Untitled
Untitled

Sekeping nota kecil ditampal di pintu stor sekolah, khas untuk tukang kebun. Ramai sebak dan terharu

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
18 Sep 2021 11:32pm

"Terima kasih selalu bersihkan sekolah, selalu sentiasakan sekolah bersih. Ni ada saya belanja sikit"

Begitulah isi sekeping nota kecil yang dijumpai oleh Cikgu Muhamad Zamri Abdul Rahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pulai Perdana, Kulai, Johor, pada 2020.

Menurut Cikgu Muhamad Zamri yang juga guru Sains, tulisan tangan pada nota tersebut adalah milik pelajar Tingkatan Dua Ibnu Khaldun, Areanna Haziqah Hishamuddin.

"Nota ini ditampal di pintu stor sekolah yang terletak di belakang bangunan.

"Biasanya stor ini menjadi tempat tiga tukang kebun sekolah atau pekerja pembersihan yang berbangsa India untuk meletakkan barang mereka," katanya ketika ditemu bual wartawan Sinar Bestari menerusi panggilan telefon.

Selain nota, cikgu ini turut menjumpai tiga botol mineral, tiga keping roti dan biskut yang telah diletakkan di dalam bungkusan plastik merah.

"Makanan tersebut ada di hadapan stor sekolah. Jadi saya beranggapan, nota dan makanan ini diberikan kepada ketiga-tiga tukang kebun kami," katanya yang berada di sekitar kawasan berkenaan pada jam 4 petang, pada hari tersebut.

Tidak lama kemudian, kelihatan seorang tukang kebun berbangsa India menuju ke stor berkenaan.

"Uncle Muthu, ini ada nota dan sedikit makanan. Ada pelajar yang bagi. Saya hanya tahu nama menerusi nota yang dijumpai di sini.

"Terima kasih banyak cikgu. Jika cikgu jumpa dia, sampaikan ucapan ribuan terima kasih padanya"

Dalam pada itu, wartawan Sinar Bestari sempat bertanyakan perasaan cikgu ini berkenaan kisah tersebut.

"Saya merasa bangga dan terdetik rasa insaf dalam diri atas keprihatinan pelajar ini. Kita sudah biasa melihat pelajar yang menghargai guru, tapi kali ini kita melihat pelajar yang menghargai pekerja yang setiap hari menabur bakti dalam menjaga kebersihan sekolah.

"Amalan ini patut diinsafi oleh semua warga sekolah bukan sahaja pelajar malahan kepada semua guru. Semoga ia menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya yang memasang harapan agar kita sentiasa berbuat baik sesama manusia tanpa mengira batasan agama dan kaum. Sesungguhnya medium dakwah yang terkesan adalah melalui paparan akhlak kita.

Artikel berkaitan 

Guru ini naik angin bila murid hulur baldi merah padanya. Rupa-rupanya baldi itu…

Cikgu Hailmi senaraikan 11 jenis makanan yang mengurangkan kepandaian otak, ini yang dikongsi beliau

Pernah hampir dibuang universiti akibat gagal subjek Kimia, Cikgu Hailmi kini guru cemerlang Sains


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp