photo6161240245673241697
photo6161240245673241697

'Saya akan terus berkarya selagi termampu' - Cikgu Ahmad, penerima Anugerah Guru Inspirasi Mcdonalds 2021

Mariatul Qatiah Zakaria
08 Jun 2021 10:45am
A
A
A

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itulah pepatah sesuai yang boleh digambarkan kepada seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas Dua, Pulau Pinang, apabila usahanya yang berterusan dalam bidang inovasi tanpa mengenal erti penat dan lelah membuahkan hasil apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi Mcdonalds Tahun 2021.

Tidak pernah menyangka akan menerima anugerah tersebut, Cikgu Ahmad Afandi, 31,

memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka penglibatannya dalam projek inovasi sepanjang bergelar cikgu telah memberinya pelbagai anugerah baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Katanya lagi, dengan anugerah tersebut, secara tidak langsung ia menambah semangatnya untuk terus berinovasi yang pastinya akan memberi manfaat baik kepada murid-murid dan juga cikgu.

“Alhamdulillah, apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan bersama, murid-murid dan juga cikgu-cikgu.

“Dengan anugerah ini juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa inovasi yang saya lakukan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

“Insya-ALLAH, ia tidak akan terhenti setakat ini dan saya akan terus ‘berkarya’ selagi mampu untuk manfaat semua,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai inovasi yang dilakukannya, Cikgu Ahmad menjelaskan, penggunaan teknologi terkini dalam bidang pendidikan merupakan antara keperluan yang membantu murid agar bergerak sejajar dalam pendidikan digital.

Terbaharu, Cikgu Ahmad mengetengahkan penggunaan kata majmuk dengan mencipta kad permainan dalam pembelajaran.

Apa yang unik mengenai inovasi ini ialah setiap kad yang diimbas akan memaparkan gambar tiga dimensi yang menarik dan ini secara tidak langsung membuatkan murid-murid berasa seronok ketika mempelajari tatabahasa.

Kad permainan kata majmuk Inomaj hasil ciptaan dan inovasi Cikgu Ahmad yang melayakkannya memperoleh pelbagai anugerah.

Menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan, cikgu kelahiran Kuala Rompin, Pahang ini akan menggunakan duit kemenangan tersebut untuk inovasi pendidikannya yang akan datang.

Anugerah Guru Inspirasi, McDonald’s Malaysia 2021 merupakan tahun kelima diadakan bagi menghargai ‘Cikgu Luar Biasa’ yang telah melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki, demi mendidik anak bangsa.

‘Cikgu Luar Biasa’ merupakan guru yang tidak pernah berputus asa memberi yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta mempunyai sumbangan besar dalam bidang pendidikan.

Pencalonan yang melebihi 4,000 tahun ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan pengalaman dan pencapaian terbaik guru-guru seluruh Malaysia.

Bercerita pula pahit manis, pengalaman, sumbangan dan jasanya sebagai pendidik, bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, peranan seorang guru sewajarnya diberikan penghargaan.

Usahanya dalam bidang inovasi pendidikan berjaya membawa inovasi kata majmuk, Inomaj memenangi pelbagai anugerah diamond dan emas di peringkat antarabangsa.

Dia yang juga pemenang program Pembangunan Inovasi Akar Umbi anjuran Yayasan Inovasi Malaysia 2020 telah menerima geran berjumlah RM30,000.

“Hadiah RM5,000 yang diterima akan ditambah dengan geran RM30,000 yang dimenangi sebelum ini.

“Saya akan ‘laburkan’ kesemuanya dalam projek terbaharu dan masih lagi memilih mata pelajaran bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran pilihan kerana selain saya yang juga merupakan cikgu mata pelajaran tersebut, hari ini pendekatan teknologi dalam bidang bahasa masih berkurangan,” tuturnya lanjut.

Selain aktif melibatkan diri dalam bidang inovasi, Cikgu Ahmad juga merupakan Setiausaha Sukan, Penyelaras Patrol Denggi, Ketua Panitia dan banyak lagi di sekolahnya.

Juga merupakan pembina modul GALUS bahasa Melayu dan Sains dengan kerjasama pihak RECSAM di peringkat Asia, Cikgu Ahmad turut menjadi penceramah teknologi dalam bidang pendidikan berkaitan Augmented Reality yang disampaikan kepada murid, guru-guru sekolah rendah, guru pelatih di Institut Pendidikan Guru dan guru-guru Asean.

Tidak terhenti setakat itu, Cikgu Ahmad juga aktif menulis buku-buku latihan bahasa Melayu dan buku Jom Belajar Kata Majmuk.

Dalam bidang kokurikulum pula, beliau merupakan Jurulatih pasukan bola sepak sekolah dan juga Penolong Jurulatih Pasukan Bola Sepak Zon Balik Pulau.

Walaupun kejayaan demi kejayaan dikecapi, Cikgu Ahmad berazam untuk terus berbakti malah akan terus berusaha menjadikan bidang pendidikan bidang yang ingin diceburi ramai.

Antara kejayaan Cikgu Ahmad

  • Pingat emas pertandingan patrol denggi peringkat negeri dan layak ke peringkat kebangsaan
  • Anugerah Guru Cemerlang peringkat Barat Daya Pulau Pinang 2019
  • Anugerah Guru Ikon Inovatif PDP Daerah Barat Daya dan anugerah Khas Pengarah 2021
  • Juri pertandingan inovasi antarabangsa INDES2020 dan PIID 2021

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok