WhatsApp Image 2021-07-07 at 14.49.31
WhatsApp Image 2021-07-07 at 14.49.31

Guru sebagai watak utama di sebalik kejayaan murid

A
A
A

Guru adalah watak utama dalam membentuk peribadi murid yang unggul. Tugas seorang guru tidak mudah kerana mereka bukan hanya mendidik tetapi mereka jugalah ibu bapa kedua yang diberi tanggungjawab menggalas amanah demi melahirkan insan yang berkualiti.

Keringat seorang guru bukanlah perkara yang boleh dianggap percuma apabila mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan murid-murid mendapat ilmu yang secukupnya. Pengorbanan dan jasa mereka ini, tidak mampu diukur biarpun dengan segunung intan permata.

Tidak ada insan yang sanggup bersengkang mata dan mengetepikan kepentingan peribadi sendiri demi memastikan murid-muridnya mendapat ilmu dengan baik.

Namun begitu, keadaan semasa yang mengharuskan proses pembelajaran terpaksa dijalankan di rumah, secara tidak langsung memberi kesulitan buat para guru dalam usaha membentuk diri setiap murid menjadi individu yang kaya dengan ilmu pengetahuan.

Oleh itu, GPSBestari ingin berkongsi peranan seorang guru yang boleh dijadikan panduan buat semua guru di luar sana dalam usaha membentuk kemenjadian murid:

Gambar hiasan daripada Freepik.

1) Guru sebagai pembimbing

Guru perlu menampilkan kelainan dalam proses pembelajaran agar murid-murid berminat untuk mengikuti kelas yang diadakan. Setelah itu, gurulah bertanggungjawab memberikan bimbingan agar murid-murid dapat menguasai pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai berdasarkan objektif pembelajaran yang ditetapkan.

2) Guru sebagai perancang

Sebelum proses pembelajaran dilaksanakan, para guru perlu merancang dan menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang secukupnya bagi memudahkan proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) berjalan dengan lancar. Melalui perancangan yang disusun rapi, objektif pembelajaran akan mudah dicapai pada setiap sesi pengajaran.

3) Guru sebagai pengawal

Semasa sesi pembelajaran, murid-murid berada di bawah tanggungjawab guru yang mengajar pada hari berikut. Oleh itu, seorang guru berhak mengawal suasana dan segala hal berkaitan pembelajaran agar kelas yang dikendalikan sentiasa berada dalam keadaan baik.

Gambar hiasan daripada Freepik.

4) Guru sebagai pendorong

Guru juga perlu bertindak sebagai pendorong agar minda murid-murid dapat bekerja dengan lebih keras. Dalam situasi ini, para guru perlu menggunakan pelbagai cara bagi menggalakkan murid-murid melaksanakan aktiviti serta meransang mereka berkomunikasi dengan baik.

5) Guru sebagai penilai

Guru bertindak sebagai penilai bagi mengesan tahap penguasaan murid-murid terhadap topik pembelajaran yang telah diajar. Setelah melakukan proses penilaian, para guru perlu menjalankan aktiviti pemulihan bagi membaiki kekurangan yang dimiliki.

6) Guru sebagai pemudahcara

Guru juga berperanan sebagai pemudahcara dalam usaha memperkembangkan potensi murid-murid. Oleh itu, setiap guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan keagamaan bagi membantu menyemai sifat-sifat positif dalam diri.

Gambar hiasan daripada Freepik.

Inilah antara peranan yang perlu dimiliki oleh seorang guru yang berintegriti dalam menjalankan tugas.

Persiapan serta strategi yang rapi dan teratur diperlukan setiap guru demi mencapai objektif mereka serta membentuk peribadi murid menjadi insan yang cemerlang demi kemajuan negara.

Diharapkan para guru dapat memanfaatkan perkongsian ini dalam memantapkan lagi etika pengajaran sepanjang kelas berlangsung.

Sumber Youtube: Peranan Guru Dalam Membentuk Peribadi Unggul & Kemenjadian Murid

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok