Berkat sabar jalani latihan, akhirnya 106 pelatih terima sijil pentauliahan Inspektor Kor Suksis
Berkat sabar jalani latihan, akhirnya 106 pelatih terima sijil pentauliahan Inspektor Kor Suksis

Masih ke sekolah walaupun tapak kasut haus, semangat murid ini buat Cikgu Pe Chey sebak!

Roshlawaty Md Raieh
28 Sep 2022 09:48am
A
A
A

Baru-baru ini, Cikgu Nor Faisal Ishak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Unjur, Klang, Selangor memuat naik satu hantaran di Facebooknya berkenaan seorang murid memakai kasut sekolah yang sudah haus tapaknya.

Dalam hantaran itu, Cikgu Nor Faisal atau lebih dikenali sebagai Cikgu Pe Chey begitu sedih apabila melihat anak didiknya masih memakai kasut sekolah yang sudah ‘uzur’.

Lantaran kisah yang dikongsinya itu, Sinar Bestari terpanggil untuk mengetahui cerita sebenar tentang murid yang dimaksudkan.

Ketika dihubungi, Cikgu Pe Chey berkata, murid tersebut adalah seorang murid lelaki Tahun Tiga.

Apa yang cukup membanggakan, walaupun memakai kasut sekolah yang lusuh, namun semangatnya untuk belajar cukup tinggi.

Menurut Cikgu Pe Chey, murid tersebut merupakan murid yang ringan tulang dan suka membantu guru-guru di sekolah.

Sikap baik hatinya itu membuatkan dia disayangi ramai cikgu.

Mengulas lanjut mengenai tapak kasut yang haus, guru ini berkata, ada kisah menyedihkan di sebalik cerita kasut sekolah tersebut.

“Bila tahu kisah dia, saya gagal menahan air mata. Tidak sangka, kuat dan tabahnya dia dalam meneruskan kelangsungan hidup,” tuturnya lanjut.

Bagi mengetahui cerita murid ini dengan lebih mendalam, ayuh Sinar Bestari kongsikan untuk tatapan anda. Semoga bermanfaat.

*****

Bila aku masuk ke kelas, aku terus meminta murid-murid beratur dan bawa buku latihan ke depan untuk disemak.

Situasi ini adalah perkara biasa yang aku lakukan dan sepanjang enam bulan bersekolah, rasanya belum pernah semua murid menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Sabar. Jadi cikgu memang kena banyak bersabar!

Ketika tiba giliran seorang murid lelaki, tiba-tiba aku melihat dia seperti mahu menangis. Mungkin dia gagal menyiapkan kerja sekolah dan takut aku marah!

Sebagai guru, mana mungkin aku akan memarahi kerana dia seorang murid yang sangat rajin membantu aku mengagihkan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebelum ini.

Dek sikapnya yang rajin itu, ramai guru-guru sayang pada dia. Alhamdulillah.

Berbalik kepada kisah tidak menyiapkan kerja sekolah itu, aku mula memanggil dia tapi bukan hendak bertanyakan perihal kerja sekolah yang diberikan tetapi mengenai kasut yang dipakainya ketika itu.

“Mari sini, cikgu hendak tengok kasut kamu.”

Dia makin takut. Mungkin melihat wajah aku yang begitu garang ketika itu.

“Sinilah, cikgu hendak tengok tapak kasut kamu sekejap.”

Dia datang dan menghulurkan kasut hitamnya kepada aku.

Alangkah terkejutnya apabila melihat tapak kasutnya telah haus dan memang tidak boleh digunakan lagi.

Sebagai guru, aku cukup sedih melihat anak murid yang masih memakai kasut sekolah walaupun sudah rosak teruk.

“Ayah kerja tak?"

“Ayah kerja kilang cikgu.”

“Mak kerja?”

“Mak duduk rumah cikgu.”

Mendengar jawapan murid ini, aku kelu, sebak dan hilang kata-kata. Sudah tiada soalan lagi untuk ditanya pada dia.

Cuma apa yang ingin aku katakan, mungkin mak ayah murid ini tidak menyedari kasut anaknya rosak teruk atau mungkin mereka tiada duit. Hanya ALLAH yang tahu kisah hidup mereka.

Ketika memikirkan solusi untuk murid tersebut, tiba-tiba aku teringat tentang sumbangan duit daripada orang ramai sebelum ini.

Aku rasa cukup untuk belikan kasut sekolah baharu untuk murid yang sangat baik budi pekertinya.

Insya-ALLAH, jika sempat aku akan cari kasut untuk dia. Semoga dia akan gembira dan dapat menjadi murid cemerlang satu hari nanti.

Artikel berkaitan

Punya semangat yang luar biasa, Nor Shazlina sanggup sengkang mata demi dapatkan ijazah kedua

Beri motivasi menerusi penulisan, usaha gigih guru besar ini tarik perhatian ramai

Tular video pelajar alami kesukaran menggalas beg, ini penjelasan sebenar daripada ibunya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok