pppp
pppp

Sukar lupakan momen indah, barisan guru kongsi cerita berbeza dalam platform sama

Roshlawaty Md Raieh
01 Oct 2021 02:38pm
A
A
A

Setiap orang pasti mempunyai kenangan sepanjang hidupnya. Sama ada sedih atau gembira, ia pasti akan meninggalkan momen-momen indah dalam kehidupan masing-masing.

Bagi beberapa alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kenangan sepanjang pengajian di universiti tersebut, akan kekal dalam diari kehidupan mereka.

“Masa saya muda-muda dulu, universiti ini dikenali dengan nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Kemudian, ia dinaikkan taraf kepada Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) sehinggalah sekarang dinamakan sebagai UPSI.

“Saya masih ingat lagi, sebelum menghadiri temuduga IPSI, saya hanyalah seorang nelayan pada waktu itu. Justeru, bila mendapat tawaran ini, saya sangat bersyukur dan nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga,” kata Cikgu Tahir Kahar@Awang, 56, yang kini merupakan seorang guru dan berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Tanjong Batu, Sandakan, Sabah.

Baca juga 7 tip kesihatan semasa menggunakan komputer yang perlu guru dan pelajar tahu

Baca juga Pandelela kongsi pengalaman hidup dalam webinar anjuran UNIMAS

Kenangan pengajian Cikgu Tahir Kahar (1985 - 1987) ini telah dikongsi menerusi program Ziarah Kasih Alumni AKSB Sabah yang diadakan melalui platform Google Meet, 14 September lalu.

Ziarah Kasih Alumni AKSB Sabah adalah program anjuran Pusat Alumni dengan kerjasama Sahabat Alumni Mahasiswa (SAM).

Objektifnya untuk mengeratkan silatulrahim sesama alumni daripada tiga era berbeza iaitu MPSI, IPSI dan UPSI.

Selain Cikgu Tahir Kahar dari IPSI, penganjur program turut menjemput tiga lagi alumni untuk perkongsian kisah masing-masing.

Mereka ialah Deen Erwan Gunda (MPSI), Md Saffie Md Salleh (IPSI) dan Evna Marlina Asin (UPSI).

Program yang diadakan secara dalam talian itu turut dihadiri Pengarah Pusat Alumni yang baru dilantik awal September lalu iaitu Dr Siti Hartini Azmi.

Beliau berkata, Ziarah Kasih Alumni ini merupakan salah satu platform yang terbaik untuk memberi peluang kepada ahli SAM mendengar pengalaman yang cukup hebat daripada graduan yang mempunyai latar belakang berbeza.

Dulu hanya pekan kecil

Sementara itu, Md Saffie, 56, yang kini pengetua SMK Beaufort II, Sabah, berkongsi cerita sewaktu dirinya belajar di MPSI iaitu sekitar tahun 1985 - 1987.

“Pekan Tanjong Malim pada waktu dulu hanyalah sebuah pekan kecil. Namun kini, ia telah berkembang pesat. Insya-ALLAH, jika ada masa luang, saya akan singgah ke sini,” katanya.

Bagi Evna Marlina, 28, pula, perasaannya bercampur baur apabila menerima tawaran untuk menyambung pengajian di UPSI, satu ketika dahulu.

Ini kerana, dia tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

Bagaimanapun, demi mengejar cita-cita sebagai seorang pendidik, Evna ke UPSI juga dan kini beliau gembira kerana berjaya bergelar guru di Kolej Vokasional Kudat, Sabah.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Di akhir program, beberapa alumni sempat menitipkan sedikit pesanan kepada bakal graduan dalam bidang pendidikan supaya peka dan menguasai bidang teknologi, seiring dengan sistem pendidikan masa kini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok