Rezeki SK Seksyen 17! Makmal komputer dinaik taraf, terima 50 komputer riba
Rezeki SK Seksyen 17! Makmal komputer dinaik taraf, terima 50 komputer riba

Rezeki SK Seksyen 17! Makmal komputer dinaik taraf, terima 50 komputer riba

Roshlawaty Md Raieh
06 Oct 2022 09:26pm
A
A
A

Baru-baru ini, Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) bekerjasama dengan VSTECS Berhad untuk menaik taraf makmal komputer Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, beserta pemberian 50 komputer riba untuk kegunaan warga sekolah terbabit.

Menurut Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel, program yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada program Sekolah Angkat #KitakanJiran.

Azliza berkata, sebagai sebuah syarikat yang berjiwa kejiranan, inisiatif #KitakanJiran merupakan penekanan daripada nilai SMART syarikat peruncitan itu iaitu bertanggungjawab dalam memberi impak positif dalam komuniti di lokasi mereka beroperasi.

Nilai SMART melambangkan S untuk Simple (Mudah); M untuk Motivated (Bermotivasi); A untuk Agile (Tangkas); R untuk Responsible (Bertanggungjawab); dan T untuk Transformative (Transformasi).

Beliau berkata, tanggungjawab ini termasuklah menawarkan pelanggan produk berkualiti mampu milik, meningkatkan status sosial masyarakat setempat dan menyediakan peluang kepada sekolah untuk menerima pendidikan yang lebih baik serta menambah kemahiran melalui program anjuran Lotus’s Malaysia.

Azliza

“Dengan adanya makmal komputer baharu ini, para pelajar dan guru di SK Seksyen 17 kini boleh mempertingkatkan kemahiran asas komputer mereka dan menjadi asbab untuk lebih bersemangat terhadap dunia teknologi dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, majlis pelancaran makmal komputer itu disempurnakan oleh Pegawai Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+) Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Dr S. Sukumar Subramaniam.

Turut hadir Pengurus Besar VSTECS Pericomp Sdn Bhd, Li Chin Yeo dan Guru Besar SK Seksyen 17, Mohd Misbah Ajir.

Sejak 2016, Lotus’s Malaysia bersama Yayasan Pintar telah merangka pelbagai program untuk mempertingkatkan kehidupan para pelajar di sekolah angkatnya dan lebih 57,000 pelajar kurang bernasib baik telah menerima impak positif melalui program Sekolah Angkat #KitakanJiran.

Majlis pelancaran makmal komputer SK Seksyen 17.

Lotus’s Malaysia akan terus menambah baik inisiatif pembelajaran sepanjang hayatnya dengan cara yang lebih tersusun, di mana mereka boleh mengukur prestasi akan hasil sumbangannya.

Syarikat peruncitan itu akan terus menggalakkan lebih 9,000 pekerjanya di seluruh cawangan untuk bersama-sama melibatkan diri dalam menyokong aktiviti para pelajar di sekolah angkatnya melalui kempen kesedaran pendidikan, kesihatan dan pemakanan yang baik serta memberi pendedahan terhadap kehidupan yang lebih hijau.

Selain itu, Lotus’s Malaysia juga sedang menjalankan sebuah Program Kepimpinan Guru bersama Yayasan Pintar untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan guru sekolah daripada 63 sekolah angkatnya.

Sebanyak 50 komputer riba disumbangkan kepada sekolah ini.

Program yang berlangsung selama tujuh bulan itu terdiri daripada latihan, bengkel dan sesi perkongsian profesional untuk memperkasakan peranan seorang pendidik atau pemimpin yang berkesan.

Syarikat peruncitan itu turut mengalu-alukan sebarang kerjasama bersama pihak lain pada masa hadapan agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

Syarikat peruncitan itu juga berharap agar pengguna bukan sahaja melihatnya sebagai pasar raya dan pusat membeli-belah yang menawarkan pelbagai pilihan yang berkualiti dengan harga mampu milik, malahan juga sebagai sebuah institusi kejiranan yang prihatin dalam komuniti bagi menyokong pertumbuhan negara yang mampan.

Artikel berkaitan 

‘Let’s Science Up’, bantu tingkat minat pelajar dalam subjek Sains

Taylor’s University labur lebih RM1 juta bangunkan Makmal VORTEX XR

Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok