Kenangan mengusik jiwa!
Kenangan mengusik jiwa!

‘Nah, ini surat untuk ustaz. Jangan lupa balas tau’

Roshlawaty Md Raieh
01 Mar 2022 03:49pm
A
A
A

Sebagai seorang pendidik, menjadi kesayangan anak murid adalah perkara biasa terutama apabila mereka sering mengambil berat dalam soal pelajaran.

Dalam situasi ini, pastinya semua cikgu mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan termasuklah yang terjadi pada diri Cikgu Khairul Azman Ismail.

Beliau yang berkongsi pengalaman ketika mengajar di sebuah sekolah di Negeri Bawah Bayu, satu ketika dahulu berkata, ada satu kisah yang masih segar dalam ingatannya hingga sekarang.

“Kisah pelajar bernama Asni yang telah buat pelbagai cara semata-mata mahu menarik perhatian saya.

“Mungkin kerana sikap saya yang sentiasa beri perhatian di dalam kelas dan kerana itulah dia ‘sayang’ saya lebih,” katanya kepada Sinar Bestari.

Menurut Cikgu Khairul Azman, Asni merupakan pelajar Tingkatan Empat tetapi sifatnya masih kebudak-budakkan.

“Dia masih belum pandai membaca dan menulis dengan lancar. Bahasa tulisannya lintang pukang. Tahun depan akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) (ketika itu).

“Disebabkan ciri-ciri ini dan beberapa faktor lain, saya menganggap Asni sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK),” jelasnya.

Baca juga 

12 adab seorang pendidik apabila berkomunikasi

Eleena, arkitek terbaik Malaysia 

Beliau yang kini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam, Selangor dan mengajar subjek Pendidikan Islam berkata, Asni mungkin dari keluarga susah (jika dilihat dari bajunya yang lusuh dan longgar).

Kulitnya sedikit gelap dan kelihatan agak comot. Riak wajahnya memberi gambaran yang dia bukan dari keluarga yang senang.

Malah, fizikal Asni seolah terbantut sedikit apabila dia kelihatan lebih kecil daripada rakan seusianya.

“Walaupun begitu, dia tetap periang dan suaranya selalu didengari lebih kuat daripada orang lain (saat dia jerit dan marah budak-budak lelaki bila dia diusik).

“Dan yang paling bagus, Asni sangat rajin ke sekolah,” ujarnya.

Cikgu Khairul Azman

Sambung guru ini lagi, Asni sering memanggil namanya apabila terserempak di dalam kawasan sekolah, walaupun dia tidak mengajar pelajar berkenaan.

“Ustad Kerul! Ustaaddd!!.” jerit Asni suatu ketika sambil melambai dari balkoni kelasnya di aras dua.

“Bila saya berhenti dan melihatnya, terus dia sembunyi sebalik tembok.

“Saya mula mengajar Asni sewaktu dia di Tingkatan Empat. Hari pertama saya masuk kelas, Asni nampak malu tapi teruja. Saya perasan, setiap kali mengajar, dia akan melihat saya tidak berkedip. Dia senyum dan cuba menarik perhatian saya dengan caranya sendiri.

"Ustad, aku mau pi tandas".

Inilah ayat Asni setiap kali Cikgu Khairul Azman mengajar di kelasnya. Kadang lebih dua kali. Bila guru tersebut pura-pura tidak izinkan, dia buat-buat merajuk.

Seketika dia bangun dan merayu lagi mahu ke tandas. "Kasi la ba ustad aku pi tandas. Kalu nda, nda la aku kawan sama kau," pinta Asni dengan gaya manja.

Kemudian, guru ini amati, sifatnya masih kebudakan seperti pelajar Tingkatan Satu. Tidak sampai hati untuk memarahinya apabila tugasan tidak siap atau dia tidak tahu jawapan apabila diajukan soalan.

“Saya ambil keputusan untuk beri perhatian lebih kepada Asni kerana melihat dia masih banyak kekurangan.

“Masih belum pandai membaca dan menulis dengan lancar dan atas sebab itu saya kategorikan Asni sebagai MBK meskipun tiada kelas yang khusus buat murid sepertinya di sekolah saya.

“Apa yang dia tidak faham, saya ulang banyak kali. Mana yang dia salah, saya bimbing dengan sabar. Namun hairan, apabila saya terangkan sesuatu, dia hanya melihat saya sambil tersenyum!

“Dan saya selalu tanya dia...Kau faham ka ni?..Faham ba ustad...jawabnya.

Bila Cikgu Khairul Azman mengawas kelasnya di musim peperiksaan, Asni dilihat tekun menulis. Berkerut-kerut wajahnya.

Sesekali dia mencuri-curi melihat guru kesayangannya itu. Bila Cikgu Khairul Azman melihatnya, dia sambung menulis. Tampak bersungguh-sungguh menjawab.

Dalam hati guru tersebut, bersyukur. Tetapi rupa-rupanya, Asni hanya menyalin soalan. Daripada huruf pertama hingga ke akhir kertas soalan, semuanya disalin.

Rasa kasihan Cikgu Khairul Azman melimpah kepada Asni.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Surat untuk ustaz

“Satu hari, Asni datang ke meja saya dan memberi sehelai kertas yang dilipat empat. Diletakkan sahaja kertas itu lantas terus berlari pergi.

“Saya hairan. Kertas yang dikoyak dari buku tulis itu saya buka dan baca.

"Ustad, aku suka kau ba. Jangan ba bikin aku sakit hati. Aku nda kawan cigu Ajis sama cigu Jaki. Sebab aku suda cinta sama kau. Siap lambang love bagai”

Cikgu Khairul Azman terkedu.

Asni.. Asni... Naluri normal seorang remaja perempuan yang perlukan perhatian dan kasih sayang tumbuh subur dalam dirinya. Akan tetapi, Asni tersalah orang.

Dan sebagai seorang guru, Cikgu Khairul Azman tidak ambil serius sebab tahu Asni murid istimewa. Dia lain daripada yang lain.

Surat itu kemudiannya dilipat dan disimpan dalam buku teks.

Beritahu Cikgu Khairul Azman lagi kepada Sinar Bestari, ketika beliau mahu ke kantin, terdengar jeritan Asni yang memanggil namanya dari aras dua.

“Ustad! jangan lupa balas ba surat akuuu!”

Dan begitulah sehari-hari, Asni selalu ingin mencari dan mencuri perhatian guru kesayangannya itu. Di dalam perhimpunan, dia lambai tanpa segan. Di kantin, dia jerit panggil nama cikgu.

Hingga satu sekolah tahu yang Asni sukakan Ustad Kerol! Ustad Kerol itu kepunyaannya si Asni!

“Dan saya tidak ambil pusing. Saya tahu Asni insan istimewa. Sehinggalah dia naik ke Tingkatan Lima, masih begitulah wataknya. Tiada perubahan,” ujarnya lagi.

Setelah lebih 15 tahun kisah ini, guru ini masih teringat akan kenangan anak pelajarnya itu.

“Dengan wajah Asni yang comot, tindakannya yang naif, aksinya yang nakal dengan tudung dan seragam sekolah yang lusuh, masih basah di ingatan saya.

“Apa khabarlah Asni sekarang yang usianya mungkin menginjak 30 tahun.

“Sudah berkahwinkah? Berapa orang anak?

“Ada juga saya bertanyakan tentang Asni dengan sahabat guru lain di ruangan laman Facebook. Ada yang beri jawapan macam-macam. Doa saya, moga Asni berada dalam keadaan baik-baik sahaja,” jelasnya.

Bagaimanapun, khabar berita tentang diri Asni sangat mengejutkan dan menyedihkan.

“Saya dikhabarkan yang Asni telah meninggal dunia pada 2014 yang lalu. Asni memiliki seorang anak.

“Hibanya saya. Senyum manis dan jeritan Asni berulang-ulang datang di minda saya ketika itu.

“Al-Fatihah buatmu Asni. Semoga rohnya tenang di sana dan tergolong dikalangan orang-orang yang beriman. Ustaz pun sayang kamu,” ujar Cikgu Khairul Azman sebak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok