‘Jujur, sedikit pun aku tak pernah menyesal menjadi seorang guru pedalaman’ - Cikgu Muhammad Syauqi
‘Jujur, sedikit pun aku tak pernah menyesal menjadi seorang guru pedalaman’ - Cikgu Muhammad Syauqi

‘Jujur, sedikit pun aku tak pernah menyesal menjadi seorang guru pedalaman’ - Cikgu Muhammad Syauqi

Roshlawaty Md Raieh
19 Jun 2021 03:05am
A
A
A

Benarlah kata orang, pengalaman mampu mendewasakan dan mengajar kita erti kehidupan sebenar.

Begitulah yang dirasai Cikgu Muhammad Syauqi Zainal Abidin, seorang guru yang kini mengajar di Sarawak.

Katanya, kebijaksanaan seseorang itu bukanlah diukur daripada tahap pendidikan tertinggi, tapi...

“Saya dulu mungkin seorang yang sombong, yang rasa hebat atau cerdik kerana pendidikan yang kononnya lebih tinggi berbanding mereka.

“Tapi, semakin lama di sini, saya semakin sedar yang saya hanyalah manusia biasa, yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan,” kata Cikgu Muhammad Syauqi seperti dipetik dalam laman Facebooknya.

Ikuti perjalanan hidup guru ini yang penuh dengan suka dan duka. Moga ia memberi manfaat kepada semua.

*****

Ini kisahku. Kisah bagaimana aku menjadi seorang guru di pedalaman. Profesion yang tak pernah terlintas sekalipun dalam fikiran aku 10 atau 20 tahun yang lalu.

Berbalik pada masa lalu, aku ini merupakan seorang pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Alhamdulillah, aku berjaya mendapat keputusan yang agak baik semasa SPM, 9A 1B.

Dengan result SPM tersebut, aku pernah dipanggil temuduga untuk kursus “Engineering” ke luar negara tajaan JPA. Aku pernah juga mendapat tawaran untuk mengikuti kursus “Pharmacy” di UIA.

Ada beberapa tawaran lain yang aku pernah terima. Tapi, pendek cerita, aku telah memilih untuk mengikuti kursus Biologi tajaan KPM di bawah Program Pelajar Cemerlang (PPC) untuk dihantar ke United Kingdom.

Syaratnya, aku perlu mengikuti kursus A-level, persediaan ke luar negara selama 2 tahun dan mendapat pointer seperti yang ditetapkan sebelum dihantar ke United Kingdom.

Alhamdulillah, sekali lagi aku berjaya dan melanjutkan pengajian di sebuah universiti di United Kingdom dalam bidang Biologi.

Waktu ini mungkin boleh dikatakan sebagai titik permulaan bagaimana perjalanan hidup aku boleh “twist.”

Diikutkan, aku harus menamatkan pengajian selama tiga tahun sebelum mendapatkan degree dalam Biologi. Namun, aku hanya berkesempatan untuk belajar di tahun pertama sahaja dan tidak dapat meneruskan pengajian ke tahun kedua kerana pointer yang tidak menepati syarat yang ditetapkan.

Pendek cerita, aku terpaksa pulang kembali ke Malaysia dan meneruskan pengajian dalam negara.

Aku ditempatkan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bidang Sains dan akan menjadi guru yang mengajar di sekolah rendah.

Jujurnya, aku kurang berminat untuk belajar semasa di peringkat IPG. Tak ada langsung “keseronokan” untuk mengajar murid sekolah rendah. Itu yang berlaku semasa di peringkat awal aku di IPG.

Tapi, minat untuk mengajar murid-murid sekolah rendah mula dibentuk secara perlahan-lahan semasa aku mengikuti praktikum.

Entahlah, seakan-akan minat tersebut datang secara tiba-tiba, tanpa dipaksa.

Mendengar cerita-cerita pensyarah IPG tentang pengalaman mereka di pedalaman, hati aku secara tak langsung meronta-ronta untuk turut merasai pengalaman mereka.

Itu yang buat aku meletakkan Sabah dan Sarawak dalam pilihan tempat “posting.” Kata orang nak mencari pengalaman baru, cabaran yang tak pernah dirasai sebelum ini.

Alhamdulillah, April tahun 2014, aku mendapat tawaran berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Sarawak.

Ikutkan hati, aku nak mengajar di sekolah yang perlu pakai perahu merentas sungai, yang hanya boleh diakses dengan berjalan kaki meredah belantara. Itu yang bermain dalam fikiran aku. Bukan mengada-ngada, cuma aku mahukan cabaran dan pengalaman yang berbeza.

Tapi, rupa-rupanya sekolah aku boleh diakses menggunakan jalan darat. Tak perlu pakai perahu, cuma perlu menggunakan laluan balak. Namun, masih dikategorikan sebagai sekolah pedalaman 3 (P3) kerana jarak yang jauh dari bandar dan kemudahan asas yang masih tidak lengkap. Empat jam dari Bintulu dan tiga jam dari pekan Belaga.

Di sini, masih pakai generator contohnya, masih gunakan air sungai dan tadahan hujan. Kemudahan seperti klinik dan sebagainya juga tidak ada. Paling dekat pun di perkampungan lain sekitar dua jam perjalanan.

Nak kata “hardcore” tu tak la sangat. Lagipun, aku pernah ke sekolah-sekolah pedalaman lain yang lebih mencabar dan jauh perjalanannya semasa aku di Sarawak. Jadi, aku dapat melihat perbezaannya.

Hari ini, kira-kira 7 tahun 1 bulan aku di sini, mengajar anak-anak Orang Ulu, anak Penan dan Kenyah. Anak murid yang aku pernah ajar masa di tahun pertama dulu pun sudah ada yang tamat bersekolah menengah.

Di sini, banyak yang aku belajar. Terutamanya tentang kehidupan.

Aku dulu mungkin seorang yang sombong, yang rasa hebat atau cerdik kerana pendidikan yang kononnya lebih tinggi berbanding mereka, kerana belajar di SBP, kerana mendapat result SPM yang baik. Mungkin aku anggap aku yang “terbaik” di kalangan mereka hanya kerana aku pernah belajar di luar negara, hanya kerana aku kononnya ada Ijazah.

Semakin lama di sini, aku semakin sedar, aku hanyalah manusia biasa, yang penuh dengan kelemahan, yang turut serba-serbi kekurangan.

Di sini, aku belajar tentang kerendahan hati, tentang adab bermasyarakat.

Di sini, aku belajar tentang keramahan manusia, yang tiada lagi kadangnya di kota.

Di sini, aku belajar tentang manusia yang bekerja untuk hidup, bukan bekerja untuk kaya. Cukup sekadar mereka bahagia.

Ah! Di sini, mereka ibarat guruku, yang penuh ilmu, yang bukan hanya di buku.

Aku memang tak reti berburu, tak reti menjala, berenang pun masih terkapai-kapai, walau dah diajar berkali-kali oleh anak murid. Nak bercakap bahasa mereka pun masih aku tak pandai, walau ada anak murid yang dah buat satu kamus bahasa mereka untuk aku.

Ya, aku hanyalah seorang yang bodoh di sini. Tapi, di sinilah aku belajar tentang erti kehidupan yang mungkin takkan pernah aku peroleh di bandar-bandar yang ditelan arus kemodenan.

Ada kawan-kawan pernah bertanya aku dulu...

“Kau tak menyesal ke jadi cikgu pedalaman? Result SPM kau dulu bagus, kau patut jadi Engineer, jadi Doktor.” Itu yang mereka kata.

Hari ini, tanggal 16 Mei 2021, aku mengaku. Sedikit pun aku tak pernah menyesal. Aku tak pernah menyesal menjadi seorang guru pedalaman.

Selamat Hari Guru!

Sumber: Facebook Muhammad Syauqi

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok