WhatsApp Image 2022-01-22 at 3.03.09 PM
WhatsApp Image 2022-01-22 at 3.03.09 PM

2 pelajar SMJK Sam Tet akan terus aktif dalam tarian singa

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
03 Feb 2022 01:58pm

Terpegun seketika apabila menyaksikan persembahan tarian singa setiap kali tibanya perayaan Tahun Baharu Cina.

Dengan kumpulan penarinya yang meniru pergerakan singa menggunakan kostum singa, tarian tersebut dilihat cukup hebat dan penuh dengan tradisi serta kebudayaan masyarakat Cina.

Bagi dua pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak, Chan Jing Hern, 17, dan Ng Wen Le, 16, tarian berkenaan sangat bermakna buat mereka.

Ini kerana, kedua-dua pelajar tersebut cukup meminati tarian singa yang dianggap sebagai salah satu warisan dan budaya masyarakat Cina yang dibawa masuk ke Malaysia sejak dahulu.

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Jing Hern berkata, dirinya sudah sebati dengan tarian singa kerana sejak kecil menyaksikan tarian tersebut apabila menyambut Tahun Baharu Cina.

Jing Hern

“Ayah, Chan Beng Seah dan ibu, Fong Sau Chun selalu bawa saya menyaksikan persembahan tarian singa di lokasi-lokasi tertentu. Dari situ, saya sudah jatuh cinta dengan kebudayaan ini.

“Disebabkan itulah, ketika berusia 14 tahun, saya telah menyertai Persatuan Seni Mempertahankan Diri di SMJK Sam Tet di mana dalam persatuan ini turut diajar tentang tarian singa, naga dan wushu,” kata anak bongsu daripada dua adik-beradik ini.

Di sekolah, Jing Hern diberikan peranan sebagai penari nombor satu (posisi kepala) bersama pasangannya, Yong Juen Xuan (posisi ekor). Mereka telah menjadi pasangan sejak dahulu lagi kerana memiliki keserasian dan persefahaman antara satu sama lain.

Jing Hern berkata, pergerakan tarian singa tidaklah semudah yang disangka terutamanya di bahagian kepala singa selain kostumnya yang berat dan ada pergerakan yang sukar untuk dihafal.

“Bagaimanapun, tarian singa ini akan lancar jika kita sentiasa berlatih dan punya tenaga serta stamina yang mencukupi,” tuturnya.

Menurut Jing Hern lagi, latihan tarian singa tidak boleh dilakukan secara bersendirian kerana ia sangat berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan.

“Kena ada jurulatih yang memerhati ketika latihan dan saya akan ditemani dua jurulatih iaitu Yay Kin Hou dan Chng Wen Bo.

“Pasukan kami berlatih secara fizikal pada setiap hujung minggu (sebelum Covid-19). Jika tiada latihan, saya dan rakan akan menonton video mengenai tarian singa ini menerusi laman YouTube untuk memperkemaskan lagi pergerakan,” jelasnya.

Minat, keazaman dan kerap berlatih

Sementara itu, Wen Le berkata, pelbagai cabaran telah dilalui sepanjang pembabitannya dalam aktiviti tersebut.

“Saya sertai tarian singa ini sejak di Tingkatan Satu sehinggalah sekarang, Tingkatan Empat. Memang banyak cabaran hingga tak terbilang rasanya.

“Pening kepala, kekurangan stamina dan tenaga adalah antara situasi yang pernah saya lalui. Namun, semua ini bukanlah masalah besar dan saya berjaya cari solusinya,” katanya yang merupakan pemain gendang dan juga penari singa.

Wen Le

Wen Le berkata, pelajar yang mahu menyertai pasukan tarian singa perlu mempunyai minat, keazaman dan kerap berlatih kerana setiap kemahiran untuk menguasai pergerakan dalam tarian singa mengambil masa bertahun-tahun.

“Tidak kisah sekiranya anda seorang pemain gendang, simba, gong atau penari, yang penting kena ada semua faktor di atas bagi menguasai gerakan akrobatik, lompatan dan kemahiran lain dengan lebih cepat,” jelasnya.

Pelapis muda tarian singa SMJK Sam Tet yang akan terus memperjuangkan tarian tersebut hingga ke akhirnya.

Wen Le berkata, keseronokan terlibat dengan tarian singa tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Banyak pengalaman manis sebagai pemain gendang dan penari singa. Paling sukar dilupakan apabila menjadi pelapis muda yang akan memperjuangkan tarian singa hingga ke generasi akan datang.

“Walaupun setelah menamatkan pembelajaran di sekolah ini kelak, saya berjanji akan tetap terus melibatkan diri dalam kesenian ini agar masyarakat kita tidak lupa,” ujarnya.

INFO

Persatuan Seni Mempertahankan Diri SMJK Sam Tet

Penaung: Pengetua, Chan Kok Wai

Ketua guru penasihat: Ng Soo Heng

Objektif persatuan

1) Untuk menggalakkan ahli-ahli bergiat aktif dalam setiap aktiviti persatuan.

2) Untuk membentuk personaliti yang positif dalam setiap jiwa ahli dengan sifat disiplin, berdedikasi, cekal dan berkemampuan memimpin warga lain.

3) Untuk mencungkil bakat ahli-ahli Untuk membangkitkan semangat cinta akan kebudayaan Cina dalam seni wushu dalam setiap jiwa ahli-ahli persatuan.

Persatuan Seni Mempertahankan Diri Ditubuhkan pada 6 Mei 1967. Telah melahirkan ramai atlet wushu, pasukan tarian singa dan naga yang hebat. Dalam persatuan ini, mereka bukan sahaja belajar teknik mempertahankan diri atau tarian singa serta naga tetapi turut belajar menjadi insan yang berdisiplin.

Artikel berkaitan 

Sejarah tarian singa

Tersenarai antara 50 calon seluruh dunia, Alesyah buat rakyat Malaysia gembira dan bangga!

10 petua menjadi pemidato hebat, ini perkongsian Ikon Pemidato Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp