11 kerjaya bidang komputer yang boleh pelajar ceburi bila tamat pengajian kelak
Memilih bidang atau jurusan yang disukai di universiti menjadi keutamaan bagi seseorang pelajar.
Bagi mereka, belajar dalam pengkhususan kegemaran akan memudahkan proses pembelajaran di kampus berkenaan.
Berdasarkan tinjauan dalam kalangan mahasiswa, jurusan komputer adalah salah satu bidang yang sangat popular di kebanyakan universiti di Malaysia.
Ini kerana peluang pekerjaan bagi pelajar yang mengambil bidang tersebut sangat luas dan menjadi rebutan majikan.
Untuk perkongsian semua, kerjaya dalam bidang komputer cukup banyak. Ia bukan sekadar menjadi guru dalam pengkomputeran semata-mata, tetapi ia lebih daripada itu.
Di sini, Sinar Bestari sediakan senarai kerjayanya buat adik-adik baca dan hadam. Mari kita lihat di bawah ini.
1) Jurutera Perisian
Jurutera perisian menerapkan prinsip-prinsip kejuruteraan bagi reka bentuk, pembangunan, penyelenggaraan, pengujian dan penilaian perisian dan sistem yang membolehkan komputer atau apa-apa peralatan yang mengandungi perisian berfungsi.
Tugas utama jurutera perisian ialah mereka atau mengubah perisian bagi menjamin kualiti yang terbaik untuk perisian tersebut. Mereka akan memastikan fungsi yang direka bertindak mengikut spesifikasi yang diingini.
2) Penganalisis Sistem
Penganalisis sistem adalah profesion teknologi maklumat yang mengkhusus dalam menganalisis, merekabentuk dan melaksanakan sistem komputer. Mereka akan menganalisis masalah sistem, merancang dan menguji piawaian dan mencari penyelesaian.
Sistem komputer memerlukan ketelitian yang tinggi untuk dirangka. Jadi, tugas seseorang penganalisis sistem amat penting dalam memastikan sistem yang dibina berfungsi dengan baik dan menepati kemahuan pelanggan.
3) Pakar Keselamatan Siber
Antara kerjaya dalam bidang komputer yang dikatakan mempunyai pendapatan tertinggi dalam cabang tersebut.
Untuk info, peranan utama seseorang Pakar Keselamatan Siber ialah mencegah serangan siber ke atas sistem maklumat yang mahu mendapatkan pelbagai akses untuk maklumat-maklumat tertentu.
Waktu bekerja seseorang Pakar Keselamatan Siber memang tidak menentu, kerana penggodaman sistem boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Jadi, mereka perlu sentiasa bersedia bagi melindungi sistem komputer.
4) Jurureka Web
Bagi memastikan laman web yang diusahakan berjaya berfungsi tanpa sebarang gangguan, seseorang jurureka web memainkan peranan yang penting untuk perihal tersebut.
Ada beberapa jenis jurureka web yang perlu anda ketahui, front end developer dan back end developer merupakan antara yang paling popular. Semestinya peranan yang dimainkan ialah berbeza.
Front end developer membangunkan laman web dan visual menggunakan HTML, CSS dan JavaScript manakala back end developer membangunkan web menggunakan bahasa pengaturcaraan.
5) Jurutera Rangkaian
Jurutera Rangkaian adalah seseorang yang mempunyai kepakaran untuk merancang, melaksanakan dan mengawasi rangkaian komputer yang menyokong perkhidmatan suara, data, video dan rangkaian tanpa wayar.
Tugas mereka termasuklah memilih perisian yang patut digunakan bagi menepati spesifikisasi yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi disamping memperbaiki peralatan dan sistem yang sudah lama.
Mereka akan membuat lakaran kepada rangkaian, menjalankan ujian terhadap rangkaian tersebut dan membangunkannya serta membuat penyelengaraan terhadap rangkaian tersebut.
6) Pendidik
Lebih berminat untuk mengajar dalam bidang IT atau sains komputer? Semestinya anda mempunyai jiwa seorang pendidik, jadi ceburi sahaja bidang pendidikan yang mengkhususkan bidang komputer!
Anda boleh memilih untuk menjadi guru IT atau pensyarah di universiti. Kelayakannya berbeza, namun tugas dan peranan utamanya lebih kurang sahaja.
7) Pengaturcara
Pengaturcara? Mungkin jarang didengari, namun anda pernah sahaja terdengar tentang programmer, bukan? Ya, itulah pekerjaan yang cukup popular dalam bidang sains komputer ini!
Umum mengetahui yang pengaturcara sememangnya merupakan antara pekerjaan termahal dalam bidang ini dek kerana kepakaran yang dimiliki oleh seseorang pengaturcara.
Kebolehan untuk menguasai beberapa bahasa pengaturcaraan seperti BASIC, C, C++, COBOL, Java, FORTRAN, Ada dan Pascal merupakan kemahiran yang perlu dimiliki seseorang pengaturcara.
8) Pembangun Mudah Alih
Pekerjaan mobile developer atau pembangun mudah alih juga merupakan antara kerjaya dalam bidang komputer yang boleh anda ceburi. Untuk pengetahuan anda, pekerjaan ini memang sedang hangat di negara kita!
Peranan seseorang pembangun mudah alih ialah membina aplikasi untuk Android, iOS dan platform Windows Phone. Seiring dengan teknologi yang kian membangun, kepakaran sebegini sememangnya sangat diperlukan.
9) Pengurus IT
Pengurus IT memang sangat diperlukan di mana-mana syarikat, terutama syarikat besar. Mereka bertanggungjawab untuk merancang dan menyelaras aktiviti yang berkaitan dengan komputer dan sistem maklumat sesebuah syarikat.
Dari peralatan hingga ke perisian komputer sesebuah organisasi atau syarikat, pengurus IT bertanggungjawab terhadap pemasangan dan penyelenggaraan mereka.
10) Pereka Bentuk Grafik
Reka bentuk atau logo yang kreatif memerlukan kepakaran dan kreativiti yang tinggi untuk direka. Jadi, kemahiran seorang pereka bentuk grafik dalam sesebuah organisasi atau syarikat memang diperlukan untuk tugas sebegitu.
Pereka grafik membuat konsep visual, menggunakan perisian komputer. Mereka akan menyediakan reka bentuk untuk menghasilkan iklan, brosur, majalah, dan laporan mengikut kehendak pelanggan.
11) Juruteknik Komputer
Selain jurutera yang membangunkan sistem, Juruteknik Komputer yang bertanggungjawab menjalankan kerja penyelenggaraan sistem komputer dan sistem operasi juga memainkan peranan yang penting.
Sekiranya mereka menerima aduan tentang kerosakan sistem komputer, mereka dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih sistem tersebut agar berfungsi seperti sediakala.
Selain itu, mereka juga akan memantau sistem tersebut dari semasa ke semasa agar memastikan yang sistem tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk digunakan.
Artikel berkaitan
Rezeki SK Seksyen 17! Makmal komputer dinaik taraf, terima 50 komputer riba
35 mahasiswa UniMAP terima komputer riba
Teknologi pelengkap guru kalis masa hadapan