HomeGen AlphaMurid SK Taman Desa Jaya teruja sertai Kem Bestari Solat Perdana 2022

Murid SK Taman Desa Jaya teruja sertai Kem Bestari Solat Perdana 2022

Solat adalah rukun Islam kedua dan asas utama untuk membentuk keperibadian muslim yang baik dan bertaqwa.

Pendidikan solat bermula dari zaman kanak-kanak yang berusia tujuh tahun dan ia merupakan tiang agama yang telah difardukan ke atas orang Islam.

Sehubungan itu, baru-baru ini, Persatuan Anak-anak Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (Panji JPIM IPGKTI atau Panji) telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Jaya, Johor Bahru, Johor, melaksanakan Kem Bestari Solat Perdana 2022.

Bertempat di Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, Johor Bahru, seramai 40 ahli badan bukan kerajaan (NGO) itu telah diamanahkan menjadi fasilitator kepada murid Tahun Empat hingga Enam.

Menurut fasilitator Panji, Nury Nabhan Ismail, dia berterima kasih atas peluang diberikan kepadanya untuk turut serta dalam aktiviti kesukarelawan seperti ini.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak sekolah yang memberi ruang dan peluang kepada siswa dan siswi menyumbang bakti.

“Program seperti ini memberi pengalaman yang amat bermakna dan bermanfaat kepada kami dalam proses menjalani latihan keguruan,” ujarnya yang mengetuai barisan fasilitator.

Program perdana ini turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya yang bermurah hati menyediakan kemudahan dan mencurahkan tenaga bagi memastikan Kem Bestari Solat Perdana 2022 berjalan lancar.

Peserta akan duduk dalam bulatan dan dibimbing oleh fasilitator.

Sementara itu, Penasihat Panji, Wan Hasmah Laili Wan Hamat berharap kerjasama serta usaha murni untuk mengadakan program seumpama itu pada masa akan datang dapat diteruskan demi manfaat bersama.

“Panji sentiasa mengalu-alukan program usaha sama dan berhasrat dapat menjalin bekerjasama erat pada masa hadapan agar kesepaduan ilmu dan amal dapat dihayati dalam kehidupan siswa siswi guru khususnya Panji yang sinonim dengan sifat keperwiraan,” ujarnya.

Untuk pengetahuan bersama, Panji adalah gabungan siswa siswi guru Opsyen Pendidikan Islam yang bernaung di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Taman Desa Jaya, Hamidah Maarof pula berkata, program berkenaan berjaya menzahirkan kesepaduan kerjasama antara pihak pentadbir, guru, ibu bapa serta komuniti setempat.

“Kami amat bersyukur kerana program perdana sebegini memperlihatkan satu anjakan dalam melahirkan murid yang mentaati agama yang dimanifestasikan menerusi kesempurnaan wuduk dan solat,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Peserta teruja sertai Kem Sains Cuti Sekolah 2.0

Murid SK Sri Langat teruja sertai ‘Sehari sebagai Mahasiswa Universiti Malaya’

Etika lancar kempen Lets Rescue PET Bottles di sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok