HomeGen Z5 kemahiran untuk memancing udang galah

Artikel Berkaitan

5 kemahiran untuk memancing udang galah

Udang galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii merupakan spesies udang yang menjadi buruan kaki pancing udang di negara ini.

Udang galah jenis ini boleh didapati di sungai-sungai besar yang ada di Malaysia seperti Sungai Linggi, Sungai Perak dan Sungai Merchong.

Bagi pemancing baharu yang ingin berjinak dalam dunia memancing udang galah, dinasihatkan agar tidak cepat berputus asa kerana ia adalah sesuatu yang agak mencabar.

Pada masa yang sama ia turut memerlukan teknik-teknik pancingan tersendiri, peralatan dan fokus yang tinggi.

Pastinya kenyataan ini disokong ramai terutama pemancing tegar udang galah, namun begitu, aktiviti ini masih diminati kerana hasil tangkapan yang diperoleh amat berbaloi dengan pengorbanan yang telah dilakukan daripada segi masa, tenaga, dan wang ringgit.

Bagi mereka yang tinggal di Perak, Sungai Perak menjadi pilihan ramai bagi kaki pancing udang galah kerana ia dipenuhi udang galah.

Udang galah jenggo yang turut digelar udang sungai gergasi ini boleh didapati di seluruh kawasan tropika dan sub tropika di rantau Indo-Pasifik, dari India ke Asia Tenggara dan Utara Australia.

Salah seorang pemancing tegar udang galah, Shamsul Naim Ahmad Sabri, 42, berkata, memancing udang galah memberinya satu kepuasan yang tidak boleh didapati apabila memancing hidupan air yang lain.

“Memancing udang galah ini bukanlah satu perkara yang baharu, tetapi tidak semua orang berminat dengan aktiviti ini.

IKLAN

“Tiada sebab khusus mengapa memancing ikan lebih diminati berbanding udang galah kerana semuanya terpulang kepada minat masing-masing.

“Bagi saya, memancing udang galah dapat memberikan kepuasan diri dan perasaan ini tiada apabila memancing ikan,” katanya kepada Sinar Bestari ketika ditemui semasa Lawatan Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia Getaway To Perak, Tourism Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Shamsul Naim yang sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak 15 tahun lalu sempat berkongsi kemahiran yang diperlukan untuk memancing udang galah.

Baca juga

Mahasiswa kaki pancing, pilih hobi memancing sebagai rekreasi santai

IKLAN

6 peralatan penting memancing udang

Antara kemahiran yang diperlukan adalah:

1) Pemasangan mata kail

Pemasangan mata kail bergantung kepada umpan yang digunakan. Ia terpulang kepada pilihan masing-masing. Namun, sekiranya mata kail yang dipasang dengan umpan tidak menggunakan teknik yang betul, hasil pancingan tidak akan efektif. Bagi mereka yang berminat untuk memancing udang galah di sungai tanpa mempunyai apa-apa pengalaman, disarankan menggunakan umpan anak udang kerana kosnya yang murah dan tidak rumit. Cara pemasangan anak udang pada mata kail adalah dengan mencucuk bahagian belakang udang sehingga ia mengikut bentuk mata kail. Kemudian, buangkan bahagian kepala udang dan anda sudah bersedia untuk memancing.

2) Lontaran joran

IKLAN

Selepas umpan siap dipasang pada mata kail, joran akan dihayunkan dengan teknik yang betul supaya mata kail berada di dasar air yang menjadi habitat udang galah. Memancing udang galah tidak memerlukan hayunan yang jauh seperti memancing ikan. Teknik yang betul adalah dengan menghayunkan joran dengan kudrat yang sederhana dan yang penting mata kail mencecah di dasar air. Selepas itu, kuncikan joran dan tunggu sehingga umpan dimakan. Jika umpan sudah mengena, tali joran akan bergerak yang dipanggil jentikan.

3) Menarik joran

Apabila terdapat jentikan pada hujung tali joran, ia menunjukkan kemungkinan umpan sudah dimakan. Apa yang perlu anda lakukan ialah biarkan joran lebih kurang lima saat sebelum diangkat. Perlu diingatkan segala pergerakan tidak perlu terburu-buru. Jika semua teknik ini dipraktikkan, pancingan anda akan berjaya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

4) Memegang udang galah

Udang galah haruslah dikendalikan dengan berhati-hati kerana spesies ini mempunyai sepit agak tajam. Apa yang perlu anda lakukan ialah memegang pada bahagian badan dan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada terkena sepitan. Selain itu, mata kail juga harus dikeluarkan dengan cermat supaya udang galah tersebut tidak tercedera. Letakkan udang galah yang telah dibuang mata kailnya ke dalam jaring yang diletakkan di sisi bot untuk memastikan ia masih hidup sehingga pulang ke jeti.

5) Peka dengan sekeliling

Apabila melakukan aktiviti memancing terutamanya di sungai, banyak jenis kemalangan yang boleh berlaku tanpa disedari. Keselamatan perlu diutamaan. Oleh itu, pemancing yang baik haruslah mempunyai tahap kepekaan yang tinggi terhadap kawasan sekeliling. Perlu diingatkan juga untuk sentiasa mengawasi air kerana dikhuatiri terdapat ancaman bahaya seperti buaya dan binatang buas yang lain.

IKLAN

Artikel Terkini