1172006
1172006

5 tip menghasilkan inovasi untuk pertandingan! Guru Inovatif Negeri Sembilan 2013 kongsi caranya

Roshlawaty Md Raieh
19 Sep 2021 11:00pm
A
A
A

Setiap sekolah pastinya mempunyai pasukan inovasi sendiri yang sentiasa menghasilkan pelbagai produk menarik atau bahan bantu mengajar.

Malah, ada juga yang hanya membuat penambahbaikan terhadap inovasi sedia ada bagi memudahkan proses pembelajaran.

Sehubungan itu, Guru Inovatif Negeri Sembilan 2013, Cikgu Siti Zubaidah Musa berkata, setiap peserta yang menghasilkan produk atau inovasi layak menyertai pertandingan anjuran setiap peringkat.

“Tidak ada inovasi yang dikatakan kecil atau besar baru boleh disertai sebaliknya setiap inovasi yang memerlukan idea, perbincangan dan usaha untuk menghasilkannya boleh memohon sebagai peserta,” kata guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani, Muar, Johor.

Sebagai seorang peserta pertandingan inovasi yang berpengalaman dan pernah dilantik sebagai juri beberapa pertandingan, Cikgu Siti Zubaidah sedia berkongsi tip kepada guru yang ingin menghasilkan produk untuk pertandingan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Cikgu Siti Zubaidah Musa ketika membentangkan inovasi Kelas Digital Pemulihan Khas pada Pertandingan Guru Inovatif Daerah Muar 2021.

“Di sini saya kongsikan lima tip penting sebagai rujukan,” kata pemenang Anugerah Khas Juri, pingat platinum, emas, perak dan gangsa dalam pelbagai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta tersenarai dalam kelompok 30 Cikgu Juara Digital MDEC.

Tip 1 - Mulakan dengan penyelesaian dalam permasalahan yang berlaku dalam sesi PdPC / PdPR.

Ramai cikgu yang ingin menghasilkan inovasi tetapi tidak fokus dengan masalah yang berlaku dalam lingkungan persekitaran sendiri. Fikirkan tentang permasalahan, baru timbulnya penciptaan.

Dengan erti kata lain, tanya pada diri sendiri, relevankah inovasi yang dihasilkan?

Tip 2 – Mesti uji dahulu

Setiap inovasi perlulah dicuba atau diguna dahulu sebelum dipertandingkan kecuali persembahan idea inovasi.

Jalankan ujian sebelum dan selepas, bagi mendapatkan keputusan yang boleh meyakinkan para juri atau orang lain bahawa inovasi tersebut benar-benar memberi manfaat kepada permasalahan yang timbul.

Tip 3 – Novelti

Keaslian sesuatu inovasi adalah penting bagi mengiktiraf idea kreatif cikgu, bukan diciplak bulat-bulat daripada hasil orang lain.

Namun begitu, inovasi yang sama atau pernah dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan perlulah mempunyai eviden atau bukti penambahbaikan daripada yang terdahulu atau asal bagi mengelakkan dikatakan mencuri atau plagiat karya orang lain.

Konsep permainan atau penggunaan mungkin sama namun perlu ada sedikit pembaharuan dan penambahbaikan.

Inovasi yang diterapkan dalam Papergam (papan permainan gambar) boleh dimainkan bersama keluarga di rumah.

Tip 4 - Papan cerita inovasi, laporan penulisan atau kertas kerja

Bahagian ini mungkin ramai yang lepas tangan atau malas hendak fikirkan. Tapi, perkara ini adalah penting sebagai bahan sokongan utama menterjemahkan inovasi guru.

Setiap pertandingan inovasi mungkin berlainan formatnya tetapi pada asasnya inovasi yang guru hasilkan perlu mempunyai latar belakang permasalahan, pengenalan inovasi, pemerhatian terhadap penggunaan dan paling penting impak inovasi kepada kemenjadian murid atau hasil akhirnya kepada komuniti sekolah dan tempatan.

Dalam norma baharu sekarang, kebanyakan penganjur lebih berminat dengan penghasilan dokumentasi secara digital. Jadi sudah boleh difikirkan idea menarik untuk menghasilkan video yang dapat menceritakan keseluruhan inovasi namun perlu diingatkan bahawa video janganlah terlalu panjang atau meleret. Biar ringkas tetapi padat kerana ada pemberian markah di situ.

Tip 5 – Kos

Sebaik-baiknya cuba elak menghasilkan inovasi menggunakan kos yang tinggi. Namun begitu, pada masa ini segala-galanya memerlukan duit. Ada inovasi yang hebat memang memerlukan pembelian barangan atau aplikasi yang berbayar. Ada inovasi yang dinobatkan sebagai pemenang kerana penghasilan produk tanpa mengeluarkan kos dan ini sebenarnya bergantung kepada penghasilan inovasi guru tersebut.

Tentang hak cipta dan kerjasama dengan mana-mana agensi, itu adalah bonus. Inovasi yang dihasilkan juga bukanlah untuk dipertandingkan sahaja, boleh juga sebagai simpanan atau rujukan cikgu di peringkat sekolah.

Namun dengan menyertai pertandingan, secara tidak langsung akan mendapat idea dan maklum balas bagi menambah baik inovasi sedia ada. Dalam cabaran menghadapi norma baharu, beberapa pertandingan inovasi atau seminar juga tidak ketinggalan diadakan secara dalam talian.

Diharapkan pereka cipta perlulah memandang serius asas Revolusi Industri 4.0 dalam meningkatkan mutu inovasi ke tahap yang lebih baik dan melakukan perubahan seiring transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

Artikel berkaitan

Nilai 3K jadi panduan SK Felda Pasir Besar tingkatkan prestasi murid

Guru dan murid SK Kampung Baharu, Jerantut, berganding bahu menyertai ASSSB

Kerjasama guru dan murid SK Mukah berjaya raih pelbagai kejayaan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok