WhatsApp Image 2022-04-12 at 12.56.25 PM
WhatsApp Image 2022-04-12 at 12.56.25 PM

Esei keunikan bahasa dan etnik di Sarawak antara faktor anak kelahiran negeri ini berjaya diterima masuk ke Harvard

Adlan Farhan Azwan
12 Apr 2022 12:59pm
A
A
A

Baru-baru ini negara kita berbangga dengan kejayaan enam pelajar melanjutkan pengajian di salah satu universiti terkemuka di dunia iaitu Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Kejayaan enam pelajar itu seharusnya dijadikan inspirasi kepada masyarakat di luar sana untuk terus berjuang dalam menimba ilmu.

Alyssa Yap Xin Yi, 20, dari Sarawak adalah antara yang terpilih sebagai seorang pelajar Universiti Harvard dalam bidang Neurosains dan Linguistik.

Dia yang merupakan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road mengakui kagum dengan penggunaan bahasa dalam kalangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan seterusnya menggambarkan kehidupan yang harmoni antara mereka.

Baca juga

Membanggakan! Lima pelajar Malaysia diterima masuk ke Harvard College

“Anda adalah kebanggaan Keluarga Malaysia”, PM ucap tahniah kepada 6 pelajar berjaya ke Harvard College

Menurutnya, kejayaan diterima masuk ke universiti berprestij itu tidak lagi hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata sebaliknya turut dikehendaki menulis beberapa esei kepada pihak universiti untuk mengenali pemohon dengan lebih dekat secara holistik selain dinilai melalui temu bual secara maya.

“Saya menceritakan serba sedikit mengenai latar belakang di Sarawak yang mana kita mempunyai bahasa Sarawak, Hokkien, Hakka, Melayu dan sebagainya semasa ditemu bual oleh pihak universiti.

"Hal ini penting kerana maklumat yang diceritakan kepada mereka mempunyai kaitan dengan esei yang ditulis oleh saya berkaitan keunikan linguistik di negeri ini.

“Penggunaan pelbagai bahasa di negeri ini telah menarik minat saya untuk memilih bidang neurosains dan linguistik kerana saya ingin mendalami bagaimana kanak-kanak berupaya memahami gaya bahasa serta mempelajari bahasa yang pelbagai secara automatik,” katanya.

Dalam pada itu, Alyssa juga menjelaskan pihak universiti menilai prestasinya dalam kokurikulum di mana dirinya merupakan Presiden Debat Anglo-Chinese Junior College (ACJC) dan Komuniti Pidato.

“Aktiviti kokurikulum membentuk kita sebagai seorang individu yang hebat, berwawasan serta mempunyai perspektif pemikiran bersifat global.

“Semua kemahiran ini sangat penting untuk membantu saya menghadapi temu bual atau menjadi sumber ilham dalam penulisan, bukannya semata-mata mendapatkan nilai ‘A’ dalam pelajaran,” jelasnya.

Alyssa yang mewakili anak-anak muda di Sarawak sempat berpesan agar golongan muda di luar sana sentiasa berani mencuba semua peluang yang ada tanpa perlu takut dan bersikap proaktif mencari inisiatif yang telah disediakan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Saya percaya ramai anak Sarawak yang berbakat di luar sana tetapi mereka masih takut untuk mencuba, jadi kalau mereka ada impian, mereka mesti mencuba sejauh mana mereka boleh pergi, lebih baik ada satu peratus peluang daripada kosong.

“Mungkin ada yang tidak mempunyai akses kepada maklumat mengenai inisiatif-inisiatif berkenaan tetapi terdapat pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedia membantu dalam merapatkan jurang pendidikan di Sarawak dan masyarakat umum amnya,” ujarnya.

Alyssa bersama-sama lima lagi pelajar Malaysia, Chooi Je Qin, Herman Leong Xin Yang, Ishant Shah, Carisma Michaela Wong dan Lee Ee Jenn akan berangkat ke Amerika Syarikat pada Ogos ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok