Ambil semangat Bulan Kemerdekaan, PERMAS aktif menganjurkan pelbagai program dalam usaha menyemarakkan lagi semangat patriotik
“Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.” Ini adalah petikan kata-kata tokoh falsafah dari Sepanyol, George Santayana (1863-1952) yang pastinya memberi kesedaran kepada sesiapa sahaja yang membacanya, bahawa sejarah terutama sejarah negara amat penting untuk difahami dan dihayati.
Sehubungan itu, pelbagai usaha dilakukan oleh institusi pendidikan bagi menerapkan kepentingan sejarah terutama dalam kalangan anak muda sama ada di peringkat sekolah dan universiti supaya mereka menjadi generasi yang celik sejarah.
Di peringkat pengajian tinggi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah antara institusi yang tidak ketinggalan dalam menjalankan tanggungjawab untuk memberikan kesedaran dan menerapkan nilai cintakan sejarah melalui penubuhan Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS).
Persatuan tersebut yang berada di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), telah ditubuhkan pada 2008 dengan permulaan ahli seramai 604 orang.
Menurut Yang Dipertuanya, Maisura Ali, 22, PERMAS diwujudkan untuk membina kekuatan jati diri yang unggul dalam kalangan ahli seterusnya melahirkan warganegara yang mempunyai identiti nasional.
Pada masa yang sama, persatuan tersebut turut berperanan menyebarkan ilmu mengenai sejarah khususnya sejarah Malaysia dan amnya sejarah negara-negara luar.
“Sejak PERMAS ditubuhkan pada 2008, pelbagai aktiviti telah kami adakan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Sebelum Covid-19 melanda, tidak dinafikan kami banyak menganjurkan program-program yang melibatkan penglibatan pelajar-pelajar luar tetapi sejak negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak aktiviti diadakan secara maya.
“Begitupun kami tidak menjadikan pandemik ini sebagai penghalang untuk kami meneruskan segala yang telah dirancang setiap tahun,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.
Berbicara lebih lanjut mengenai PERMAS, Maisura memberitahu, persatuan tersebut agak unik kerana keahliannya hanya terbuka kepada pelajar-pelajar yang mengambil kursus Sejarah.
Ini bermakna katanya, kesemua pelajar Pendidikan Sejarah secara automatik akan menjadi ahli PERMAS.
Begitupun, segala aktiviti yang dianjurkan pastinya akan turut melibatkan pelajar-pelajar yang bukan ahli dan juga pelajar-pelajar jurusan lain di UPSI.
Aktiviti
Bercerita pula mengenai aktiviti yang dianjurkan, Maisura yang merupakan Yang Dipertua PERMAS ke-13 menjelaskan, setiap tahun mereka pastinya sudah merangka segala perancangan sepanjang tahun.
Walaupun dunia dilanda pandemik Covid-19 sejak penghujung tahun 2019, PERMAS tidak pernah sunyi daripada penganjuran pelbagai aktiviti.
Turut merentas sempadan khatulistiwa, Maisura berkata, segalanya tidak mustahil tambahan hari ini segala-galanya boleh diadakan secara maya.
“Tidak dinafikan Covid-19 merubah segala-galanya tetapi tidak bagi PERMAS kerana ia membolehkan kami menganjurkan pelbagai program antarabangsa.
“Ini juga secara tidak langsung membuatkan kami lebih bersemangat untuk melaksanakan program-program yang telah dirancang,” tuturnya lanjut.
Antara aktiviti antarabangsa yang sering dianjurkan PERMAS ialah program sejarah yang melibatkan sejarah negara tersebut seperti kerajaan Nusantara, perkongsian mengenai kebudayaan, sastera dan adat resam.
Dalam pada itu, Maisura turut memberitahu, selain aktiviti yang berunsurkan sejarah, PERMAS tidak ketinggalan menganjurkan program-program kemanusiaan yang melibatkan kebajikan pelajar dan juga masyarakat setempat.
Selalunya, setiap tahun mereka akan menyenaraikan tidak kurang daripada 50 program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.
Bulan Kemerdekaan
Bercakap mengenai Bulan Kemerdekaan, Maisura berkata, PERMAS tidak terkecuali setiap tahun akan mengambil bahagian bagi memeriahkan lagi sambutan hari kebangsaan.
Program-program ini merupakan idea yang dicetuskan oleh Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan.
Menyifatkan Ogos dan September bulan yang dapat menyemarakkan lagi sifat patriotik dalam kalangan diri masing-masing, bakal cikgu Sejarah ini begitu teruja kerana PERMAS pastinya akan sibuk mengisi pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan sejarah.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kami pastinya merancang pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ogos hingga September.
“Ini adalah usaha kami untuk memeriahkan lagi sambutan hari kebangsaan walaupun sudah dua tahun kita tidak dapat menyambutnya secara beramai-ramai.
“Sekurang-kurangnya aktiviti yang dijalankan ini menjadikan kami pelajar-pelajar UPSI lebih mengenali dan cintakan negara di samping bangga terhadap agama dan bangsa ,” tambahnya.
Generasi hari ini
Menyedari hari ini mata pelajaran Sejarah bukanlah satu mata pelajaran kegemaran para pelajar, Maisura berkata, semua pihak perlu memainkan peranan penting dan tidak hanya menyerahkan segala-galanya kepada guru.
“Pelajar hari ini tidak begitu menyukai mata pelajaran Sejarah kerana selain penuh dengan fakta, mereka juga perlu menghafal dan mengingati setiap peristiwa.
“Jadi dengan adanya program-program sempena Bulan Kemerdekaan, sedikit sebanyak ia akan membantu pelajar-pelajar ini mengetahui serba sedikit mengenai sejarah negara.
“Jika hari ini kita boleh melaksanakan program yang berunsurkan kemerdekaan sepanjang bulan Ogos dan September, mungkin selepas ini boleh dipertimbangkan setiap bulan diadakan program mengenai kenegaraan,” katanya.
Antara aktiviti yang pernah dianjurkan PERMAS
1) Minggu Pencerah Mahasiswa Sejarah (Orientasi ambilan 2020/21)
Program yang memberikan pendedahan kepada mahasiswa / mahasiswi sejarah baharu mengenai kursus ISMP Sejarah yang mereka ambil.
2) Program Arungan Warisan Nusantara (Awan)
AWAN merupakan Program Antarabangsa bersama universiti-universti Indonesia seperti Universitas Negeri Semarang yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Sejarah. Turut diakan webinar mengenai negeri-negeri Nusantara seperti Sejarah Kerajaan Berkembar Gawo-Talo, Wali Songo dan Perkembangan Islam di Nusantara dan lain-lain
3) Program Pembudayaan Ilmu
Dari Perspektif Mahasiswa Sejarah (DPM) – ini merupakan program bicara santai yang mengupas isu-isu semasa bersama mahasiswa / mahasiswi universiti tempatan seperti Universiti Malaya, Universtiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain.
Secarik Pena Sejarah (SPS) - program yang menyediakan platform untuk mahasiswa / mahasiswi UPSI menghantar penulisan mereka dan penulisan terbaik akan diberi penghargaan.
4) Teacher Got Talent (TGT)
TGT merupakan program yang diadakan untuk mencungkil bakat mahasiswa / mahasiswi FSK seperti nyanyian, tarian, pidato dan sebagainya. Ia diadakan pada setiap sidang dan kini sudah di memasuki musim ke-7.
5) Aktiviti kebajikan
Bantuan Kasih Permas
Foodbank Permas
Bantuan Permas Pulang Kampung
6) Minggu Aspirasi Kembara Sejarah (MARKAS)
Minggu sejarah yang diadakan secara webinar dan membincangkan mengenai sejarah dan isu semasa seperti mengenai kesihatan mental, Soekarno: Kebangkitan Indonesia semasa era orde lama, Ekonomi: Belilah barangan buatan tempatan
Pertandingan-pertandingan seperti permainan dalam talian, mobile legend, poster/video, pidato
7) Program-program yang mempunyai kerjasama dengan Fakulti Sains Kemanusiaan
AKP - Anugerah Kecemerlangan Pelajar - Meraikan pelajar-pelajar FSK yang mendapat dekan keputusan cemerlang.
Program Sembang Santai bersama Guru Cemerlang - Sebuah program ‘talk show’ bersama guru cemerlang setiap mata pelajaran seperti sejarah, geografi, pendidikan islam yang akan diuruskan oleh persatuan-persatuan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan
Program Bulan Kemerdekaan - Program yang akan diadakan setiap bulan kemerdekaan dengan kerjasama Jabatan Sejarah dan Fakulti Sains Kemanusiaan.
ANUGERAH YANG PERNAH DIPEROLEH PERMAS
- Anugerah Persatuan Paling Aktif
- Anugerah Pemimpin Pelajar Keterampilan
- Anugerah Pemimpin Pelajar Aktif Lelaki
- Anugerah Pemimpin Program Pengucapan Awam
- Anugerah Pemimpin Program Sains, Teknologi & Inovasi