Dua murid dari Pahang hebat memburu pelbagai spesies udang
Dua murid dari Pahang hebat memburu pelbagai spesies udang

Dua murid dari Pahang hebat memburu pelbagai spesies udang

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
09 May 2022 02:32pm

Setiap individu pastinya mempunyai hobi yang berbeza dan tersendiri. Ada yang suka memasak, mengumpul setem, mendaki gunung, bersukan, membaca novel, menyanyi, memancing dan pelbagai lagi hobi menarik yang lain.

Apa itu hobi? Hobi merupakan aktiviti berfaedah yang dilakukan pada waktu lapang dan mampu memberi kepuasan serta ketenangan jiwa.

Ia dilakukan mengikut minat dan selagi ia memberi ketenangan dan kepuasan pastinya akan diteruskan hingga dewasa.

Bagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Jerantut, Pahang, Muhammad Ariz Iqram Rizman, 11, walaupun dia masih bersekolah rendah tetapi dia mempunyai hobi memancing udang yang bermula ketika usianya 7 tahun lagi.

Katanya, memancing udang memberi ketenangan malah apabila dia memperoleh hasil tangkapan, satu kepuasan telah lahir hingga teruja untuk meneruskan hobi tersebut sehingga hari ini.

Muhammad Ariz

Menurut anak pasangan Rizman Ibrahim dan Akma Liana Hamdan ini lagi, keluarga banyak memberi sokongan dan mereka selalu mengingatkannya apabila melakukan sesuatu, mesti buat bersungguh-sungguh.

Baca juga

Mahasiswa kaki pancing, pilih hobi memancing sebagai rekreasi santai

Inovasi SaBBAr bantu murid kuasai membaca Bahasa Arab dengan mudah

“Bila saya turun memancing, mak dan ayah selalu pesan, jaga diri dan memancing elok-elok. Jangan pernah putus asa jika tidak dapat udang yang dimahukan. Kena banyak bersabar dan kuat semangat.

“Kata mak, ayah dan ahli keluarga yang lain, pada saat umpan dimakan udang, joran akan melentik atau melengkung dan pemancing perlu tahan saja dan jangan disentap kerana ia akan membuatkan mulut udang koyak dan akan terlepas,” ujarnya yang membawa pulang hasil tangkapan dan ibunya akan masak dan makan bersama keluarga.

Memiliki pelbagai peralatan memancing seperti joran, kekili, tali, perambut, mata kail, batu ladung, swivel dan bekas atau sangkar udang, Muhammad Ariz yang juga merupakan pengawas sekolah berharap hobi memancingnya itu dapat memberikan satu pengalaman yang cukup menarik.

Puas hati dapat udang galah

Sementara itu, Adam Shafiq Ahmad Shafirol, 12, dari SK Pianggu, Kuala Rompin, Pahang turut gemar memancing udang dan dia sempat berkongsi pengalaman manisnya bersama pembaca Sinar Bestari.

“Saya pernah mendapat seekor udang galah bersaiz A yang beratnya antara 50 hingga 99 gram seekor.

“Selain itu, saya juga pernah mendapat ikan sembilang dan beberapa ekor ikan lain seperti toman, ikan keli, ikan malong, tenggiri dan ikan duri.

“Kesemua ikan ini akan dibawa pulang untuk dimasak asam pedas oleh ibu, Norashimah Hussain,” katanya yang menjawat jawatan Ketua Pengawas Sekolah dan Tokoh Nilam SK Pianggu 2021.

Adam Shafiq sering menjadi rujukan rakan-rakan dalam mata pelajaran tertentu di sekolah.

Walaupun hobi memancing ini menyeronokkan, namun Adam Shafiq tidak terkecuali berdepan dengan ancaman haiwan berbisa seperti ular.

“Bila tengah memancing, memang kita tidak perasan ada haiwan berbahaya. Jadi, ayah dan ibu selalu berpesan supaya berhati-hati.

“Jika memancing bersama ayah, dia akan membawa pisau atau parang dan menabur belerang di kawasan sekitar bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini,” katanya yang akan memakai kasut bersesuaian ketika memancing sama ada di sungai atau di kolam.

Seperti Muhammad Ariz, Adam Shafiq turut mempunyai peralatan lengkap untuk memancing udang seperti  gunting (untuk kerja-kerja pemotongan tali), pisau lipat bagi memotong umpun-umpun, playar muncung panjang untuk kemudahan membuka mata kail dari mulut udang, parang dan jaket keselamatan.

Akhir sekali, Adam Shafiq berkongsi sedikit panduan penting untuk memancing udang galah.

“Tiada musim tertentu, bahkan sesetengah tempat boleh dikatakan sepanjang tahun ada udang. Cuma, waktu terbaik ialah pada musim kering.

“Bagi kawasan sungai berhampiran muara pula, sebaiknya selepas hujan di kawasan hulu kerana air akan menjadi lebih payau, yang merupakan habitat udang,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Teknik memancing udang galah

1) Habitat

Udang galah amat gemar mendiami habitat sampah sarap dan air sedikit berarus kerana di situ dikatakan banyak makanan. Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan di mana ada buaya di situ ada udang. Bersampan semasa memancing udang galah dikatakan lebih mendatangkan hasil berbanding memancing dari tebing. Jika bersampan, akan memudahkan pergerakan untuk mencari lubuk udang.

2) Tabiat

Udang juga mempunyai tabiat gemar berkumpul. Apabila pemancing melabuhkan umpan hampir setengah jam tidak mendatangkan hasil, bererti kena beralih ke lubuk lain. Biasanya udang aktif mencari makanan selepas musim hujan dan panas terik. Itulah masa terbaik untuk memancing.

3) Joran

Joran antara faktor utama kejayaan memancing udang galah. Anda tidak perlu joran sepanjang 5 hingga 6 kaki. Sebaliknya cukup sekadar 1 hingga 1.1 meter. Pastikan hujung joran halus bagi memudahkan pemancing mengesan udang menarik atau memakan umpan.

4) Tali utama

Kalau boleh gunakan tali halus supaya dapat merasai kenikmatan memancing udang galah. Ia hanya perlukan tali yang berkekuatan 10 hingga 15 paun. Bagi yang sering mengalami putus perambut akibat gigitan buntal, anda dinasihatkan menggunakan perambut tali benang.

5) Batu ladung

Penggunaan batu ladung amat penting apabila memancing di sungai kerana kebiasaan udang galah menghuni di dasar yang sedikit berarus. Jika lubuk itu tenang batu bersaiz 2, 3 dan 4 sudah memadai. Jika sungai berarus, batu bersaiz 5 hingga 8 amat sesuai.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp