Fenomena filem Mat Kilau bangkitkan semangat murid SK Tangkungon kembali aktif bersilat
Kejayaan filem Mat Kilau telah menarik minat murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tangkungon, Beluran, Sabah untuk menyertai Program Bimbingan Seni Budaya Negara (PBSBN) anjuran Pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Menurut guru besar sekolah itu, Welter Petrus, murid-muridnya semakin bersemangat untuk menyertai Kelab Tunas Budaya (KTB) yang merupakan program pembelajaran berpandukan modul yang dikeluarkan oleh pihak JKKN.
“Seramai 34 murid yang terlibat akan didedahkan dengan modul yang merangkumi pembelajaran bunga tari, jurus dan asas tempur.
“Saya akan memastikan semua murid yang menyertai program ini dapat menamatkan tempoh pembelajaran mengikut modul dalam jangka masa enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Welter turut menerima kunjungan daripada pegawai-pegawai JKKN Sabah bagi memastikan setiap jadual dan silibus yang disediakan dipatuhi untuk melayakkan mereka menerima sijil penyertaan.
Wakil JKKN Sabah, Hassanal Redzuan berkata, kunjungan mereka adalah untuk membuat pemantauan awal bagi memastikan pelajar memahami setiap silibus yang disediakan.
“Tujuan program ini diadakan bagi mewujudkan pelajar cemerlang dalam seni mempertahankan diri di samping bidang-bidang seperti tarian, muzik, teater, gasing dan seni berbahasa sebagai penanda aras prestasi mereka.
“Pihak JKKN Sabah bercadang membuat penilaian bagi penambahbaikan program tersebut pada masa akan datang,” jelasnya.
Setiap sekolah hanya akan ditawarkan satu bidang kesenian yang ditetapkan oleh JKKN Negeri.
Pada akhir pembelajaran, pelajar akan dinilai melalui ujian teori dan amali bagi mengukur tahap kemahiran, kreativiti dan prestasi peserta.
Sementara itu, guru penyelaras program, Ronnah Dungki yang berkata, murid-murid dari SK Tangkungan gembira dapat bertemu dan menyambut kehadiran pegawai-pegawai JKKN Sabah.
“Mereka juga bersyukur kerana diberi peluang untuk memperlajari ilmu mempertahankan diri,” ujar beliau.
Artikel berkaitan
Tingkat pertahanan diri dengan silat sejak sekolah rendah
3,000 pelajar, guru ‘banjiri’ pawagam, tidak lepaskan peluang tonton filem Mat Kilau
Pesilat perlu berani, kuasai kemahiran menerusi latihan berterusan