pexels-photo-4031822
pexels-photo-4031822

(Siri 1) Pernah dijangkiti Covid-19, ini catatan dan luahan hati Cikgu Ahmad Zhafran untuk rakyat Malaysia. Sebak!

Roshlawaty Md Raieh
16 Aug 2021 03:54pm
A
A
A

Tiada siapa yang mahu diri dan ahli keluarga dijangkiti virus Covid-19.

Namun, jika sudah tertulis kita sebagai hamba-Nya dijangkiti wabak paling bahaya itu, pastinya kita harus bersedia dan reda dengan ujian yang diberikan ALLAH SWT.

Guru Matematik dan Inovasi, Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baharu, Batu Caves, Selangor, Cikgu Ahmad Zhafran Md Noor menerusi akaun Facebooknya, baru-baru ini memaklumkan bahawa dia sekeluarga positif Covid-19.

“Hanya Allah sahaja yang tahu apa perasaan saya ketika itu.

“Dengan memikirkan diri sendiri, isteri yang sarat mengandung dan empat anak-anak yang lain, sungguh, saya buntu,” katanya kepada GPSBestari.

Kini, setelah sudah bebas daripada jangkitan Covid-19, Cikgu Ahmad Zhafran kembali meneruskan kerjayanya sebagai pendidik dan telah memuat naik diari dan catatan penuh sepanjang beliau sekeluarga berada dalam tempoh kuarantin.

“Saya tulis ini sebagai coretan untuk diri sendiri dan juga sebagai ingatan suatu hari nanti.

“Juga, sebagai panduan untuk semua rakyat Malaysia bahawa Covid-19 itu realiti dan ia menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal usia,” jelasnya.

Mari ikuti luahan lengkap Cikgu Ahmad Zhafran yang ditulis sendiri oleh beliau secara bersiri (dua siri).

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.

*****

Saya seorang yang menjaga SOP, sedaya-upaya menjauhi tempat yang sesak, kedai yang kecil dan padat serta kurang pengudaraan.

Apabila keluar rumah, pelitup muka pun pakai dua keping, sanitasi tangan hingga ke siku apabila masuk ke dalam kereta serta mandi dan salin pakaian baharu apabila pulang ke rumah.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Cuma, saya kerap keluar untuk membeli barangan keperluan harian dan solat di masjid (masa solat pun pakai sejadah sendiri dan berpelitup muka).

Saya dan isteri, Nur Afifah telah mendapat suntikan vaksin Covid-19 dos pertama pada 13 Julai lalu dan temujanji dos kedua pada 3 Ogos lalu.

Punca jangkitan 'tidak diketahui' dan tiada kontak rapat pesakit Covid-19.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

26 Julai (Isnin):

Lewat petang itu, bermulanya pedih-pedih dalam hidung dan gatal-gatal anak tekak. Namun, pedih hidung dan gatal anak tekak ini berbeza daripada kebiasaan yang saya alami selaku penghidap resdung / sinus.

Menjelang malam, hidung semakin pedih (seumpama hidung masuk air) dan gatal, anak tekak terasa kering dan perit (seumpama luka), hingus dan kahak muncul dalam hidung dan mulut.

Badan mulai seram sejuk, dahi dan badan berasa sangat panas. Saya kerap ke tandas untuk membuang hingus, kahak dan basahkan badan (untuk menurunkan suhu). Saya mula berkumur air garam suam dan muntah kahak setiap kali berkumur.

27 Julai (Selasa):

Sepanjang hari tidur (dari pagi hingga petang), badan mulai panas (demam), tekak semakin sakit dan hingus tak berhenti-henti keluar.

Setelah berbincang dengan isteri, kami 'bersedia' dengan segala kemungkinan yang berlaku (termasuk dijangkiti Covid-19).

Petang itu saya mula kuarantin dalam bilik berasingan daripada keluarga.

Malamnya, bermulalah 'kesakitan sebenar' Covid-19. Demam panas (tiga kali mandi tengah malam), sakit urat (tidur sambil bersila), tekak sangat perit dan berkahak.

Hampir 30 minit sekali pergi ke tandas. Entah berapa kali muntah lendir / kahak setelah berkumur air garam.

28 Julai (Rabu):

Akhirnya dapat lelapkan masa sebentar (bermula jam 4 pagi lebih) setelah makan ubat demam dan ubat batuk.

Paginya, bangun lewat solat Subuh (pukul 7 pagi) dan sambung tidur sehingga jam 9 pagi sambil batuk-batuk dan basahkan sendiri kepala dan badan dengan air.

Selepas mandi, sarapan dan makan paracetamol dan ubat batuk, lebih kurang pukul 10.30 pagi saya sudah terpacak di bahagian 'fever' /demam, CAC atau klinik kesihatan kerajaan berdekatan rumah saya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Doktor telah mengambil darah saya untuk ketahui kandungan oksigen dalam darah, periksa suhu, tekanan darah dan menyuluh anak tekak.

“Semuanya normal, bacaan suhu, tekanan darah dan kandungan oksigen dalam darah.

“Namun, jika encik nak buat swab test kena datang petang nanti. Saya akan buat 'appointment' untuk encik. Tetapi, kena beratur ramai-ramai macam sekarang,” kata doktor tersebut sambil menunjukkan sebuah khemah yang dipenuhi orang ramai.

Di khemah tersebut bertulis 'Kawasan risiko positif Covid-19'.

“Saya cadangkan encik buat swab test di klinik swasta, lagi cepat dan selamat daripada menunggu bersama pesakit positif Covid-19. Keputusannya nanti bagi kami,” kata doktor itu lagi.

Saya 'Google' CAC swasta terdekat, terus menuju ke sana.

Badan mulai panas, lesu dan letih teramat sangat. Mungkin kesan paracetamol dan ubat batuk semakin hilang. Namun gagahkan juga memandu ke klinik swasta yang menjalankan perkhidmatan swab test (tidak semua klinik swasta buat swab test) berdasarkan laman web KKM.

Baca juga 70% cadang sekolah bersemuka hanya pada tahun 2022! 

Baca juga Cikgu Fir guna teknik Diorama tarik minat pelajar suka Sejarah. Ramai teruja

Di klinik swasta tersebut ada dua pilihan samada PCR atau RTK Antigen Test.

“Saya mahu swab test, result segera,” pinta saya.

“Encik ambil RTKlah, keputusan tak sampai satu jam sudah dapat,” kata penjaga kaunter klinik. Dia mengenakan PPE suit dan ambil sampel dari hidung saya.

Tidak sampai satu jam menunggu, penjaga kaunter datang

“Maaf encik. Encik positif Covid-19,” katanya.

Saya terus menjarakkan diri saya dengannya.

Terus terbayang di fikiran isteri yang sarat mengandung dan empat anak yang masih kecil-kecil lagi di rumah.

“Encik bawa bertenang. Balik rumah nanti encik kuarantin seorang-seorang. Jika ada isteri atau anak-anak, bawa mereka swab test juga kerana mereka kontak rapat encik,” katanya lagi panjang lebar.

Saya terkedu tidak dapat berkata apa-apa.

Setelah sampai ke rumah, saya gagahkan diri untuk maklumkan kepada isteri. Isteri seakan sudah bersedia hadapi kenyataan ini

“Ini ujian bagi keluarga kita. Kita kena bersedia dan reda hadapi sebarang kemungkinan yang berlaku,” katanya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Ya, SEBARANG KEMUNGKINAN YANG BAKAL BERLAKU, sama ada dimasukkan ke dalam wad atau...

Petang itu, saya terus sambung kuarantin seorang diri.

Malam, sudah kurang panas (mungkin awal-awal sudah telan panadol), cuma batuk-batuk masih ada walau pun makan ubat batuk. Memang langsung tidak boleh tidur malam bukan kerana sakit tetapi teringat akan nasib isteri dan anak-anak.

29 Julai (Khamis):

Isteri panggil doktor swasta ke rumah untuk jalankan swab test untuk dirinya dan anak-anak.

Hasilnya, anak ketiga kami yang berusia enam tahun disahkan positif. Maka, dia dimasukkan sekali bersama-sama saya dalam bilik kuarantin.

Isteri pula sudah mula sakit tekak dan lesu, anak kedua berusia tujuh tahun, Miqdad pula demam.

Ya Allah lindungilah diri kami daripada wabak ini!

30 Julai (Jumaat):

Pagi Jumaat, saya pergi ke klinik kesihatan terdekat untuk 'melaporkan diri' dan 'dipakaikan gelang pink'.

Sungguh ramai orang beratur di hadapan saya (lebih 200 orang sehingga ke luar pagar dan semuanya positif Covid-19).

Seorang pegawai kesihatan datang maklum.

“Maklumat encik (kena Covid-19) sudah update dalam MySejahtera atau Selangkah?

“Jika sudah, encik boleh beransur pulang kerana yang beratur ini yang ada kes-kes simpton berat sahaja,” katanya lagi.

Baca juga 9 cara terbaik melajukan Windows 10

Baca juga Alumni kolej Matrikulasi berkongsi tip untuk dapat 4 flat

Saya menunjukkannya paparan skrin MySejahtera saya yang bertukar warna merah.

“Tidak perlu pakai gelang pink ke?,” tanya saya.

“Sudah tidak perlu encik. Sekarang sekadar update dalam MySejahtera sahaja, tidak perlu pakai gelang pink,” ujarnya lagi.

Pagi tu juga kakak ipar hantar barangan keperluan dan antigen rapid test (swab test melalui air liur /kahak).

Hasilnya, isteri dan anak kedua, Tholhah juga positif. Anak keempat berusia tiga tahun, Thoriq pula mulai demam, tetapi tak mahu buat swab test. Anak sulung, Musab berusia sembilan tahun pula negatif Covid-19.

Maka, kami sama-sama kuarantin sambil memakai pelitup muka dan anak sulung dijarakkan sementara dengan anak kedua, ketiga dan keempat yang positif Covid-19.

31 Julai, 1 dan 2 Ogos (Sabtu, Ahad, Isnin):

Isteri dan anak-anak demam on-off, tetapi tidak tinggi suhunya. Deria bau dan rasa saya dan isteri hilang sepenuhnya.

Kami amalkan perubatan moden dan tradisional sekali sekadar usaha penyembuhan.

Setiap pagi kami sekeluarga makan vitamin C, madu, habbatussauda, minyak zaitun dan buah-buahan.

Kami juga kerapkan berkumur dengan air garam suam dan cecair pencuci mulut sehingga muntah kahak selain menghidu cuka makan hingga terbatuk-batuk.

Tidak lupa juga kami makan pain killer atau paracetamol jika demam dan lenguh-lenguh badan serta ubat batuk, lozenge dan pencair kahak bagi melegakan sakit tekak.

Selaku pesakit yang kuarantin di rumah, kami sentiasa memantau kadar denyutan nadi, tekanan darah dan suhu badan kami menggunakan oxymeter, infrared thermometer dan bloodpressure monitor.

Alhamduillah, semua bacaan normal dan stabil.

3 - 8 Ogos (Selasa - Ahad):

Alhamdulillah. Tiada lagi demam-demam. Cuma masih ada gatal-gatal tekak, sedikit lesu dan cepat mengah sahaja.

Isteri juga dua kali 'lapor diri' di klinik berhampiran terdekat.

Alhamdulillah paru-paru 'bersih' daripada kuman Covid-19 dan oksigen dalam darah normal.

Deria bau dan rasa masih tiada.

Gambar hiasan daripada Pexels.

9 Ogos (Isnin):

Alhamdulillah tempoh kuarantin kami sekeluarga tamat. Deria bau dan rasa sudah ada, demam dan batuk-batuk sudah tiada. Cuma kesan post (selepas) Covid-19 masih ada seperti gatal-gatal tekak, mudah letih dan cepat mengah.

Sumber: Facebook Ahmad Zhafran Md Noor

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok