8 kemahiran yang perlu ada pada pereka permainan dalam talian
Ramai dalam kalangan anak-anak muda hari ini memasang impian untuk menjadi seorang pereka permainan dalam talian yang hebat.
Namun, ada antara mereka tidak tahu bagaimana cara untuk berkecimpung lebih serius dalam bidang tersebut.
Ada yang sekadar mahu menjadi seorang pereka permainan, tetapi tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berada dalam bidang berkenaan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), TS Dr Wong Yoke Seng @ Jason, 43, mengakui ramai anak muda tempatan berbakat untuk menjadi seorang pereka permainan dalam talian.
“Bakat istimewa ini, tidak semua ada. Jadi, gunakan sebaik-baiknya untuk masa depan sendiri.
“Sekarang ini, kerjaya sebagai pereka permainan mendapat permintaan yang sangat luar biasa dari pelbagai syarikat berkaitan.
“Kembangkan kebolehan dan keistimewaan anda pada saluran yang betul dan jika bertuah, anda mungkin boleh mendirikan sebuah 'Indie Game Studio' dan mereka cipta permainan yang anda impikan,” kata Jason ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.
Baca juga
Guru berjalan dalam lumpur 18 jam, berjuang elak keciciran murid pedalaman
Permainan dalam talian jadi platform interaksi sesama rakan, raih pendapatan dan laluan kerjaya
Jason yang turut memegang jawatan sebagai Penyelaras Jaringan Industri di UPSI menasihatkan kepada semua pereka permainan dalam kalangan anak-anak muda supaya mempunyai sifat kepercayaan, keyakinan, kegigihan terhadap permainan yang direka, berusaha terhadap matlamat atau kerjaya dan perlu ada pemikiran berfikir di luar kotak.
“Mencipta permainan dalam talian merupakan proses yang amat mencabar. Oleh itu, anak-anak muda perlu mempunyai set kemahiran dan persediaan yang secukupnya untuk berada dalam bidang tersebut,” katanya.
Beliau yang berpengalaman mengajar selama 20 tahun dalam bidang gamifikasi berkata, untuk menjadi pereka permainan dalam talian yang hebat, seseorang itu perlu memiliki beberapa kemahiran dalam diri.
Lapan kemahiran itu adalah:
1) Kreativiti
Kreativiti dan inovasi merupakan salah satu kemahiran yang sangat penting untuk pereka permainan. Kreatif dalam permainan mesti dilihat berdasarkan reka bentuk permainan yang dicipta dan memajukan idea realiti, saling berkaitan, reka bentuk karakter dan penyelesaian masalah dalam dunia permainan.
2) Artistic vision
Reka bentuk dan animasi diperlukan untuk mencipta permainan dalam talian dan pengetahuan tentang perisian yang berkaitan boleh membantu pereka mencipta permainan yang menakjubkan dan mengasyikkan. Membiasakan diri dengan program animasi dan perisian membolehkan pereka permainan menunjukkan pengetahuan industri mereka. Biasakan diri dalam sesetengah platform agar dapat membantu mencipta watak dan persekitaran yang realistik dan menarik dalam permainan yang direka.
3) Keghairahan bagi permainan dalam talian
Ramai pereka permainan memilih untuk memasuki bidang industri kerana mereka gemar bermain permainan dalam talian. Dengan minat dan pengalaman yang ada, ia dijadikan aset kuat dalam kerjaya masing-masing. Pengalaman yang ada dapat membantu mereka memilih permainan tertentu dan meluaskan pengetahuan dalam permainan mekanik. Ia juga boleh memberi inspirasi dan membantu mereka memahami arah aliran semasa dalam permainan.
4) Kebolehan bercerita
Dalam reka bentuk permainan, bercerita membantu pemain berasa terlibat sama dan menggalakkan mereka memahami perkara yang perlu dilakukan seterusnya. Pemain adalah sebahagian daripada cerita dan menjalani keseluruhan pengalaman itu sendiri. Bercerita bagi permainan dalam talian juga boleh dilakukan melalui video atau animasi dan disertakan dengan aksi dan dialog pemain. Untuk bercerita, naratif permainan dalam talian adalah penting kerana ia membantu pemain berasa lebih terlibat dan tenggelam dalam permainan. Ia membantu pemain memahami perkara yang perlu mereka lakukan.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
5) Mengikuti perkembangan industri
Sebagai pereka permainan, mereka perlu suka dengan permainan dan bermain dengan kerap. Mereka juga perlu memastikan diri sentiasa dikemas kini terhadap kehendak pasaran. Idea yang terbaik selalunya datang daripada elemen dan permainan yang sedia ada. Lebih banyak menceburi dan bermain, anda akan mengetahui secara mendalam tentang kriteria yang menarik minat penonton. Ini membantu pereka memperhalusi dan menambah baik idea dan reka bentuk permainan sendiri.
6) Pengurusan masa
Permainan dalam talian pada masa kini merupakan produk yang kompleks dengan kepelbagaian pergerakan. Selalunya, mereka memerlukan beberapa pasukan profesional artistik dan teknikal yang bertanggungjawab untuk menyatukan kepingan yang berbeza. Untuk terlibat dalam bidang ini, anda perlu menguasai emosi dengan baik, belajar bagaimana bekerjasama dengan orang lain dan berdisiplin.
7) Kemahiran pengaturcaraan yang sangat baik
Untuk berjaya dalam dunia reka bentuk permainan dalam talian, anda perlu memperkayakan pengetahuan dalam bidang reka bentuk perisian dan pengaturcaraan. Selain pengekodan, pereka juga perlu mempunyai bakat untuk mereka bentuk. Memandangkan grafik dan animasi memainkan peranan penting, pereka permainan perlu membiasakan diri dalam mereka bentuk watak, pemandangan dan antara muka pengguna. Memiliki kemahiran artistik dan teknikal dalam bidang ini membantu anda mencipta permainan dan animasi yang teliti dan realistik. Aspek-aspek tersebut membantu anda bersaing di pasaran.
8) Bekerja dalam pasukan
Komunikasi tergolong dalam domain kemahiran insaniah iaitu bidang yang sering diabaikan oleh pengaturcara dan orang teknikal. Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai pereka permainan, anda perlu menyampaikan visi dan idea kepada ahli pasukan projek yang lain seperti artis visual, pengeluar, pakar muzik dan kesan bunyi serta pemasar.