'Dulu gagal, kini cemerlang' - Guru ini dedah rahsia, kuasai subjek Matematik
'Dulu gagal, kini cemerlang' - Guru ini dedah rahsia, kuasai subjek Matematik
Matematik merupakan salah satu mata pelajaran penting di sekolah, namun sayangnya tidak ramai pelajar yang meminati mata pelajaran itu.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pendidik untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan pelajar sukar memahami dan menguasai mata pelajaran tersebut.
Menurut guru Matematik, Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam, Padang Terap, Kedah, Khairil Haffez Sahidan berkata, cabaran utama pendidik adalah untuk mengubah pemikiran dan kefahaman pelajar terhadap subjek penting itu.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Matematik, Victoria University of Wellington New Zealand itu berkata, persepsi terhadap mata pelajaran Matematik dalam kalangan pelajar luar bandar juga perlu diubah.
“Matematik memerlukan kita berfikir, tidak ramai minat dengan subjek ini. Namun sebagai pendidik, saya perlu bantu pelajar sehingga mereka dapat menguasai mata pelajaran ini dengan baik.
"Beberapa usaha juga perlu dilakukan, antaranya rapat dengan mereka, kenal pasti masalah dan sediakan latihan yang bersesuaian dengan kemampuan," katanya.
Tambah beliau, cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi, adalah apabila pelajar memaklumkan mereka tidak minat belajar subjek itu di dalam kelas.
“Selepas minat itu timbul, dan mereka mula seronok menjawab setiap soalan, barulah kita masuk ke level seterusnya, iaitu bagaimana menjawab soalan SPM sebenar. Selain itu saya juga sering berhubung dengan guru-guru pakar matematik seluruh Kedah, bagi membincangkan permasalahan dan tip untuk menangani permasalahan pelajar yang kurang minat dengan subjek ini.
“Saya juga turut membuat kajian tindakan untuk membantu mereka kuasai matematik,”ujar Khairil yang sudah masuk tahun ke lapan sebagai pendidik.
Hasilkan modul
Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini, turut menghasilkan modul untuk pelajar SPMnya. Setiap modul mengambil masa sebulan sehingga dua bulan untuk disiapkan. Rata-rata, pelajarnya seronok menggunakan modul yang dihasilkan. Penyelidikan yang rapi dan tersusun memudahkan pelajarnya memahami, mudah membuat latihan, dan tidak perlu lagi menyalin soalan.
Selain itu, anak kelahiran Perlis itu turut aktif menyampaikan ceramah dan kelas dalam talian, boleh dikatanya lebih 100 buah sekolah, terutamanya di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Miri Sarawak telah beliau kunjungi.
“Tahun pertama sebagai pendidik memanglah sukar, namun pada tahun-tahun seterusnya ia sudah mula menampakkan perubahan. Pelajar yang dahulunya gagal dalam UPSR, kini boleh tersenyum apabila mendapat A dalam Matematik ketika SPM. Ia secara tidak langsung dapat menaikkan gred purata Matematik sekolah dari gred 8.95 kepada gred 4.58.
“Lebih menggembirakan, pelajar yang tidak minat Matematik awal dulu, menghubungi saya dan ucapkan terima kasih kerana sudah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Matematik di universiti,”katanya.
Memilih Matematik
Menyorot kembali zaman belajarnya, minat kepada subjek Matematik dan Matematik Tambahan, telah mendorong guru muda itu menyambung pengajian ke luar negara.
Kebolehan dan minatnya yang mendalam terhadap subjek itu, membolehkan beliau muncul cemerlang dan berjaya mendapat Ijazah kepujian kelas pertama Matematik, Ijazah Am Matematik dan Fizik, serta ditawarkan sebagai tutor.
“Sebaik sahaja mendapat keputusan SPM, saya terus membuat permohonan sambung belajar ke luar negara. Alhamdulillah saya lulus temuduga dan buat persediaan selama setahun enam bulan di Uniten. Selepas lulus persediaan, lulus ujian IELTS (International English Language Testing System) dan TOEFL (Test Of English As Foreign Language ), barulah dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Ketika itu, saya dapat tawaran dari tiga universiti di New Zealand, dua di Australia dan dua lagi di Amerika Syarikat. Namun kerana tertarik dengan pemandangan cantik di New Zealand, saya telah memilih untuk ke Victoria University of Wellington (VUW).
"Pun begitu, di sebalik kegembiraan terselit juga rasa sedih meninggalkan keluarga di Malaysia. Namun untuk mencapai cita-cita, saya perlu tabah dan doa keluarga itulah menjadi kekuatan sepanjang saya di sana,”katanya.
Berada di negara orang, tidak semudah yang disangka. Selain cabaran menyesuaikan diri dengan persekitaran budaya asing, persaingan dengan pelajar dari seluruh dunia juga tidak kurang hebatnya.
Menurut beliau, usaha perlu lebih jika mahu mendapat keputusan cemerlang, seterusnya melayakkan diri memperoleh kepujian pada tahun ke empat.
“Untuk menampung perbelanjaan sepanjang berada New Zealand, saya terpaksa membuat banyak kerja sambilan. Selain mendapat tawaran menanda kertas tugasan mingguan pelajar, saya juga turut menjadi tutor untuk pelajar tahun satu dan dua, pembersih hotel, tukang cuci ofis, kira stok, dan banyak lagi. Setiap bayaran yang diterima adalah berbeza, paling banyak saya pernah dapat, NZD320, iaitu RM887 seminggu,”katanya.
Biodata
Nama : Khairil Haffez bin Sahidan
Usia: 33 tahun
Asal : Perlis
Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Matematik
Ijazah Sarjana Muda Matematik & Fizik
Victoria University of Wellington New Zealand, tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah program pelajar cemerlang.
Jawatan: Guru Cemerlang Matematik
Sekolah: Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam, Padang Terap, Kedah.
Pencapaian:
1. Ijazah kepujian kelas pertama Matematik
2. Ijazah am Matematik dan Fizik
3. Ditawarkan sebagai Tutor
4. Ditemubual sebagai wakil pelajar Matematik dalam buku panduan fakulti
Anugerah:
2015-Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)
2013 - Anugerah Peningkatan Matematik
2014 - Anugerah Peningkatan Matematik
2014 - Anugerah Khas Pengetua
2016 - Anugerah Peningkatan Matematik
2016 - Anugerah Khas Pengetua
2018 - Anugerah Peningkatan Matematik
2018 - Anugerah Khas Akademik (umrah)