Untitled design
Untitled design

Guru dan inventor mampu hasilkan inovasi hebat menerusi teknik SCAMPER

Roshlawaty Md Raieh
19 Jan 2022 03:00pm
A
A
A

Penghasilan produk inovasi sama ada untuk menyertai pertandingan ataupun ingin dikomersialkan, memerlukan satu kaedah atau metode yang sesuai supaya penghasilan sesuatu produk itu mempunyai tawaran nilai yang hebat atau value preposition.

Ini kerana penghasilan produk yang baik tentunya mempunyai nilai komersil untuk jangka masa sekurang-kurangnya mampu bertahan selama tiga tahun.

Guru Cemerlang Hifz Al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Ustaz Ismail Salleh berkata, ada satu teknik yang boleh digunakan guru-guru dan para inventor dalam menghasilkan produk yang bermanfaat untuk komuniti dan negara.

"Teknik yang dimaksudkan ialah SCAMPER.

“SCAMPER adalah akronim dari S- Substitute, C- Combine, A – Adapt, M – Modify, P - Put Another Use, E –Eliminate dan R – Reverse,” kata Ustaz Ismail yang juga merupakan Jawatankuasa Pasukan Inovasi Kedah Islamic High School (KIHS).

Beliau berkata, teknik ini diperkenalkan oleh Alex Osborne, seorang pelopor dalam bidang kreativiti pada tahun 1953.

Teknik ini dikembangkan oleh Bob Eberle pada 1974 dalam bukunya SCAMPER: Games for Imagination Development.

Secara tidak langsung teknik ini membantu minda kita untuk berfikir secara kritis dan inovatif dalam mencipta sesuatu produk inovasi.

Anugerah Khas Inovasi Pendidikan 2021 menobatkan Ustaz Ismail sebagai penerimanya.

Menurut Ustaz Ismail lagi, setiap akronim SCAMPER itu, ada huraian yang perlu difahami dengan lebih mendalam oleh guru dan inventor.

“Saya kongsikan huraian itu seperti di bawah ini,” ujarnya.

1) Subsitute

Iaitu setiap produk yang dihasilkan bercirikan atau bersifat menggantikan produk atau perkhidmatan yang lain.

Setiap inventor perlu bertanya adakah produk yang dihasilkan bersifat tersebut? Contohnya penghasilan gula stevia dalam minuman sekarang boleh menggantikan penggunaan gula pasir di pasaran. Selain itu produk pen plastik digantikan pen yang menggunakan stainless steel pen, penghasilan seterika elektrik dapat menggantikan seterika arang, telefon di rumah digantikan dengan telefon pintar dan sebagainya.

2) Combine/ unite

Setiap produk inovasi perlu menggabungkan satu atau lebih produk bagi sesuatu perkhidmatan.

Contohnya, penggunaan kamera dan telefon pintar dapat disatukan fungsinya dalam satu telefon, syarikat perbankan yang dahulunya hanya mempunyai mesin ATM yang hanya berfungsi untuk pengeluaran wang, tetapi sekarang sudah digabungkan CDM dalam satu mesin untuk mendepositkan wang.

3) Adapt, re-shape/tuneup

Mengadaptasi produk sedia ada atau mengubah sebahagian karekteristik sesuatu produk kepada sesuatu yang baharu.

Contohnya penciptaan Facebook hanya untuk komputer riba dan komputer peribadi tetapi sudah diadaptasi kepada telefon pintar dan jika kita membeli Macbook maka sudah dilengkapi dengan perisian Microsoft office.

Ustaz Ismail (kanan) bersama pasukan inovasi SMKA kedah yang berjaya memenangi sembilan pingat emas dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 2019 hingga 2021.

4) Modify/Magnify

Modifikasikan penciptaan produk sedia ada kepada produk yang lebih maju.

Contohnya, penciptaan meja solek yang boleh dimodifikasi kepada katil dan meja belajar, penciptaan kereta yang hanya boleh bergerak di daratan kepada kereta terbang yang boleh terbang di udara, menggunakan kata kunci telefon pintar kepada imbasan cap jari dan sebagainya.

5) Put to another use/ expand

Setiap produk yang dihasilkan dapat digunakan di pelbagai peringkat pasaran perkhidmatan.

Contohnya, sisa buangan di restoran dapat dikompos menjadi baja tanaman, fungsi jam tangan hanya untuk menentukan waktu kepada jam tangan yang mengandungi fungsi mengira denyutan jantung, mengira jarak atau kelajuan semasa berjoging.

6) Eliminate/simplify/minimize

Berfokus kepada penghapusan sebahagian komponen produk tanpa mengurangkan kualiti produk.

Contohnya, telefon bimbit yang dahulu mempunyai antena sudah dibuang dan dibina di dalam telefon pintar sekarang.

7) Reverse/ rearrange/change layout

Proses melakukan perubahan atau penyusunan semula kepada komponen asal supaya memberi nilai tambah kepada sesuatu produk.

Contohnya, syarikat Apple telah memperkenalkan pengecasan tanpa wayar dalam keluaran iPhone 11.

Selain itu syarikat McDonalds melakukan perubahan dengan membayar dahulu sebelum makan direstorannya.

Ustaz Ismail menerima Anugerah Ikon Guru Inovatif Negeri Kedah sempena Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Kedah 2021, baru-baru ini.

Kesimpulannya, bahagian inovasi pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sesuatu syarikat tertentu perlulah sentiasa membuat inovasi dan kajian produk supaya ia dapat memenuhi kepuasan dan kehendak pelanggan semasa.

Contohnya, syarikat telefon pintar seperti Samsung dan iPhone sentiasa berusaha membuat penyelidikan supaya produk mereka diterima dan memenuhi cita rasa pengguna telefon pintar semasa.

Selain itu pengembangan produk juga penting dalam usaha bersaing dengan produk-produk keluaran syarikat telefon pintar yang lain.

Beberapa perusahaan produk tertentu akan tumbang sekiranya setiap produk yang mereka keluarkan tidak melakukan inovasi seperti syarikat Nokia yang dahulunya gah tetapi hilang taringnya apabila android diperkenalkan.

Artikel berkaitan 

7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!

5 tip menghasilkan inovasi untuk pertandingan! Guru Inovatif Negeri Sembilan 2013 kongsi caranya

Hazieque Aqashah suka cabaran dan kreatif bangunkan inovasi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok