3
3

Tidak mengharapkan penghargaan manusia, ini rahsia kejayaan guru asal Sabah

Rasyidah Zulkifi
10 Feb 2022 05:07pm
A
A
A

Memegang profesion guru bukanlah suatu gelaran yang suka-suka kerana mereka memikul tanggungjawab yang besar dalam membentuk modal insan demi generasi akan datang.

Guru insan berjiwa murni yang bekerja dengan hati yang ikhlas ingin mendidik anak bangsa.

Sinar Bestari kongsikan kisah menarik seorang guru wanita hebat berasal dari negeri Sabah.

**

Cikgu Mazuin binti Mustapa merupakan anak kelahiran Papar, Sabah. Beliau merupakan anak sulung dari lima beradik dan menjalani kehidupan serba sederhana di kampung. Beliau mempunyai impian menyambung pelajaran ke Mesir selepas tamat Sijil Tinggi Ugama (kini dikenali sebagai STAM) tapi kerana kekangan kewangan, hasrat tersebut terpaksa dikuburkan. Namun itu bukan alasan bagi beliau untuk tidak terus mencari ilmu Al-Quran.

Baca juga:

Nak mohon Guru Cemerlang, ini fail-fail yang cikgu perlu sediakan!

Cara susunan fail bagi Calon Guru Cemerlang, ada 6 cadangan terbaik perkongsian Ustazah Aminah

Ketika berusia 18 tahun, beliau berhijrah ke Semenanjung Malaysia dan meneruskan pengajian Diploma al-Quran Walqiraat di Darul Quran. Ketika berusia 20 tahun, beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran yang merupakan syarat wajib untuk diploma tersebut.

Selepas tamat pengajian diploma, beliau kemudiannya mengambil Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya, Kota Kinabalu dan seterusnya menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Pendidikan dengan Kepujian di Open University Malaysia (OUM).

Cikgu Mazuin tidak pernah memilih kerjaya pendidik sebagai kerjaya utama dalam hidup namun, tetapi aturan Allah itulah yang terbaik. Siapa sangka, kini sudah hampir 13 tahun beliau menjadi seorang guru dan jiwa pendidik semakin kuat dan tersemat dalam jiwanya.

Sepanjang berkhidmat sebagai guru sejak tahun 2009, banyak kejayaan dan anugerah yang dicapai oleh Cikgu Mazuin. Antaranya, kejayaan terbesar beliau adalah sepanjang berkhidmat di Sekolah Agama Negeri Pekan Bongawan, sekolah tersebut berjaya mendapatkan keputusan peperiksaan lulus 100 peratus.

Antara bukti kejayaan hasil kerja keras Cikgu Mazuin.

Untuk mencapai kejayaan tersebut bukan boleh dicapai dalam masa yang singkat. Cikgu hebat ini mengambil masa hampir tiga hingga empat tahun mengkaji dan merancang kaedah terbaik dalam pembelajaran anak-anak muridnya. Semasa beliau menjadi guru kelas dan perancang strategik murid Tahun 6, beliau telah melaksanakan pelbagai kaedah yang terbukti berjaya menjadikan ramai pelajar lulus dalam peperiksaan.

Cikgu Mazuin juga berpegang pada prinsip ‘Man Jadda Wajada’ yang bermaksud siapa berusaha bersungguh-sungguh pasti akan berjaya. Antara kaedah yang dijalankan adalah dengan mempelbagaikan cara pembelajaran seperti mengubah kelas menjadi ‘kelasku syurgaku’ supaya murid rasa selesa semasa belajar, tidak mengasingkan murid yang pandai dengan yang lemah semasa dalam kelas, mencetak soalan peperiksaan yang lepas sebagai rujukan dan seterusnya memperbanyakkan latih tubi dalam kelas. Malah, cikgu hebat ini juga sanggup mengorbankan masa cutinya dengan mengadakan kelas tambahan walau jarak rumah dengan sekolah sangat jauh.

Walaupun perjalanan ke sekolah memakan masa sejam lamanya, namun ia bukan tiket untuk Cikgu Mazuin lambat ke sekolah. Malah beliau sentiasa menjadi guru yang paling awal hadir ke sekolah dan yang paling akhir pulang. Sikap beliau ini telah menjadi contoh yang baik kepada para pelajar. Pun begitu semasa beliau menjadi guru disiplin, beliau sentiasa peka dengan kehadiran pelajar ke sekolah dan berjaya mencapai keputusan sifar ponteng setiap tahun dengan mengadakan pelbagai program untuk tarik minat para pelajar agar suka datang ke sekolah.

Nak mencapai kejayaan lulus 100 peratus memerlukan sokongan semua pihak. Jika nak mengharapkan usaha dari seorang cikgu saja memang mustahil. Justeru, salah satu lagi kaedah yang Cikgu Mazuin laksanakan ialah dengan menjalankan misi kerja secara berpasukan dengan semua guru matapelajaran dan buah fikiran ini mendapat sokongan penuh daripada guru besar. Ibu bapa juga turut bekerjasama dalam membantu para guru dengan memantau sesi pembelajaran anak-anak semasa di rumah.

Hasil daripada kaedah-kaedah yang telah dilaksanakan, akhirnya kesemua pelajar sekolah beliau berjaya lulus 100 peratus dan sebahagian pelajar mendapat keputusan MUMTAZ. Selain tu, murid kategori dyslexia juga mampu lulus cemerlang melalui teknik menulis jawapan yang berulang kali. Ini merupakan kenangan paling manis bagi cikgu hebat ini. Tiada perkara yang lebih bernilai dari melihat anak-anak muridnya lulus dengan cemerlang.

Kejayaan ini juga telah meletakkan nama guru besar sekolah pada ketika itu sebagai guru besar cemerlang peringkat negeri Sabah. Malah, Cikgu Mazuin juga menerima pelbagai anugerah sepanjang perkhidmatan beliau di sekolah ini.

Berkat usaha keras yang telah dilakukan oleh Cikgu Mazuin, beliau kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi guru besar di Sekolah Agama Negeri Pekan Kinarut pada Februari 2020.

Di sekolah baru ini, beliau menerima cabaran kerana sekolah tersebut sangat ketinggalan jauh dari sekolah-sekolah lain, mempunyai prestasi pelajaran yang amat merundum, sistem pengurusan pentadbiran dan pengurusan kewangan sekolah yang lemah. Hal tersebut benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan mental beliau. Namun untuk beliau tidak pernah berputus asa sehinggakan Cikgu Mazuin mengorak langkah membawa perubahan besar di sekolah barunya.

Jangan tak percaya, hanya dalam masa setengah tahun cikgu hebat ini berjaya menjadikan sekolah tersebut pesaing kepada sekolah-sekolah lain di dalam daerah yang sama. Beliau telah menganjurkan banyak aktiviti kemasyarakatan walaupun negara dilanda wabak Covid-19 beberapa bulan selepas pelantikan beliau.

Selain itu, beliau juga pernah johan dalam penulisan esei dalam bahasa jawi sempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2020 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekaligus menjadikannya suri teladan dalam memartabatkan tulisan jawi.

Cikgu Mazuin berjaya mendapat tempat pertama pertandingan esei dalam bahasa jawi.

Ketika ditanya apakah nasihat beliau kepada bakal pendidik pada masa akan datang, jawapannya bekerja dengan seikhlasnya kerana Allah tanpa mengharapkan penghargaan manusia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Kejayaan terbaru beliau adalah Cikgu Mazuin tercalon dalam senarai 25 guru dalam Anugerah Guru Inspirasi 2021 (AGI2021) anjuran McDonald's Malaysia.

Untuk pengetahuan, AGI2021 bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para guru yang telah banyak berkorban masa dan tenaga dan berjuang tanpa jemu dalam mendidik anak bangsa.

Sumber: Ana Suhana

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok