ANSARA Besut menyatakan kekesalan apabila masih terdapat kelompok pelajar yang menjadikan kekerasan sebagai alat membentuk hierarki toksik dalam kalangan rakan sebaya.
ANSARA Besut menyatakan kekesalan apabila masih terdapat kelompok pelajar yang menjadikan kekerasan sebagai alat membentuk hierarki toksik dalam kalangan rakan sebaya.

ANSARA Besut sedia kerjasama pulih, pantau isu buli

NORAFIDAH ASSANNORAFIDAH ASSAN
28 Jun 2025 02:46pm

Persatuan Bekas Maktab Rendah Sains MARA Besut (ANSARA Besut) menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama dalam usaha pemulihan dan pemantauan jangka panjang terhadap isu buli susulan kes terbaharu melibatkan pelajar di institusi pendidikan tersebut.

Ketua ANSARA Besut, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, pihaknya kesal dengan insiden buli yang didakwa berlaku di MRSM Besut baru-baru ini.

"Kami memandang serius perkara ini dan menzahirkan solidariti penuh kepada pelajar terlibat serta keluarga mangsa.

"Buli bukan budaya kita dan merupakan satu virus ganas yang menghancurkan jati diri, menodai nilai pendidikan serta mencemarkan nama baik institusi unggul seperti MRSM," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Muhammad Azwan turut menyatakan kekesalan apabila masih terdapat kelompok pelajar yang menjadikan kekerasan sebagai alat membentuk hierarki toksik dalam kalangan rakan sebaya.

"Ini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap roh pendidikan dan cita-cita membina insan unggul seperti yang diasaskan dalam falsafah MRSM.

"Kami menyambut baik tindakan pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan terperinci dan menyeru semua pihak agar menghormati proses undang-undang yang dilaksanakan serta berharap ia dijalankan secara telus, adil dan segera demi menjamin keadilan kepada semua pihak," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa beberapa pelajar MRSM Besut telah direman selama tiga hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes buli melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp