woman-1006100_1280
woman-1006100_1280

3 pelajar sekolah menengah dibuli mental dan fizikal, meninggalkan kesan berpanjangan dalam kehidupan

Rasyidah Zulkifi
05 Sep 2022 12:29pm
A
A
A

Berikutan daripada dakwaan ibu, seorang mangsa dibuli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang, sejak Jun lalu, Sinar Bestari minggu ini menemu bual tiga pelajar sekolah menengah yang pernah menjadi mangsa buli.

Putera (bukan nama sebenar) menceritakan kisahnya dibuli selama empat tahun hanya disebabkan mempunyai ciri fizikal yang rendah, berbadan besar dan berkulit gelap.

Menurutnya, bukan satu perkara yang mudah untuk melawan semula dan bebas daripada cengkaman pembuli.

“Memang pada ketika itu, saya mengakui perlu berhadapan sendiri dan merasakan kesakitan akibat dibuli.

“Sedangkan boleh sahaja mengambil alternatif untuk membuat laporan polis, tetapi saya tidak lakukan.

“Saya kasihan masa depan si pembuli walaupun tindakan (berdiam diri) ini hanya memakan diri sendiri dan dilihat sebagai satu tindakan yang kurang bijak,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menceritakan dengan lebih lanjut, antara contoh buli yang telah dirasai adalah nama bapanya dijadikan ‘bahan’ ejekan di sekolah.

“Selain itu, saya pernah dituduh mencuri kerana sering duduk seorang diri dan juga dibaling kerusi sehingga terkena di bahagian mata.

“Alhamdulillah kecederaan yang dialami tidaklah terlalu teruk, tetapi meninggalkan kesan parut hingga sekarang.

“Bukan itu sahaja, ada satu ketika apabila saya menyertai pertandingan nasyid, disebabkan oleh persembahan yang kurang baik, saya dipersalahkan dan kemudian digulung di dalam tikar surau sehingga tidak mampu untuk melakukan apa-apa,” jelasnya yang dibiarkan di dalam surau selama beberapa minit sehingga dapat melepaskan diri dengan ikhtiar sendiri.

Sepanjang dirinya dibuli, perasaan Putera bercampur baur kerana dalam kesedihan dia sentiasa memaparkan riak kegembiraan dengan senyuman.

“Walaupun dibuli di sekolah, saya tidak pernah menangis apabila berada di rumah kerana tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku.

“Perasaan takut sentiasa ada dalam diri, sehingga saya terpaksa menipu untuk tidak hadir ke sekolah dan jika tiada pilihan, terpaksa menghadirkan diri juga.

“Saya juga sering gelisah ketika berada di dalam kelas dan lebih selesa duduk di perpustakaan supaya saya tidak bersendirian,” tuturnya yang kini berada di Tingkatan Lima.

Kawan makan kawan

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat, Suria (bukan nama sebenar) juga berkongsi kisah dibuli semasa berada di Tingkatan Dua di sekolahnya.

“Sudah menjadi lumrah kehidupan pelajar junior seperti kami untuk merasai pengalaman pahit itu.

“Bermacam-macam perkara pernah berlaku kepada saya sejak masuk sekolah menengah dan disebabkan itulah saya tidak mempunyai ramai kawan.

“Tudung saya pernah ditarik sehingga nampak rambut dan yang melakukan itu adalah pelajar lelaki,” tuturnya lanjut.

Penderitaan Suria tidak hanya ketika berada di sekolah, tambahnya, dia turut dibuli di luar kawasan sekolah.

“Saya mempunyai seorang kawan baik, perempuan yang usianya dua tahun lebih tua daripada saya.

“Tetapi selepas peristiwa dia mencuri telefon bimbit rakan sekelas saya terbongkar, dia terus membuli saya dengan cara membuang kasut sekolah ke tingkat bawah memandangkan kami tinggal di pangsapuri kos rendah.

“Tidak cukup dengan itu, dendamnya membara terhadap saya sehingga pernah diugut untuk ditetak menggunakan kayu ketika saya sedang belajar di dalam kelas,” ujarnya.

Mangsa keadaan

Bagi Fiza (bukan nama sebenar) pula, lain kisahnya apabila dia menjadi mangsa buli disebabkan kisah lama.

“Sekarang saya berada di Tingkatan Satu, namun ketika berada di sekolah rendah, saya pernah berkawan dengan seorang murid lelaki.

“Kemudian, ada seorang perempuan meminati murid tersebut, tetapi cintanya bertepuk sebelah tangan dan walaupun kejadian tersebut sudah lama berlalu, saya tetap dicari bertujuan untuk membalas dendam.

“Pada mulanya saya sekadar dipanggil oleh si pelaku yang tidak berpuas hati dengan kisah silam, tetapi tindakannya mengoyak buku tulis sewaktu di makmal sains amat mengejutkan,” katanya yang tidak pernah terlintas akandiperlakukan sedemikian rupa.

Akibatnya, Fiza terpaksa berbohong kepada guru mata pelajaran dengan memberikan alasan ‘buku hilang’ apabila diminta untuk menghantar tugasan yang diberikan.

Sungguhpun dia terasa dirinya dianiaya, Fiza tidak mahu membesar-besarkan kejadian yang menimpa dirinya walaupun menjadi mangsa keadaan.

Artikel berkaitan 

3 pelajar USM lakar kejayaan dalam pertandingan ICT 

3 pelajar wakili Malaysia ke Myanmar. Doakan kejayaan mereka! 

3 pelajar UPSI terharu terima sumbangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok