WhatsApp Image 2021-02-26 at 1.30.16 AM (1)
WhatsApp Image 2021-02-26 at 1.30.16 AM (1)

3 kelab usahawan bantu dalami bidang niaga

Roshlawaty Md Raieh
13 Jul 2021 12:41pm
A
A
A

SKP, SELKS dan UEC antara yang makin dapat perhatian ramai

Kebanyakan institusi pengajian tinggi pada masa kini menawarkan pelbagai kursus keusahawanan kepada pelajar.

Tujuannya untuk memberi pendedahan kemahiran dan menyuntik minat mereka dalam bidang perniagaan.

Malah baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan dalam kalangan pelajar di universiti awam, Politeknik dan Kolej Komuniti untuk pelajar mencipta peluang sendiri dalam keusahawanan.

Disebabkan pentingnya bidang tersebut, GPSBestari menemu bual beberapa kelab usahawan yang terdapat di negara kita.

Kewujudan kelab ini dilihat sebagai satu usaha tepat dalam memberi latihan kepada pelajar yang berminat mendapatkan pengalaman berniaga khususnya perniagaan kedai runcit.

Kelab Sekretariat Keusahawanan Pelajar (SKP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), antara yang ditubuhkan bagi memperkasakan persekitaran keusahawanan di kampus.

SKP yang diselia oleh Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) di bawah Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI) berperanan membantu pelajar menjalankan perniagaan semasa dalam pengajian.

Pengasas kelab, Mohammad Farisfahmi Mamat berkata, SKP ditubuhkan 16 September 2019 bertujuan membantu pelajar mengenalpasti keperluan program, kursus, seminar, bengkel dan jenis bantuan.

Mohammad Farisfahmi

“SKP menjadi penghubung pelajar mengemukakan sebarang bentuk idea dan pandangan kepada pihak pengurusan UMKEI,” tuturnya.

Sehingga kini, SKP melahirkan ramai usahawan dalam kalangan pelajar antaranya King Oden, VCendol dan Al Kahfi Exclusive.

“Selain itu, produk makanan dan minuman seperti kambing perap, bertih jagung (pop corn), jus buah, perkhidmatan gunting rambut dan perkhidmatan pencucian kediaman dan tidak ketinggalan produk sedia ada seperti Demica, Numiskin dan lain-lain," tambahnya.

Project bersama Fahdi Ghazali (tengah) anjuran SKP turut dihadiri alumni dan komuniti usahawan dari Kelantan

Dalam pada itu Kelab SKP akan membuka keahlian kepada pelajar setiap kali kemasukan pelajar baharu pada bulan September.

Secara amnya, kelab ini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar kerana memahami ekonomi negara yang tidak menentu dan telah membuka minda mereka untuk menerapkan ilmu keusahawanan dalam diri.

SELKS mantapkan kemahiran pelajar

Sementara itu, Sekretariat Latihan Keusahawanan Siswa (SELKS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ditubuhkan bertujuan memantapkan pelbagai kemahiran pelajar dalam keusahawanan.

Malah, ia juga membentuk sebuah komuniti pelajar yang berdaya saing, kreatif, inovatif dan beretika dalam bidang  tersebut.

Menurut Presiden SELKS 2020/2021, Muhammad Shahmi Sulaiman Nasution, setakat ini mereka mempunyai seramai 53 orang ahli dan ini membuktikan ramai pelajar mahukan ilmu tentang bidang berkenaan.

Muhammad Shahmi

“Banyak faedah yang ahli SELKS perolehi. Antaranya, berpeluang mengikuti program keusahawanan peringkat universiti dan kebangsaan secara percuma, dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar dan memperoleh kemahiran pengurusan program secara online,” ulasnya.

Untuk menyertai SELKS, ada kriteria diperlukan. Peringkat pertama, kelab akan membuka temu duga kepada pelajar yang berminat. Bagi yang memohon sebagai Majlis Tertinggi, sesi temu ramah bersama calon akan diadakan dan mereka dinilai dari segi kepimpinan, keusahawanan, etika dan kesungguhan.

Manakala jawatan exco dan ahli biasa pula, mereka perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Memandangkan Covid-19 melanda negara, SELKS tidak ketinggalan menganjurkan aktiviti untuk ahli kelab.

“Kita tidak mahu program tergendala kerana Covid-19. Jadi, beberapa aktiviti dianjurkan bagi memberi manfaat kepada ahli, misalnya  Grow Mindset Usahawan, Virtual USIM Entrepreneurship Festival 2021 dan Coway Sebagai Platform Biz Digital: Peluang Berniaga atau Kerjaya, baru-baru ini,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini kelab, Muhammad Shahmi berkata, SELKS baru sahaja selesai menjalankan aktiviti untuk hari raya.

“Aktiviti terakhir kami jalankan ialah Projek Jahitan Baju Raya USIM 2021 pada Ramadan lalu. Kami mempromosi dan mula mengambil tempahan daripada warga kampus. Tempahan dijahit pelajar universiti yang berkemahiran dalam jahitan,” ujarnya.

UEC UPM aktif anjur program

Kelab Keusahawanan Uniputra (Uniputra Entrepreneurship Club - UEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah ditubuhkan 4 Disember 2008, bertujuan memupuk sifat dan meningkatkan kesedaran pelajar dalam keusahawanan.

Presiden UEC, Adlina Jamaludin berkata, keahlian kelab seramai 189 dan ini menunjukkan UEC menjadi perhatian pelajar kampus.

Adlina

“Mungkin kerana faedah yang ditawarkan, kami terima banyak permintaan untuk menjadi ahli.

“Antara faedahnya, dapat ikuti kelas perniagaan anjuran usahawan berjaya, dapat ilmu perniagaan yang pelbagai dan diberi peluang promosikan perniagaan dalam group telegram yang diwujudkan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, UEC aktif menganjurkan program dalam talian ketika pandemik Covid-19.

“Antaranya Coffee with Entrepreneur: Financial; Siswapreneur Advance; Entrepreneur Champion dan SiswapreneurExtra @ Money,” ulasnya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok