Kaedah secara online paling popular sepanjang PdPR, Cikgu Ahmad Zhafran kongsi sebabnya!
Kaedah secara online paling popular sepanjang PdPR, Cikgu Ahmad Zhafran kongsi sebabnya!

Kaedah secara online paling popular sepanjang PdPR, Cikgu Ahmad Zhafran kongsi sebabnya!

Roshlawaty Md Raieh
22 Apr 2021 04:25am
A
A
A

Peningkatan pandemik Covid-19 pada waktu ini, memungkinkan sebahagian sekolah sedia ada bakal ditutup.

Kerana itu, kaedah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah pasti akan dilaksanakan oleh guru kepada murid-murid nanti.

Guru Matematik dan Inovasi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tua Baharu, Cikgu Ahmad Zhafran Md Noor ketika dihubungi GPSBestari berkata, PdPR bukan perkara baru.

Sebelum ini, guru-guru sudah pun didedahkan dengan kepelbagaian kaedah menarik untuk berPdPR.

"Di sini, saya kongsikan beberapa kaedah yang mungkin cikgu-cikgu boleh guna kelak.

"Moga ia bermanfaat," katanya.

Menurut Cikgu Ahmad Zhafran, antara kaedah yang boleh digunakan adalah secara dalam talian (online); luar talian (offline) dan off-site.

Dalam ketiga-tiga cara ini, kaedah secara online dilihat agak popular dalam kalangan pendidik ketika mengendalikan PdPR berkenaan.

“Berdasarkan pengalaman saya sepanjang PdPR pada 2020 dan disambung pula pada awal 2021 ini sama ada menggunakan saluran Youtube, video conference (Team, Meet, Zoom, digital classroom (Google Classroom, Edmodo, dan Quizlet); aplikasi kuiz dalam talian (Quizizz, Kahoot!, Google Form, Wordwall; aplikasi blog (Wakelet, Padlet, Blogspot, kaedah green screen) hatta kaedah aplikasi pemesejan mudah alih (WhatsApp, Telegram, Kaizala dan sebagainya), maka dapat saya simpulkan kaedah yang paling efektif dan berkualiti kepada murid semasa pelaksanaan PdPR menggunakan pendekatan online ialah:

1) Aplikasi yang mampu diakses oleh murid seperti kemampuan melanggan internet, capaian internet yang stabil dan aplikasi yang tidak terlalu rumit untuk ibu bapa dan pelajar untuk log masuk.

2) Aplikasi yang meraikan kehendak dan kemahuan kebanyakan ibu bapa dan pelajar samada pihak yang pro video conference mahu pun pihak yang kurang mampu menyediakan data internet.

3) Aplikasi yang bersifat fleksibel, mampu diakses bila-bila masa, mesra gajet iaitu boleh digunakan samada melalui telefon pintar atau laptop/ desktop di rumah dan boleh diakses dengan capaian internet yang kurang stabil.

“Jadi, saya telah menggunakan aplikasi Telegram Group, Google Meet, Google Drive /Anyflip dan aplikasi kuiz seperti Quizizz, Kahoot! dan Google Form.

"Malah, saya telah membuat satu Telegram Group ibu bapa dan murid khas untuk mata pelajaran saya,” katanya.

Menurutnya lagi, telegram memiliki dua jenis berdasarkan fungsi berbeza iaitu Group dan Channel.

“Guru yang menginginkan fungsi dua hala (guru dan ibu bapa/pelajar), maka guru boleh memilih mode Group.

“Jika seseorang guru hanya menyukai fungsi telegram sehala (guru sahaja boleh pos dalam telegram), maka guru boleh memilih mode Channel,” katanya.

Cikgu Ahmad Zhafran berkata, dirinya memilih Group kerana lebih menyukai kaedah penyampaian maklumat secara dua hala iaitu interaksi antara saya dengan ibu bapa.

“Dalam telegram group ini, saya masukkan link Google Meet, rakaman Google Meet (bagi pelajar yang tidak dapat menonton secara ‘live’ disebabkan kekurangan peranti), bahan bantu mengajar seperti pautan Anyflip buku teks mata pelajaran (dalam bentuk epub/ebook) dan pautan kuiz pengukuhan pembelajaran pada hari tersebut.

“Jadi, setiap kali sesi Google Meet, pelajar yang memiliki peranti dan rangkaian internet di rumah akan mengikuti sesi Google Meet yang dibuat secara live ini," ujarnya.

Sesi turut dirakam (record) dan dimasukkan ke dalam telegram group ini untuk ditonton oleh pelajar yang tidak dapat mengikuti secara ‘live’.

Seusai sesi Meet ini, Cikgu Ahmad Zhafran akan masukkan pautan video (pautan Drive) dan video rakaman sesi, Rekod Kehadiran PdPR Harian (guna Google Form), slaid pembentangan dan link kuiz yang boleh menyediakan laporan (report) seperti Quizizz, Kahoot! dan Form ke dalam Telegram Group ini.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok