Ben kongsi tip bermain boling
Memetik kata-kata bekas pemain profesional dari Professional Bowlers Association (PBA), Mike Aulby bahawa ‘good bowling involves repetition. The first-rate player can duplicate the same series of motions time after time to produce consistent shot making.’
Ungkapan itu jelas menunjukkan bahawa keupayaan mengulang kembali cara balingan terbaik secara konsisten adalah sangat membantu untuk menjadi pemain hebat.
Bermakna, jika seseorang itu berjaya melakukan strike atau menjatuhkan pin dengan banyak, maka dia perlu mengulangi rentak sama untuk balingan seterusnya.
Menyedari boling adalah sukan yang menghiburkan dan santai, maka tidak hairanlah ramai pelajar tidak mahu ketinggalan untuk turut serta dalam permainan itu.
Untuk kupasan kali ini, Sinar Bestari menampilkan Jurulatih Boling Kebangsaan, Ben Heng Boon Hian, 48, untuk berkongsi pandangannya mengenai tip serta manfaat yang diperoleh pelajar daripada sukan berkenaan.
Beliau yang mempunyai pengalaman hampir 15 tahun sebagai jurulatih sejak 2007 bersama Malaysian Tenpin Bowling Congress (MTBC) berkata, sukan berkenaan boleh membantu pelajar meningkatkan stamina dan menajamkan kemahiran menerusi latihan berterusan.
“Banyak manfaat yang boleh diperoleh menerusi sukan ini jika mengambil kira daripada sudut kesihatan antaranya meningkatkan kardio, koordinasi dan fleksibiliti tubuh.
“Pada masa sama, boling turut membantu seseorang itu melepaskan tekanan kerana permainan ini boleh dimainkan secara santai,” ujarnya.
Kelengkapan boling
Beliau yang juga bekas pemain boling kebangsaan berkata, sebelum bermain, seseorang itu perlu memahami peraturan gelanggang terlebih dulu bagi memastikan permainan berjalan lancar.
Pada masa sama, ujarnya, pemain juga perlu mempunyai pengetahuan asas dalam menyediakan atau memiliki peralatan yang sesuai untuk bermain.
“Bagi yang baru hendak bermula (berjinak-jinak bermain boling), saya syorkan supaya mereka mencari pusat permainan boling berdekatan dengan rumah untuk berlatih dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran.
“Kemudian, sewa kasut yang selesa untuk bermain di gelanggang dan pilih bola yang sesuai dengan berat badan.
“Pelajar yang mempunyai kemampuan pula bolehlah membeli satu set kelengkapan di kedai peralatan boling untuk lebih keselesaan, sekali gus memberi kepuasan sepanjang permainan,” ujarnya.
Mengulas pembabitan pelajar dalam sukan itu, Ben mengakui ada antara mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemain lebih baik jika digilap dari semasa ke semasa.
“Saya lihat ramai pelajar bermain di peringkat sekolah, malah saya menganggarkan terdapat hampir 300 pelajar akan terbabit dalam boling setiap kali Sirkit Remaja Milo dianjurkan.
“Menerusi pertandingan itu, saya dapat melihat potensi mereka, memang ada antara peserta yang mengambil bahagian cukup berbakat dan boleh diasah menjadi juara dunia pada masa hadapan,” tambahnya.
Selain itu, Ben yang namanya kerap disebut Ketua Jurulatih Kebangsaan, Holloway Cheah sebagai penggantinya turut berkongsi pandangan kepada pembaca bagaimana menjadi pemain sehebat ratu boling negara, Shalin Zulkifli dan pemain pasukan kebangsaan lain.
“Untuk menjadi pemain sehebat Shalin, seseorang itu memerlukan komitmen yang banyak, pada masa sama perlu memiliki tahap disiplin yang cukup tinggi untuk berjaya,” ujarnya.
Tip bermain boling
Fokus
Pemain harus fokus setiap kali membuat balingan untuk mendapatkan jatuhan pin yang banyak ataupun melakukan strike.
Lengan
Lengan dirapatkan dengan badan, bola dipegang antara paras pinggang dan dada, bahagian siku ke pergelangan tangan perlu lurus, tidak boleh bengkok, kemudian gunakan tangan sebelah untuk menyokong berat bola.
Posisi badan
Sebelum melakukan balingan, pemain perlu berada dalam posisi berdiri dan badan dalam keadaan lurus sebagai persediaan untuk membuat sasaran dan balingan.
Bengkokkan lutut sedikit
Sebelum melepaskan bola, pemain perlu membengkokkan lutut sedikit bagi memastikan kelancaran balingan yang akan dilakukan.
Lihat sasaran
Sasaran adalah antara perkara penting untuk menentukan sama ada balingan yang akan dilakukan itu sempurna ataupun sebaliknya. Pemain perlu melepaskan bola menggunakan cara sama ada balingan lurus, minimum spin atau maximum spin.
Hanyunan
Apabila hendak membuat balingan, cuba tetapkan sasaran pada anak panah kedua dari kanan/kiri yang terdapat atas lorong. Selepas itu, lakukan hayunan dan lepaskan balingan.
Tapak kaki meluncur lurus
‘Kaki meluncur’ pemain perlu berada di depan sedikit daripada kaki sebelah, ia juga perlu berlawanan dengan tangan yang digunakan untuk melepaskan bola (pemain tangan kanan akan meluncur dengan kaki kirinya).
Follow through selepas balingan
Selepas melepaskan bola, pemain harus melakukan follow through iaitu gerakan tangan yang lurus ke arah atas.
Ambil rakaman video untuk analisis
Kaedah ini membantu pemain meningkatkan teknik permainan seterusnya melihat sendiri kelemahan yang boleh diperbaiki untuk permainan seterusnya.
Istilah dalam boling
Strike - Semua pin jatuh pada cubaan pertama.
Spare - Semua pin jatuh pada cubaan kedua.
Split- Jika ini berlaku maka agak sukar untuk mendapatkan spare kerana kedudukan pin yang jaraknya agak jauh antara satu sama lain.
Open - Keadaan ini berlaku apabila terdapat pin yang masih tertinggal selepas balingan kedua.
Artikel berkaitan
Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022
28 pelajar SSP layak ke Tournament of Champions, warga sekolah titip doa khas buat mereka
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok