3 tip utama penghasilan resume
Selepas tamat pengajian di peringkat tertinggi, para graduan perlu mempersiapkan diri secara fizikal dan mental dalam menempuh alam pekerjaan.
Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum memasuki fasa itu, antaranya adalah menghasilkan resume.
Resume merupakan satu kenyataan yang disusun secara padat dan ringkas tentang diri seseorang.
Ia juga berfungsi sebagai satu medium bagi membolehkan pihak majikan mengetahui tentang diri seseorang berkaitan dengan kepentingan atau keperluan majikan.
Menurut Konsultan Kerjaya di Training Cube International Sdn Bhd, Nik Akmal Afif Nik Othman, penyediaan resume hendaklah dilakukan seawal tiga bulan sebelum pelajar menamatkan pengajian dan bergraduasi.
“Resume yang dihasilkan lebih awal adalah untuk mempersiapkan pelajar terhadap mana-mana tawaran pekerjaan yang terdapat di pasaran.
“Ia juga penting untuk pelajar mengetahui bahawa resume ini bukan satu jaminan mendapatkan pekerjaan tetapi untuk melayakkan seseorang itu ditemu duga,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Sebagai konsultan kerjaya, Nik Akmal menyediakan perkhidmatan nasihat dan latihan dalam aspek persiapan mencari pekerjaan.
Dia yang berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 2012 turut menyediakan perkhidmatan perkembangan kerjaya terutama kepada graduan yang baru menamatkan pengajian.
Tambahnya, hari ini ramai pihak yang menawarkan perkhidmatan menghasilkan resume bagi orang lain.
Bagaimanapun, dia berkata, para pelajar tidak digalakkan menggunakan perkhidmatan tersebut, kerana lebih mengenali kekuatan diri serta jawatan ingin dimohon mereka.
"Boleh sekiranya pelajar ingin menggunakan perkhidmatan menghasilkan resume ini, namun mereka hanya boleh membantu dari aspek kekemasan dan reka bentuk sahaja.
“Oleh itu, lebih baik jika ia dihasilkan sendiri oleh para pelajar,” ujarnya.
Nik Akmal turut mencadangkan kepada pelajar untuk tidak meletakkan gambar dalam resume.
Katanya, ia kerana akan mengundang kepada penilaian berat sebelah semasa pemilihan untuk dipanggil temu duga.
“Sebanyak 66 peratus majikan ingin melihat gambar dalam resume dalam kajian dilakukan oleh GTI Media (Graduate Jobs and Internship) di Malaysia.
“Namun, di luar negara, meletakkan gambar adalah dilarang sama sekali bagi mengelak berat sebelah dan tidak adil,” jelas Nik Akmal.
Sehubungan itu, Nik Akmal turut berkongsi tiga tip utama kepada pelajar untuk menghasilkan resume yang baik.
Jom baca.
1) Resume adalah dokumen rasmi.
Resume merupakan satu dokumen rasmi tentang diri seseorang untuk melayakkan mereka dipanggil temu duga oleh pihak majikan.
Oleh itu, penting untuk pelajar memilih font rasmi yang dibenarkan, seperti Arial atau Times New Roman mengikut saiz ditetapkan antara 11 hingga 12.
Selain itu, reka bentuk penghasilan resume juga hendaklah tidak terlalu keterlaluan dengan corak berwarna-warni atau tulisan berangkai.
Ini akan mendorong kepada resume yang tidak kemas memandangkan ia merupakan dokumen rasmi.
2) Kandungan resume menepati kehendak majikan.
Sebelum menghasilkan resume, penting untuk para pelejar mengetahui keperluan jawatan kosong yang ditawarkan oleh pihak majikan.
Ini adalah untuk mereka hasilkan resume dengan meletakkan isi kandungan mengikut tawaran yang disediakan sekali gus membantu meningkatkan peratusan pelajar dipanggil untuk temu duga.
3) Senang dibaca.
Penghasilan resume hendaklah menitikberatkan kekemasan dari sudut struktur dan penyusunan ayat.
Ini akan membantu memudahkan pihak majikan untuk membaca resume walaupun hanya sekali imbas.
Sehubungan itu, amat penting untuk pelajar menekankan beberapa informasi penting dalam resume mereka.
Struktur resume yang baik dan kemas akan memudahkan pihak majikan mengenal pasti kekuatan pemohon.
Artikel berkaitan
Tip siapkan FYP bagi pelajar tahun akhir
7 tip tarik minat anak-anak belajar subjek Matematik
6 tip simpanan pendidikan anak-anak, mohon ibu bapa mulakan daripada sekarang