Pemantauan Nazir untuk Calon Guru Cemerlang, Ustazah Aminah kongsi pengalaman berharga!
Pemantauan Nazir untuk Calon Guru Cemerlang, Ustazah Aminah kongsi pengalaman berharga!

Pemantauan Nazir untuk Calon Guru Cemerlang, Ustazah Aminah kongsi pengalaman berharga!

Roshlawaty Md Raieh
10 May 2021 06:42am
A
A
A

Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.” - Buku Terma Rujukan konsep Guru Cemerlang

Guru Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Puteri, Batu Pahat, Johor, Ustazah Aminah Mat Yusoff menerusi facebooknya berkongsi beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh Calon Guru Cemerlang sepanjang pemantauan oleh Nazir.

Mari kita ikuti perkongsian dan pengalaman menarik ini.

*****

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberi kesempatan untuk berkongsi bersama Calon Guru Cemerlang (GC). Ini adalah berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui tahun lepas. Moga bermanfaat.

1) Makluman kehadiran

Pihak sekolah akan menerima panggilan dari Nazir sebagai makluman awal tentang pemantauan yang akan dilakukan. Biasanya tempoh masa yang diberikan seminggu sehingga dua minggu sebelum.

2) Persiapan Calon

Calon Guru Cemerlang yang dipantau mempunyai peluang besar untuk meyakinkan Nazir tentang potensi mereka dalam bidang pendidikan, fungsi dan peranan yang dimainkan dalam pelbagai peringkat.

Persiapkan segala keperluan, hasil-hasil pencapaian, sijil-sijil tiga tahun kebelakang.

Tiga tahun kebelakang bermaksud tarikh pencapaian, anugerah, pengiktirafan dan penglibatan yang dapat dibuktikan melalui sijil, penerbitan buku, jurnal dan sebagainya.

3) Sehari Pemantauan

Saya menerima kehadiran Ustaz Ai’iri Abu Bakar, Ketua Penolong Pengarah UPIP, ditemani Jemaah Nazir Negeri seawal jam 8 pagi.

Calon Guru Cemerlang akan melalui beberapa fasa penilaian.

(a) Penilaian melalui pentadbir

Guru besar dan barisan pentadbiran sekolah akan ditemu bual untuk mendapat pandangan serta persepsi mereka tentang peranan, fungsi, potensi, kerjasama dan beberapa perkara yang berkaitan dengan bidang tugas serta tanggungjawab Calon GC di sekolah.

Oleh itu penting bina hubungan yang baik dengan pelbagai pihak. Bersedia menerima teguran, bijak mengawal emosi, cool dan banyakkan bersabar. Calon Guru Cemerlang tidak sekadar dinilai dari luaran sahaja, dalaman yang baik dan menyenangkan itu memberi impak terpenting.

(b) Pembentangan Slide

Slide dibina dengan merujuk borang permohonan. Halusi item-item yang perlu ada dalam setiap slide dan gunakan point-point penting sahaja. Penerangan dari Calon GC sangat penting untuk meyakinkan Nazir yang memantau.

Tip penting: Gunakan bahasa yang jelas dan terang. Setiap pencapaian, hasil, kajian yang kita lakukan mesti kaitkan dengan murid. Jika kita menjalankan intervensi dan membuat kajian tindakan mesti sediakan data sebagai bahan bukti semasa pembentangan.

(c) Pemantauan PdPC

Semasa saya dipantau murid perlu mematuhi (SOP). Murid ditempatkan di dewan agar proses pemantauan berjalan lancar. Wujudkan ruang yang lebih luas dan gunakan pembesar suara.

Libatkan murid secara aktif dan beri peranan kepada mereka untuk menonjolkan diri. Calon GC kena fahami konsep sebagai Pemudahcara.

Laksanakan proses PdPC dalam keadaan santai, mulai dengan set induksi dan jangan lupa setkan masa setiap langkah yang kita lalui.

(d) Temu duga

Bahagian ini saya agak berdebar kerana kita tidak dapat menjangkakan apakah soalan yang akan ditanya.

Tip penting: Hadamkan bidang kita sebaiknya. Dari Falsafah Pendidikan sehinggalah Falsafah dalam subjek yang diajar.

Tokoh yang berkaitan dengan pendidikan, nama menteri, dasar-dasar Pendidikan, hala tuju dan peranan kita dalam bidang ini.

Hanya doa sahaja yang dapat memberi ketenangan kepada saya selepas selesai temu duga

(e) Interviu rakan sekerja

Nazir akan memanggil rakan sekerja untuk mendapatkan pandangan mereka tentang kita. Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana saya dikelilingi sahabat dan rakan sekerja yang baik.

Usaha itu tangga kejayaan, sekali cuba kita tak terpilih, jangan pernah berhenti untuk cuba lagi. Bukan kerana kita tak layak tapi belum rezeki.

Kali pertama melangkah ke sekolah, niatkan kerana Allah Insya-Allah kita sentiasa berada di landasan yang betul.

Kali pertama melihat anak didik, niatkan didik mereka kerana Allah, Insya-Allah mudah segala urusan mendidik mereka.

Sandarkan pada Allah, seberat mana ujian dan dugaan kita ada tempat berpaut.

Sumber: Facebook Aminah Mat Yusoff

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok