TIP-MATH-SINARBESTARI-2022
TIP-MATH-SINARBESTARI-2022

7 tip tarik minat anak-anak belajar subjek Matematik

nadzarul.amirnadzarul.amir
17 Nov 2022 11:30am

Sebagai ibu bapa sudah pasti mendambakan yang terbaik buat anak-anak dalam pelajaran mereka.

Begitupun, subjek Matematik mungkin antara mata pelajaran yang memerlukan perhatian lebih untuk menarik minat anak-anak.

Menyedari permasalahan itu, Pengasas portal Akademi ZZ, Zainal Zulia Zainuddin berkongsi tujuh pendekatan dalam menarik minat anak-anak mempelajari subjek kira-kira ini.

Jom kita lihat!

1. Hadkan masa belajar

Ibu bapa perlu memahami perasaan anak-anak dalam mengehadkan masa belajar mereka. Tidak perlu terlalu panjang, cukup dengan jangka waktu yang pendek tetapi kerap dalam meningkatkan minat mereka. Senario tersebut dapat membuatkan anak-anak belajar tanpa berasa tertekan.

2. Belajar dengan seronok

Mempelajari ilmu matematik tidak terhad kepada penggunaan buku teks dan latihan sahaja. Anak-anak mampu meningkatkan skil matematik secara tidak formal dengan bermain permainan seperti sudoku dan permainan kad. Jadikan matematik suatu perkara yang menyeronokkan. Selain itu, dalam era digital, terdapat banyak pilihan aplikasi mudah alih yang menawarkan permainan menggunakan pembelajaran matematik.

3. Tetapkan matlamat dan ganjaran

Setiap hari, ibu bapa boleh menentukan beberapa sasaran yang perlu dicapai anak-anak. Bagaimanapun, pastikan ia tidak terlalu sukar dan boleh dicapai mereka. Sediakan ganjaran setimpal dengan usaha dilakukan anak-anak jika berjaya memenuhi matlamat tersebut. Ia sekali gus akan memberi motivasi kepada anak-anak untuk melakukan latih tubi matematik.

4. Aplikasi dalam kehidupan

Anak menjadi tidak suka dengan subjek Matematik kerana mereka merasa ia mengelirukan dan tiada keperluan dalam kehidupan seharian. Justeru, persepsi sedemikian boleh diubah dan memaklumkan keperluan kepentingan subjek Matematik kepada mereka. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan konsep tambah atau tolak yang mempermudahkan proses jual beli. Anda boleh bertanya kepada anak anda berapa jumlah harga dua barang yang bakal anda beli di kedai. Puji mereka jika mampu mencongak dengan pantas. Mereka pasti akan berbangga jika dapat menjawab soalan anda.

5. Jadi suri teladan dalam hidup anak

Anak-anak selalunya memandang tinggi ibu bapa mereka. Justeru, ambil peluang dengan menunjukkan teladan yang baik. Anda boleh mengajak mereka untuk duduk bersama sambil mengira akaun bulanan dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh menambah baik ilmu matematik sedia ada agar dapat membantu anak dengan kerja rumah dan latih tubi.

6. Susun jadual dengan baik

Perkara yang paling utama adalah untuk tidak membuat anak terbeban dengan subjek Matematik. Jadi, pastikan anda bantu menyusun jadual dengan baik. Buat kerja rumah dengan lebih awal berbanding tarikh akhir yang ditetapkan untuk mengelak stres. Pastikan juga anda tahu waktu anak paling efektif dan cerdas untuk selitkan masa melakukan praktis subjek Matematik.

7. Dapatkan bantuan tutor

Jika keadaan menjadi tidak terkawal pastikan anda mendapatkan bantuan. Jangan sampai anak tercicir jauh baru hendak mencari jalan penyelesaian. Anda boleh daftarkan anak ke pusat tuisyen atau mendapatkan tutor untuk datang ke rumah ataupun mengikuti kelas tuisyen dalam talian.

Artikel berkaitan

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat

Pensyarah, pelajar UPSI hasilkan produk inovasi untuk subjek Matematik Tingkatan Tiga

Panitia Matematik perkenal 9 kaedah mudah untuk murid mahir subjek itu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp