Cetusan idea pengetua, SMKA Miri jana pendapatan RM3,400 sebulan - Ini yang mereka buat
Cetusan idea pengetua, SMKA Miri jana pendapatan RM3,400 sebulan - Ini yang mereka buat

Cetusan idea pengetua, SMKA Miri jana pendapatan RM3,400 sebulan - Ini yang mereka buat

webadmin
31 Dec 2020 01:29am
A
A
A

MIRI -  Tatkala sekolah lain buntu memikirkan dana untuk menampung kos program dan aktiviti untuk pelajar, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri mampu menjana sekurang-kurangnya RM34,560 setahun dengan mengusahakan lebah kelulut.

Idea yang dicetuskan Pengetua SMKA Miri, Ahmad Fauzi Yaakob tiga tahun lalu itu diusahakan di kawasan seluas XXX dan diberi nama Taman Kelulut As-Syifa.

Guru Penyelaras Taman Kelulut As-Syifa, Ismail Daud memberitahu, sebanyak 32 log kelulut berjaya dihasilkan dengan kos setiap satunya RM280.

"Setiap log disumbangkan guru dan ibu bapa. Mereka menyumbang melalui Program Infak Kelulut yang dilancarkan oleh pihak sekolah," katanya.

Taman Kelulut As-Syifa yang menjana pendapatan bulanan SMKA Miri.

Menurut Ismail, Taman Kelulut As-Syifa dikendalikan 23 pelajar Tingkatan Enam sekolah itu dan pada asal tujuannya untuk mencari dana bagi menampung kos aktiviti akademik dan kerohanian.

"Tujuan projek berkenaan adalah mengumpul dana bagi membiayai aktiviti pelajar Tingkatan Enam dan aktiviti kerohanian di surau sekolah.

"Selain itu, kami juga mahu memberi pendidikan kepada pelajar mengenai cara membela lebah kelulut di samping menanam minat usahawan tani dalam kalangan mereka," katanya.

Dengan kewujudan Taman Kelulut As-Syifa itu juga, secara tidak langsung dapat menjaga persekitaran sekolah supaya sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak tercemar melalui program 'SMKAMI Go Green'.

 Suasana di Taman Kelulut As-Syifa.

Hasil berganda musim bunga

Ismail berkata, kelulut yang dibela adalah jenis 'Tetragonula Melina' dan 'Tetragonula Testaceitarsis' mengeluarkan madu hampir setiap hari.

"Kami akan menyedut madu sekitar empat hingga enam minggu sekali, bergantung kepada cuaca. Biasanya untuk satu log hasil jualan RM90 dan sekali tuaian kami dapat RM2,880.

"Namun jika musim bunga, kantung madu akan cepat penuh dan kebiasaannya satu sarang atau log akan menghasilkan hampir satu kilogram madu (sekali tuai) dan dijual dengan harga RM200 sekilogram," jelasnya.

Katanya, madu kelulut yang diperoleh kemudiannya dijual kepada guru dan ibu bapa.

"Hasil jualan madu kelulut ini banyak menampung kos program untuk pelajar, yang terbaharu menampung sebahagian kos lawatan pelajar Tingkatan Enam ke institusi pengajian tinggi awam," katanya.

Dua pelajar Tingkatan Enam menyedut madu untuk dijual.

Sementara itu, Ketua Projek, Mohd Asfar Malik berkata, kewujudan Taman Kelulut As-Syifa memberi peluang pada mereka untuk mempelajari cara-cara menternak kelulut dengan betul.

"Sebelum ini kami kurang terdedah dengan kelulut tapi sekarang, banyak ilmu baru yang kami dapat. Sekurang-kurangnya kami boleh memberi sedikit sumbangan terhadap aktiviti sekolah," ujarnya yang merupakan pelajar Tingkatan Enam.

Setiausaha Projek, Rifdy Khairi Kipli memberitahu, rakan-rakannya yang terlibat dengan Taman Kelulut As-Syifa gembira dengan perkembangan taman madu tersebut.

"Insya-ALLAH, dana Tabung Kelulut yang ditubuhkan untuk mengumpulkan pendapatan hasil tuaian akan bertambah dan seterusnya dapatlah pihak sekolah mengadakan aktiviti kerohanian yang tentunya memberi impak baik kepada semua pelajar," ujarnya.

 Antara pelawat yang berkunjung ke Taman Kelulut As-Syifa berpeluang menikmati madu kelulut.

Pelawat tidak melepaskan peluang menyedut madu di Taman Madu Kelulut SMKA Miri.

 Pelajar ini menyedut madu menggunakan mesin penyedut.

 Rifdi Khairi (kiri) dan Mohd Asfar seronok terbabit dengan projek madu kelulut sekolah itu.

INFO

Pelawat yang pernah berkunjung ke SMKA Miri dan Taman Kelulut As-Syifa:

1. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, Kedah

2. Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, Selangor

3. SMKA Al-Irsyad Pulau Pinang

4. SMKA Kota Kinabalu

5. SMKA Tun Sakaran Sandakan, Sabah

6. SMKA Khairiah, Kuala Terengganu

7. SMA, Rawang Selangor

8. SK Abdullah Tangkak, Johor

9. Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan

10. Universiti Pendidikan Sultan Idris

11. Universiti Pertanian Malaysia

12. Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak

13. Majlis Bandaraya Miri

Akan datang:

1. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

2. SMKA Alawiyah, Kangar

3. SMKA Naim Lilbanat, Kota Bharu

ARTIKEL MENARIK:

Mak ayah perlu buat ini jika mahu anak mereka skor A Matematik UPSR

Empat elemen imej yang perlu ada pada seorang guru, nombor 1 paling ramai pelajar nantikan

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu di Malaysia

Cara bantu anak yang lemah dalam pelajaran - Guru Matematik ini kongsi tip berkesan

 



 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok