mazlan2
mazlan2

Pesilat perlu berani, kuasai kemahiran menerusi latihan berterusan

Nor Azma  Muhamat Laila
13 Jun 2022 11:02am
A
A
A

Silat merupakan seni bela diri orang Melayu yang sudah lama diamalkan masyarakat dulu kala sehinggalah dapat dipelajari oleh generasi muda pada hari ini.

Dewasa ini, silat sudah dipertandingkan di pelbagai peringkat kejohanan sukan termasuklah Sukan Asia dan Kejohanan Silat Dunia malah atlet Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam arena ini.

Pelbagai pergerakan dan kemahiran yang perlu dipelajari bagi memastikan seseorang individu itu mahir sekali gus mampu menguasai seni pencak silat dengan cemerlang sama ada untuk tujuan pertandingan atau perlindungan diri.

Mazlan.

Bagi yang tidak biasa dengan sukan ini, pasti sedikit teragak-agak untuk menceburinya kerana khuatir dengan pergerakan yang perlu dipelajari atau mungkin risau dengan kecederaan yang menanti.

Jurulatih pencak silat negara, Mazlan Shaari berkata, menjadi pesilat memerlukan keberanian yang tinggi kerana sukan ini merupakan sukan tempur dan lasak.

Perlu keberanian tinggi

"Perkara paling utama yang diperlukan dalam silat ialah keberanian kerana jika seseorang itu tidak berani, mereka akan sentiasa teragak-agak untuk bertindak ketika bertemu dan mengalahkan pihak lawan.

"Dengan keberanian yang ada itu juga, kemahiran lain seperti tendangan, tumbukan dan tangkapan akan dapat dikuasai dari semasa ke semasa menerusi latihan secara berterusan," katanya.

Mazlan yang sudah 18 tahun menjalankan tanggungjawab sebagai jurulatih kebangsaan berjaya membantu melahirkan ramai pesilat negara termasuklah Mohd Al Jufferi Jamari dan Mohamad Hazim Amzad.

Beliau juga berjaya membimbing pasukan silat negara meraih pelbagai kemenangan pada temasya sukan global termasuklah Sukan SEA dan Kejohanan Silat Dunia.

Tambah Mazlan lagi, seorang pesilat juga mesti mempunyai daya tahan mental yang kuat kerana perlu melalui proses latihan yang panjang dan berterusan bagi memastikan kemahiran mereka sentiasa berada dalam tahap terbaik.

"Proses untuk menguasai kemahiran tendangan, tumbukan, tangkapan, kuncian dan beberapa lagi pergerakan lain boleh dikuasai dalam tempoh seawal tiga hingga enam bulan bergantung kepada atlet itu sendiri.

"Bagi atlet kebangsaan, mereka perlu melalui sesi latihan setiap hari kecuali Ahad. Latihan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu bermula pukul 7.30 hingga 8.30 pagi, 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 3.30 hingga 5.30 petang," jelasnya.

Selain itu, jurulatih yang pernah membimbing pasukan silat Kedah itu berkata, pesilat juga perlu didedahkan dengan strategi perlawanan supaya tahu 'timing' atau masa terbaik membuat serangan.

"Perkara ini penting agar segala kemahiran yang sudah dipelajari dapat digunakan sebaik mungkin bagi mengalahkan pihak lawan.

Mazlan (kanan) bersama juara Putra C, Kejohanan Pencak Silat Dunia 2018, Mohd Hazim Amzad dua dari kanan.

"Mengambil kira peraturan silat yang mungkin berubah dari semasa ke semasa berdasarkan kejohanan yang disertai, pesilat juga perlu tahu peraturan yang ditetapkan bagi memudahkan mereka meraih mata sekali gus mengelakkan dikenakan penalti," jelasnya.

Cabaran sebagai jurulatih

Berkongsi sedikit sebanyak mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar jurulatih, Mazlan berkata kekangan masa bersama keluarga adalah perkara paling mencabar yang perlu dilalui memandangkan ketika ini kesihatan isterinya agak tidak mengizinkan.

"Isteri saya menghidap masalah buah pinggang dan perlu melakukan dialisis serta pemantauan berterusan menyebabkan saya terpaksa bijak membahagikan masa untuk membawanya mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana setakat ini semua urusan berjalan lancar dan saya dapat mengimbangi tanggungjawab untuk pasukan negara," kongsinya.

Bagi pelajar di luar sana yang berminat menceburi sukan silat, Mazlan menyokong penuh kerana silat banyak menerapkan elemen positif dalam diri seseorang individu.

"Kejarlah minat dan cita-cita tetapi dalam masa yang sama ambil nilai-nilai murni yang ada dalam silat untuk panduan kehidupan di masa depan," jelasnya lanjut.

Faedah mempelajari seni mempertahankan diri

Melindungi keselamatan diri

Memberi kecergasan fizikal

Mendisiplinkan diri

Berpotensi menjadi karier

Medium untuk bersosial

Menerapkan nilai-nilai murni

Artikel berkaitan

Tak dapat konvo seperti orang lain, Muhammad Rosli reda ujian ALLAH

Keluarga jadi penguat semangat, Al Jufferi cipta hatrik dalam Sukan SEA

Faizul dinobat Ikon Ulul Albab UPSI, sedia galas tanggungjawab


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok