no image

'Kenapa tak beritahu cikgu? Kan dah pesan...tak de duit cakap, cikgu boleh bagi' - Warganet sebak

Roshlawaty Md Raieh
25 Apr 2021 03:42am
A
A
A

Guru mana yang sanggup melihat para pelajarnya kelaparan dek ketiadaan wang.

Guru mana yang sanggup melihat anak didiknya hanya termenung sambil menahan perut kerana tidak mampu membeli makanan.

Allah...penulis sendiri, jika berhadapan situasi ini, akan tampil menghulurkan wang agar pelajar itu dapat menjamah walau sedikit makanan.

Baru-baru ini, Ketua Guru Disiplin, Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga, Pulau Pinang, Cikgu Mohd Farazi Ab Razak berkongsi kisah pelajarnya yang meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya.

"Saya akan bantu pelajar saya walau dengan apa cara sekalipun. Itu janji saya," katanya yang juga Guru Subjek Geografi.

Ikuti kisah sebak ini sepertimana yang dikongsi guru muda berkenaan menerusi laman Facebooknya Cikgu Farazi Razak

*****

Lapar

“Cikgu Farazi, tadikan nampak si A pegang perut, dia lapar kot, sebab dia memang tak bawak duit, semalam pun dia tak makan," beritahu pelajar dalam kelas aku.

“Panggil dia jumpa cikgu," arah aku.

“Awat? Pasai pa ni? tanya aku tegas.

“Sakit perut cikgu," jawab dia tanpa pandang mata aku. Takut mungkin.

"Bawa duit tak? Awat tak beli kantin awai pagi tadi? tanya aku lagi.

“...” Diam tanpa balas...

Aku tanya lagi...

"Awat tak bagitau cikgu? Kan cikgu banyak kali dah pesan tak dak duit bagitau cikgu”

“...takut cikgu, malu cikgu," balas budak yang aku tengok menunduk saja.

“Cikgu lagi malu kalau tengok hangpa tak makan depan mata dan cikgu tak buat apa-apa," marah aku, sebab aku sentiasa pesan aku tak suka budak kelas aku lapar sampai tak boleh belajar.

Rupanya pelajar ini sentiasa bekalkan dirinya dengan biskut dan roti, mungkin itu tak dapat tampung perutnya. Mungkin pandemik ini banyak beri kesan pada sumber ekonomi keluarga.

"Ok macam ni, lepas ni mai sekolah tak bawak duit datang jumpa cikgu, cikgu bagi. Janji mai sekolah dan belajaq, hang takut pa, cikgu anak orang kaya, mai sekolah pun naik Myvicerdes, semalam pun cikgu baru beli pulau jerejak," seloroh aku untuk hilangkan stress di wajahnya. Dia hanya balas dengan senyuman.

Sebenarnya ini bukan duit aku pun. semuanya sumbangan kawan-kawan aku yang aku rayu untuk dimurnikan sebagai bantuan pada yang memerlukan. Alhamdulillah, aku ramai kawan yang sangat pemurah, ada yang bagi RM5, ada RM10, ada RM50 dan juga yang ratusan nilainya.

Mereka bukan orang kaya, ada yang kerja kampung, ada yang kerja sendiri, ada pegawai rendah kerajaan dan ada juga pegawai tinggi kerajaan. Tapi mereka barisan hadapan aku bila aku mengadu aku rasa aku nak bantu budak-budak aku. Hasilnya, aku mampu belikan uniform sekolah, barangan sekolah, duit makan dan duit tambang bebudak aku.

Aku sekarang tak kisah, apa yang netizen nak hentam pasal kerjaya aku. makan gaji buta, cuti banyak. Aku dah tak peduli janji aku gembira dengan kerja aku, aku suka tengok pelajar aku gembira datang sekolah.

Aku tak pernah dapat anugerah kerjaya aku, aku tak dianggap guru cemerlang atau hebat dalam akademik, aku tak kisah pun, biarlah yang tu cikgu lain ambil, aku akan bantu bekalkan mereka yang tak punya kelengkapan cukup ke sekolah.

Aku pernah rasa hidup susah, tiada duit nak makan minum, tiada duit beli uniform sekolah, kongsi kasut dengan adik perempuan aku. Sekarang biar aku bantu apa yang patut. Mungkin kalau aku tak susah dulu aku tiada di mana aku ada sekarang.

Kawan-kawan penyumbang! Terima kasih...aku dah mula gerak sekarang!

Sumber: Facebook Cikgu Farazi Razak

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok