nam-hoang-RHNiArBkukE-unsplash (1)
nam-hoang-RHNiArBkukE-unsplash (1)

Buntu fikirkan cara mengajar pelajar yang ketinggalan semasa PdPR? Cikgu Herry kongsi jalan penyelesaiannya

Mohd Khairi Mohamad Yusri
28 Oct 2021 10:56am
A
A
A

Pastinya ramai guru merasa lega dengan pembukaan semula sekolah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengajar di kawasan yang mempunyai gangguan internet kerana tidak perlu lagi risau jika ada anak murid yang ketinggalan dalam pelajaran sepanjang proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan.

Bagi memastikan tiada murid yang ketinggalan, pastinya ada guru yang pening kepala memikirkan kaedah yang terbaik untuk menangani masalah ini.

Oleh itu, jom ikuti perkongsian Cikgu Herry ini yang mengenai beberapa cadangan aktiviti yang boleh dilakukan untuk murid yang ketinggalan dalam PdPR.

*****

Bertemu kembali dengan murid selepas tempoh PdPR adalah masa yang paling ditunggu-tunggu oleh guru. Tidak sabar untuk kembali mendidik anak murid kita yang berpotensi. Seorang guru sememangnya mahu melihat kelibat murid dan berkomunikasi dengan mereka jauh lebih mudah apabila bersemuka.

Dalam seribu kegembiraan, tidak dapat dinafikan datangnya kegusaran bagaimana nak 'catch up' semula murid yang ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak dapat menghadiri PdPR.Sama ada perbuatan tertinggal PdPr disengajakan atau tidak, bertambah sukar untuk guru pastikan tindakan bersesuaian ke atas murid. Apa yang pasti, cikgu ingin memastikan tiada sesiapa pun akan tercicir daripada apa yang mereka sepatutnya pelajari. Oleh itu, lebih baik mencari solusi daripada provokasi.

Gambar hiasan | kredit unsplash

Situasi setiap guru adalah berbeza. Ada yang mengajar di kawasan bandar dan ada juga yang di luar bandar. Ada yang sekolah rendah dan ada yang sekolah menengah. Berikut adalah beberapa cadangan usaha yang boleh dilakukan bagi memperbaiki penglibatan murid dalam PdPc (dalam bilik darjah) agar mereka tidak ketinggalan. Mari kita lihat mana yang praktikal dan boleh diamalkan.

1. Resource Corner (Sudut Sumber)

Usah dikenang kepada senarai playlist video PdPR mahupun link-link aktiviti online. Terbukti murid tidak dapat menggunakan peranti di rumah. Oleh itu, guru boleh sediakan masa-masa tertentu semasa PdPc untuk beberapa orang murid yang ketinggalan untuk mengakses link-link tersebut semasa dalam kelas.

Guru boleh ulang kaji topik bersama murid yang telah mengikuti PdPR sementara memberi masa murid-murid tidak hadir PdPR duduk di suatu sudut dan melihat video dan menjawab kuiz online di laptop guru ataupun PC jika ada.

Hal ini bergantung kepada situasi dan kemudahan di sekolah cikgu. Jika tiada internet, boleh sediakan folder video sedia untuk dimainkan secara offline. Cara lain adalah menyediakan ruang khas untuk murid melihat nota ringkas dalam bentuk cetakan dan cuba menjawab kuiz secara kendiri. Kalau mereka bawa balik ke rumah pun belum tentu mereka buat kan?

2. Pop Quiz / Revision Test

Aktiviti ujian ulang kaji boleh dilakukan dengan tempoh bersesuaian; lima minit, 10 minit, 30 minit bergantung kepada perancangan guru. Ia boleh dilakukan secara santai, individu mahupun berpasangan ataupun berkumpulan.

Murid akan lebih sedar akan bahagian-bahagian topik yang mereka tidak kuasai. Sementara murid telah ikut PdPR boleh ulang kembali apa yang mereka telah pelajari, murid tertinggal pula boleh mengenalpasti apakah bahagian-bahagian yang perlu mereka ulang kaji dan beri perhatian kerana tahu soalan-soalan itu yang kerap dikemukakan.

Guru bincangkan jawapan di akhir sesi dan setidak-tidaknya murid belajar sesuatu. Hal ini sebenarnya mengajar semula cuma dalam bentuk santai dan lebih berbentuk aktiviti.

3. Pembentangan Kumpulan

Sekumpulan murid yang telah mengikuti PdPR boleh diberikan tugasan untuk membuat pembentangan. Sementara itu, murid yang tertinggal PdPR pula membaca dan menyemak topik-topik yang akan dibentangkan.

Dengan itu, murid tertinggal PdPR dapat belajar sesuatu sementara murid ikut PdPR lebih berkemahiran kerana mereka pula akan menyampaikan apa yang mereka pelajari dengan mengajar rakan mereka.

Proses ini dipanggil Active Recall yang mana murid dapat mengingati sesuatu dengan lebih baik apabila mereka persembahkan apa yang mereka pelajari dalam bentuk yang mereka senangi.

4. Review Games

Cara ini sama seperti Revision Test tadi cuma dalam bentuk permainan. Guru boleh gunakan aktiviti dalam bentuk permainan mencari harta karun misalnya yang mana untuk pergi daripada satu check point ke satu check point lagi, murid perlu menjawab beberapa soalan yang hanya boleh mereka jawab jika mereka membaca nota diberikan.

Dengan itu, murid belajar secara santai dan menyeronokkan. Yang dah belajar, tentulah bonus kepada mereka. Secara tidak langsung, hal ini juga beri motivasi kepada murid bahawa yang tertinggal akan rugi. Mereka perlu dibiasakan akan manfaat sentiasa menyertai sesi pembelajaran dan ruginya tertinggal pelajaran, kecualilah bagi mereka yang tiada kemudahan atau ada kekangan. Nak bagi seronok, boleh buat aktiviti bertemakan Squid Games yang tengah popular dalam kalangan remaja ketika ini.

 

Sumber: mudahmengajar.blogspot.com

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok