
Pelajar berusia 16 tahun hilang! 'Baliklah ke rumah dik. Semua risaukan awak'
Kehilangan seorang pelajar Tingkatan Empat dari sebuah sekolah menengah di Kuantan, Pahang sejak Rabu lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga dan masyarakat setempat.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud, ketiadaan Nurul Misha Najuwa Zulkarnain, 16, disedari oleh ahli keluarganya sebelum laporan dibuat pada Khamis.
"Mangsa memakai T-shirt putih kuning, seluar trek hitam dan membawa beg galas hitam ketika dilaporkan hilang.
"Difahamkan, kejadian ini merupakan kali ketiga berlaku dan ia dipercayai kerana mangsa enggan meneruskan persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Adli berkata, usaha mengesan Nurul Misha Najuwa kini sedang giat dijalankan oleh pihak polis dengan bantuan pelbagai pihak.
"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau ternampak mangsa agar tampil membantu siasatan dengan segera.
"Mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5652089," ujarnya lagi.