Untitled design
Untitled design

PIBG SK Padang Pekan bina wakaf berbumbung dan taman mini, ibu bapa dan penjaga terharu!

Roshlawaty Md Raieh
18 Nov 2021 05:18pm
A
A
A

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan, Jitra, Kedah mengambil inisiatif membina wakaf berbumbung dan taman mini bagi memberi keselesaan pada semua pihak.

Yang Dipertua PIBG SK Padang Pekan, Nor Hafizah Mahmud berkata, pembinaan wakaf berbumbung itu bertujuan memudahkan ibu bapa menunggu anak-anak selepas sesi persekolahan berakhir.

“Dengan adanya wakaf ini, sekurang-kurangnya ibu bapa dan penjaga boleh menanti anak mereka di ruang yang disediakan pihak sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari.

Nor Hafizah yang juga Kaunselor Berdaftar dan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Seri Indera Putera, Ayer Hitam, Kedah berkata, dana bagi pembinaan wakaf PIBG dan taman mini PIBG itu diperoleh menerusi beberapa sumbangan.

“Yang pertama, kita menggunakan dana PIBG sendiri. Kemudian, kita menerima sumbangan peribadi daripada guru dan waris serta pihak luar.

“Mengenai tempoh menyiapkan wakaf berbumbung ini pula, kami hanya mengambil masa sekitar seminggu sahaja kerana semua pihak iaitu barisan guru, ahli jawatankuasa PIBG dan waris murid, berkorban masa dan tenaga untuk membinanya,”ujar beliau dengan menambah beberapa wakaf baru bakal dibangunkan tidak lagi lama dan akan dijadikan sebagai sudut percambahan minda dan ruang bacaan murid-murid.

Malah, pihak PIBG juga menerima tempahan wakaf daripada guru, waris atau orang luar dan hasil jualan disalurkan ke dalam tabung dana pembinaan surau baharu SK Padang Pekan kelak.

Sementara itu, guru besar, Sarina Zainudin melahirkan rasa gembira kerana pembinaan wakaf PIBG dan taman mini PIBG itu memberi banyak manfaat kepada waris, murid dan juga guru.

“Saya harap, wakaf ini dapat digunakan sebaik mungkin dan seterusnya memberi keselesaan dan kemudahan pada semua,” katanya.

Sarina (kiri) menghadiahkan anak pokok kepada Nor Hafizah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama PIBG dan pihak sekolah dalam membina wakaf berbumbung dan taman mini.

Artikel berkaitan 

“Kenapa datang ke sekolah hari ini?” Cikgu terharu bila tahu punca sebenar

Pening memilih buku latihan yang bersesuaian untuk anak? Ketahui 5 tip penting ini

Berbekalkan RM350, cikgu ini tukar kolam terbiar jadi kolam air terjun yang sangat cantik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok