HomeGen Z5 tip menjadi penulis kreatif, pensyarah ASWARA kongsi rahsianya!

5 tip menjadi penulis kreatif, pensyarah ASWARA kongsi rahsianya!

Pasti ada dalam kalangan pelajar memasang impian untuk menjadi seorang penulis yang berjaya.

Tidak kisahlah penulis genre cerpen, novel, drama, filem atau apa sekalipun, yang penting karya yang dihasilkan itu bermutu, berkualiti tinggi dan diterima oleh semua pembaca atau penonton.

Sebenarnya, menjadi seorang penulis, tidaklah sepopular seperti seorang penyanyi ataupun pelakon. Tetapi, apabila berjaya menulis sebuah karya kreatif yang baik, ia bagaikan suatu kepuasan yang tidak dapat diterjemahkan.

Pensyarah, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Azrie Izham Hamzah berkata, menjadi penulis sememangnya menuntut kemahiran dalam bidang penulisan kreatif.

“Bergelar seorang penulis tidak semudah membaca sebuah karya. Seorang penulis perlu ada bakat, perlu ada sebanyak mungkin pengalaman, memiliki atau menimba pelbagai ilmu dan banyak lagi.

“Kerana itu, saya selalu menasihati pelajar saya yang minat menulis, supaya sentiasa berdisiplin dalam melakukan kerja menulis.

“Kemudian, jangan lupa yang diri perlu ada semangat, kerja keras, dedikasi dan tidak mudah menyerah kalah sepanjang menghasilkan apa jua karya masing-masing,” katanya yang juga seorang penulis dan perunding kandungan kreatif.

Sebagai membantu pelajar menjadi penulis yang kreatif dan hebat, Azrie Izham bersedia berkongsi beberapa tip untuk mereka yang berminat menceburi dunia penulisan.

“Lima tip yang diberikan ini, diharap dapat dijadikan ilham kepada anda yang mahu menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa yang menguntungkan,” katanya.

1) Membaca

Penulis perlu banyak membaca. Jika sebelum ini, pelajar atau sesiapa sahaja yang mungkin meminati satu genre atau seorang penulis sahaja, apa kata bermula sekarang anda pelbagaikan bahan bacaan termasuk buku-buku fiksyen dan bukan fiksyen.

Menerusi pembacaan yang meluas, anda dapat membentuk pemikiran dan menjana idea-idea kreatif. Kemudian, mengenali penulis dan karya sastera misalnya, dapat membantu seseorang penulis baharu mengetahui kepelbagaian sikap dan pemikiran penulis sedia ada.

2) Menonton filem

Pembelajaran tidak hanya melibatkan bahan bacaan atau buku teks. Untuk menjadi penulis kreatif yang baik, filem juga dapat membantu melatih minda menjana kreativiti.
Menerusi tontotan filem, kita dapat memahami proses pembinaan watak dan struktur dramatik sesebuah cerita.

Selain filem yang blockbuster di pawagam, kini akses untuk menonton pelbagai genre filem lebih mudah dengan adanya platform penstriman digital.

3) Cakna isu semasa

Jika suatu masa dahulu, kita memerlukan akhbar dan siaran berita di televisyen untuk mengetahui isu semasa. Tetapi hari ini, segalanya dapat diikuti secara dalam talian sahaja.

Penulis yang baik akan mengambil tahu apa saja isu yang sedang berlegar dalam masyarakat. Isu-isu seperti kenaikan harga barang, perubahan iklim atau gejala kesihatan mental dapat menjadi sumber ilham kepada anda untuk berkarya.

4) Celik digital

Sebagai generasi baharu, menjadi seorang yang celik digital atau digital literate bukanlah masalah yang besar. Namun, anda perlu tahu bagaimana platform maya dan media sosial berfungsi.

Celik digital adalah satu kemahiran mengimbangi keberadaan di alam digital dengan dunia realiti.

Berfikir sebelum berkongsi sesuatu, mempertimbangkan sebab dan akibat daripada memuat naik kandungan ke dalam talian adalah satu amalan yang perlu dipupuk sebagai seorang penulis yang bertanggungjawab.

5) Raikan kepelbagaian seni

Penulisan kreatif merupakan salah satu cabang seni kreatif. Penulis yang baik adalah penulis yang peka dan mendedahkan diri terhadap bidang-bidang kesenian yang lain.

Selain tertumpu kepada kerja-kerja penulisan, penulis perlu menikmati karya-karya seni yang lain.

Menonton pementasan teater, menikmati karya lukisan di galeri seni atau menghadiri forum dan wacana berkaitan seni, budaya dan warisan merupakan contoh aktiviti yang dapat merangsang kemahiran asas sebagai seorang penulis kreatif.

Menjadi penulis kreatif menuntut kemahiran menjana idea, penguasaan bahasa dan kepekaan terhadap isu-isu dan permasalahan dalam masyarakat.
Karya yang dihasilkan bukanlah penyelesaian mutlak kepada satu-satu perkara.

Namun, dengan menghasilkan sebuah karya penulisan yang baik, anda dapat menawarkan pembaca untuk menikmati kreativiti dan beroleh manfaat daripadanya.

Artikel berkaitan 

Perpustakaan terima buku dipinjam 73 tahun lepas, tengok berapa denda yang dikenakan. Sangat mengejutkan! 

Membanggakan! Kisah ikon permotoran negara, Hafizh Syahrin dimasukkan ke dalam buku teks 

7 ancaman internet, guru dan pelajar perlu lebih berhati-hati 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok