Untitled design (1)
Untitled design (1)

Core Abilities pelengkap bagi pekerja mahir

Roshlawaty Md Raieh
04 Oct 2021 11:19pm
A
A
A

Core Abilities (CA) merupakan program pembelajaran teras yang perlu ada dalam diri setiap pekerja.

Penguasaan CA sangat penting bagi memenuhi permintaan tenaga kerja yang memerlukan ilmu pengetahuan, mengenali sikap dan kemahiran teknikal.

Bagi Muhammad Hafirull Iman Mohd Shahfri, 22, modul CA yang dipelajari ketika di Kolej Vokasional (KV) Balik Pulau, Pulau Pinang, sangat membantu dalam kerjayanya sebagai pereka grafik hari ini.

“Dalam modul CA, setiap pelajar akan mengikuti program kemahiran mengikut tahap yang telah ditentukan.

“Kemahiran seperti komunikasi dan etika di tempat kerja, kemahiran tingkah laku peribadi dan kesihatan serta keselamatan pekerjaan dipelajari ketika di Tahap Satu, manakala antara kemahiran di Tahap Dua dan Tiga pula ialah tingkah laku interpersonal, komunikasi efektif serta kesedaran teknologi maklumat,” ujarnya.

Baca juga Guru RBT ini nekad lahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran

Baca juga Lemah dalam Fizik? Ibu bapa dan pelajar boleh cuba cara ini untuk analisis tahap pencapaian subjek tersebut. Berkesan!

Tambah Muhammad Hafirull, modul CA mengajar pelajar-pelajar bersikap jujur dan berintegriti apabila memasuki alam pekerjaan.

Malah, pelajar yang mengikuti program itu juga dilatih bekerja mengikut waktu, mematuhi polisi syarikat dengan tidak mengabaikan prosedur dan peraturan-peraturan di tempat kerja, teknik kerja berpasukan serta banyak lagi.

Muhammad Hafirull merupakan alumni jurusan Diploma Kemahiran Rekabentuk Grafik dan Media Cetak Kohort 2015.

Muhammad Hafirull di syarikatnya iaitu Palam Tech.

Dia berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 dan kini mengusahakan perniagaannya sendiri, sebuah kedai komputer, Palam Tech, bersama seorang rakan kongsi, Muhammad Amir Mukhriz Ibrahim, 22.

Palam Technology menawarkan perkhidmatan seperti custom gaming PC, menjual dan membaiki komputer.

Empat tahun timba ilmu

Sepanjang empat tahun di KV, Muhammad Hafirull tidak menafikan banyak menimba ilmu dalam bidang kemahiran sehingga memberinya keyakinan untuk berniaga sendiri.

“Alhamdulillah, sepanjang saya di sana (KV) pelbagai ilmu kemahiran dalam bidang reka bentuk grafik dan media cetak telah dipelajari.

“Tenaga pengajar sentiasa memastikan segala kemahiran yang diberikan bersesuaian dengan kehendak dan permintaan industri hari ini.

Bersama Cikgu Abdul Raheym Ahmad (kanan) iaitu salah seorang tenaga pengajar yang banyak memberi kata-kata semangat kepada Muhammad Hafirull.

“Semua ini adalah untuk memudahkan kami mengadaptasi apa yang dipelajari apabila keluar bekerja kelak dan pastinya tidak ketinggalan dengan perkembangan teknologi hari ini,” ujar anak kedua daripada tujuh beradik ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hafirull turut berkongsi cerita bagaimana menjadi seorang pereka grafik yang berjaya.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

“Anda harus kreatif dan inovatif dalam menghasilkan sesuatu rekaan serta perlu berfikir di luar kotak.

“Pada masa yang sama, kita juga seharusnya mampu menerima kritikan supaya dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kemahiran diri,” sambungnya.

Apa yang lebih membanggakan, selain bergelar seorang pereka grafik, Muhammad Hafirull turut mempunyai kemahiran dalam bidang fotografi.

“Teknik merakam gambar, ketahui posisi objek, mahir dalam bidang teknikal antara kemahiran yang perlu dikuasai seorang jurugambar.

“Malah, selepas sesi fotografi, kemahiran menyunting gambar dengan perisian yang sesuai, suntingan pencahayaan, reka letak dan tipografi perlu dilakukan dengan baik dan semua kemahiran ini turut dipelajari ketika di KV Balik Pulau,” jelasnya.

Muhammad Hafirull ketika mengikuti latihan industri di sebuah syarikat percetakan.

Lengkap diri dengan kemahiran

Sementara itu, Ketua Jabatan Teknologi Automotif, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Mohd Hizbullah Ibrahim, 39, mengakui bahawa setiap orang khususnya anak muda perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknikal atau kemahiran psikomotor bagi memenuhi kehendak industri masa kini yang sememangnya memerlukan tenaga kerja mahir ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan seterusnya dapat meningkatkan tahap kelangsungan hidup dalam sektor pekerjaan di zaman era moden yang penuh cabaran.

“Kepentingan menguasai kemahiran teknikal misalnya, tiada beza antara dahulu dengan sekarang.

“Kemahiran tetap kekal relevan sepanjang zaman, yang berbeza ialah stigma dan persepsi masyarakat terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mana dahulunya dipandang sebagai aliran pengajian kelas kedua berbanding dengan aliran akademik akibat pelbagai pengaruh,” ujarnya.

Baca juga Debaran peperiksaan…5 persediaan ini mampu bantu pelajar skor cemerlang dalam semua subjek

Baca juga 7 panduan yang boleh cikgu guna untuk mengemas meja di sekolah. Mudah, senang dan menarik!

Ditanya berkaitan bidang automotif yang dikatakan antara jurusan popular, jelasnya, perkembangan industri automotif di negara ini menunjukkan pertumbuhan positif dan ini adalah antara faktor menjadikan jurusan ini pilihan ramai.

“Bagi graduan lepasan TVET automotif, mereka mempunyai peluang sangat cerah untuk membina kerjaya sebagai juruteknik pengeluaran, mekanik kenderaan bermotor, penasihat jualan, tenaga pengajar di sektor awam mahu pun swasta dan tidak ketinggalan bergelar seorang usahawan.

“Jadi, timbalah pelbagai kemahiran di institusi pengajian masing-masing kerana peluang pekerjaan menanti di luar sana,” jelasnya.

INFO

Nama: Muhammad Hafirull Iman Mohd Shahfri

Pencapaian:

  • Naib YDP MPP pada Tahun Tiga di KV Balik Pulau
  • YDP MPP pada Tahun Empat, KV Balik Pulau
  • Juara Bola Tampar bagi Voktek Pulau Pinang dua tahun berturut-turut (2017 dan 2018)

INFO

Nama: Mohd Hizbullah Ibrahim

Pengalaman bekerja:

  • Jurutera Pengeluaran (2005 – 2008)
  • Pegawai Latihan Vokasional di IKBTN Temerloh, Pahang (2008- 2021)
  • Pegawai Latihan Vokasional di IKBTN Chembong (2021 – Kini)

Pencapaian:

  • Mengetuai dan bersama-sama beberapa tenaga pengajar di IKBTN Temerloh menubuhkan Akademi Kemahiran Belia Motorsport (AKBM) di IKBTN Temerloh.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok