ada datuk, tapi datuknya pun sakit. Makanya, tanggungjawab menjaga mereka kini di bahu makciknya.

Makciknya pula golongan OKU. Allahhuakbar.

OKU apa aku kurang pasti.

Aduh, aku dengar jadi tak sedap hati.

Bantuan di peringkat sekolah semua dapat. RMT, bantuan awal persekolahan semualah. Cumanya bantuan lain aku tak pasti.Aku akan follow up kes anak-anak ini dengan guru kelasnya. Mana lorong boleh dibantu, aku cuba cari penyelesaian.

Nak bantu semua aku tak berani nak jamin. Tapi sekurangnya, bila dah tau kes begini, takkan aku nak buat tak tahu. Anak murid sendiri ni.

Mana boleh ditolong, aku cuba tolong.

Kisah begini memang "makanan" cikgu-cikgu. Kami jarang upkan sebab banyak benda lain nak kena settle. Sampaikan sekarang, kalau ada kepayahan di kalangan ibu bapa, mereka akan cari kami dulu, guru-guru. Bukannya saluran lain.

Bayangkan,

"Cikgu, suami saya diberhentikan kerja. Sewa rumah tak terbayar, dapur dah tak ada apa..."

Ayat begini kami selalu dapat melalui mesej peribadi sejak wujud group kelas tambah lagi sejak pandemik ini yang terus berlanjutan.

Tapi, sekali-sekala, kami, guru -guru kena kongsikan juga agar jadi pengajaran buat kita semua.

Sumber: Facebook Pe Chey

Artikel berkaitan 

“Jauh lagi ke Kudat bang? Lagi 70 kilometer?” – Cikgu Khairul Azman ke Sabah demi tabur bakti!

“Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas”- Cikgu Kumaresan

Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok